Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendapatan pemandu teksi, kereta sewa privet junam hingga 40% di tengah kebimbangan virus korona

Dengan sebilangan penumpang mengelakkan teksi dan khidmat kereta sewa privet di tengah-tengah penularan virus korona baru, pemandu teksi Harry Ng berkata pendapatan hariannya merosot sekitar 20 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendapatan pemandu teksi, kereta sewa privet junam hingga 40% di tengah kebimbangan virus korona

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 10 Feb 2020 11:50PM Dikemas Kini : 10 Feb 2020 11:54PM

SINGAPURA: Dengan sebilangan penumpang mengelakkan teksi dan khidmat kereta sewa privet di tengah-tengah penularan virus korona baru, pemandu teksi Harry Ng berkata pendapatan hariannya merosot sekitar 20 peratus.

"Ia tidak seteruk sewaktu penularan SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk). Namun ia kebimbangan utama saya hari ini... Saya rasa agak sepi (tempahan) sekarang dan kurang penumpang," kata pemandu ComfortDelGro yang sudah memandu teksi selama 25 tahun.

Para pemandu teksi dan kereta sewa privet seperti Encik Ng mengadu tambang berkurangan sebanyak 30 peratus, kata Encik Ang Hin Kee, penasihat eksekutif Persatuan Teksi Nasional (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional.

Malah, menurut presiden NTA Raymond Ong, sesetengah pemandu lebih takutkan kehilangan mata pencarian berbanding takut kepada virus itu. Beliau menganggarkan permintaan menjunam antara 20 hingga 40 peratus.

Mereka berkata demikian kepada pihak media di luar sesi dialog tertutup antara Menteri Negara Kanan Pengangkutan Janil Puthucheary dengan sekitar 60 pemandu di Institut Devan Nair di Jurong. Semasa dialog itu, para pemandu menyuarakan keprihatinan berhubung risiko kesihatan serta pendapatan yang suram di tengah penularan virus korona itu.

LANGKAH-LANGKAH MELINDUNGI PEMANDU

Semasa sesi tersebut, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan langkah-langkah terbaru untuk melindungi para pemandu. Ini termasuk pengagihan 300,000 pelitup menerusi syarikat teksi dan sewa kereta privet kepada para pemandu.

Dalam kalangan 43 kes yang disahkan di Singapura, tiga yang dijangkiti adalah pemandu teksi atau kereta sewa privet.

Walaupun pemandu boleh menggunakan pelitup-pelitup yang diberikan itu, mereka juga boleh menawarkannya kepada penumpang yang tidka sihat namun tidak mempunyai pelitup dan perlu menaiki kenderaan untuk mendapatkan rawatan, menurut LTA.

Dr Janil menerangkan langkah-langkah yang diambil bertujuan memulihkan keyakinan terhadap industri teksi dan sewa kereta privet di tengah-tengah penularan 2019-nCoV.

"Tujuan utamanya bukan menangani cabaran kewangan industri, namun apa yang perlu adalah mengembalikan keyakinan. Para penumpang perlu rasa lebih yakin terhadap kenderaan dan pemandu yang mengambil mereka. Pengagihan pelitup itu juga membolehkan para pemandu rasa lebih yakin lagi untuk mengambil penumpang," kata beliau.

Para pemandu yang dihubungi berkata virus itu menjejas mereka dari dua sudut: dari segi pendapatan, dan kebimbangan keselamatan bagi diri mereka dan keluarga.

Sebagai contoh, Encik Ng pernah dengar tentang para pemandu yang elak mengambil penumpang di hospital kerana takut dijangkiti virus itu.

Beberapa pemandu yang dihubungi Mediacorp juga beranggapan bahawa virus itu boleh tersebar menerusi udara, yang membuat mereka takut untuk mengambil penumpang yang dijangkiti.

Dr Janil berkata beliau perlu meyakinkan pemandu bahawa virus korona baru itu tersebar menerusi titisan pernafasan. Lantaran itu pesakit yang memakai pelitup tidak akan menyebarkan virus itu.

Beliau menambah: "Terdapat jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan yang perlu pulang setelah giliran kerja lewat malam, saya meminta mereka menyokong dan membantu membawa pekerja barisan hadapan ini pulang berehat. Sentimen (semasa dialog) rata-rata menyokong."

KEPRIHATINAN KEWANGAN

Presiden NTA Encik Ong berkata sepanjang dua minggu lalu, kebanyakan pemandu teksi "hadapi cabaran" kerana kos sewa dan minyak tidak banyak berubah.

"Dari sudut pandangan seorang pemandu, langkah-langkah (bantuan) kewangan perlu dilakukan segera. Levi, komisyen, sewa, harga minyak - kesemua ini adalah dalam kawalan pengendali dan kami menggesa mereka supaya melaksanakan langkah-langkah bantuan secepat mungkin... kerana teksi atau kereta sewa privet yang kosong juga tidak bagus untuk perniagaan mereka," kata penasihat eksekutif NTA Encik Ang, yang juga Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio.

"Apa yang kami inginkan adalah supaya mereka dapat terus bekerja dan terus memandu, dan ini boleh dilakukan (menerusi bantuan) pihak pengendali," kata beliau.

Beliau berkata Pemerintah, kesatuan sekerja dan syarikat pengangkutan sedang berusaha mencari huraian kewangan bagi para pemandu.

Dr Janil bagaimanapun berkata terlalu awal untuk membincangkan tentang langkah kewangan meluas bagi para pemandu, namun pihak berkuasa sedang mempertimbangkan beberapa pilihan.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan