Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendapatan median di S'pura naik kepada lebih S$4,400: Laporan MOM

Para pekerja di Singapura menyaksikan pertumbuhan gaji tahun ini, dengan gaji median meningkat kepada lebih S$4,400, menurut data terkini yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (29 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Nov 2018 02:57PM Dikemas Kini : 29 Nov 2018 10:29PM

SINGAPURA: Para pekerja di Singapura menyaksikan pertumbuhan gaji tahun ini, dengan gaji median meningkat kepada lebih S$4,400, menurut data terkini yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (29 Nov).

Gaji bulanan kasar median dalam kalangan rakyat dan penduduk tetap Singapura yang mempunyai pekerjaan sepenuh masa adalah S$4,437 tahun ini, termasuk sumbangan majikan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Ini berbanding gaji median S$4,232 tahun lalu dan S$4,056 pada 2016.

Dapatan itu berdasarkan Tinjauan Tenaga Buruh Menyeluruh yang dijalankan pada pertengahan 2018 oleh jabatan penyelidikan dan statistik MOM.

Selepas mengambil kira inflasi, gaji bulanan kasar median tumbuh 3.5 peratus setahun antara 2013 hingga 2018, iaitu kenaikan ketara berbanding 1.9 peratus setahun bagi tempoh 2008 hingga 2013, menurut MOM.

Golongan 20 peratus gaji terendah menyaksikan gaji median mereka naik 4.2 peratus setahun dalam tempoh lima tahun lalu. MOM menyatakan bahawa kenaikan itu mungkin hasil langkah pemerintah untuk mengekang pengambilan pekerja asing serta inisiatif-inisiatif seperti Skim Kredit Gaji, yang membiayai secara bersama kenaikan gaji rakyat Singapura yang bergaji rendah.

PENGAMBILAN KERJA WARGA EMAS MENINGKAT

Pengambilan kerja di kalangan rakyat Singapura dan PR berusia antara 25 hingga 64 tahun adalah 80.3 peratus, rendah sedikit berbanding 80.7 peratus tahun lalu. Ini meletakkan Singapura di kedudukan kelapan dari segi kadar pengambilan pekerja di kalangan ekonomi-ekonomi OECD dan tempat keempat bagi pengambilan pekerja sepenuh masa, menurut MOM.

Dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun ke atas, kadar pengambilan kerja meningkat kepada 26.8 peratus pada Jun tahun ini berbanding 25.8 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Usaha untuk menggajikan pekerja lebih berusia mendorong lebih ramai untuk terus bekerja dan mereka yang sebelumnya sudah bersara kembali bekerja," menurut MOM.

Kadar pengambilan kerja dalam kalangan warga emas membantu mengimbangi kesan masyarakat menua ke atas kadar penyertaan tenaga buruh, menurut MOM. Kadar penyertaan tenaga buruh bagi penduduk berusia 15 tahun ke atas adalah 67.7 peratus pada Jun tahun ini, satu perangkaan yang stabil sejak empat tahun lalu menyusuli trend meningkat sebelumnya.

Kadar pengangguran yang disesuaikan bukan secara musiman bagi karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) merosot untuk dua tahun berturut-turut kepada 2.9 peratus, dari 3 peratus tahun lalu.

Kemerosotan tutut dicatatkan bagi kadar pengangguran di kalangan golongan bukan PMET bagi kebanyakan peringkat usia, tambah MOM.

Namun, kadar pengangguran jangka panjang dalam kalangan PMET naik sedikit dari 0.7 peratus kepada 0.8 peratus tahun ini. Ini kerana lebih ramai PMET menganggur dalam lingkungan usia 30-an tahun atau lebih 50 tahun, mengambil masa lebih lama untuk mencari pekerjaan, menurut MOM.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan