Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendapatan isi rumah S'pura naik lebih cepat daripada perbelanjaan: Tinjauan

Pendapatan seisi rumah penduduk Singapura kini meningkat lebih cepat berbanding perbelanjaan mereka, berbanding lima tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendapatan isi rumah S'pura naik lebih cepat daripada perbelanjaan: Tinjauan
Diterbitkan : 31 Jul 2019 10:49PM Dikemas Kini : 31 Jul 2019 10:50PM

SINGAPURA: Pendapatan seisi rumah penduduk Singapura kini meningkat lebih cepat berbanding perbelanjaan mereka, berbanding lima tahun lalu.

Demikian menurut tinjauan pemerintah yang dikeluarkan hari ini (31 Jul).

Dijalankan oleh Jabatan Statistik Singapura (SingStat), Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah 2017/18 juga mendapati peningkatan pada taraf kehidupan di sini.

Purata pendapatan bulanan seisi rumah dari semua sumber - yang ditakrifkan sebagai pendapatan biasa daripada pekerjaan, perniagaan, pelaburan dan lain-lain serta tokokan-tokokan pemerintah seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja Singapura (WIS) - adalah sebanyak $11,780, naik daripada $10,470 dalam tahun 2012/13 bila tinjauan itu kali akhir dijalankan.

Ini adalah kenaikan nominal 2.4 peratus setahun atau 2.2 peratus setahun setelah mengambil kira inflasi.

Purata pendapatan bulanan nominal dan sebenar seisi rumah melonjak bagi semua kumpulan pendapatan dalam tempoh lima tahun lalu.

Bagi isi rumah dalam kedudukan 20 peratus pendapatan tertinggi, pendapatan mereka naik 1.6 peratus setahun dari segi nominal atau 1.5 peratus dari segi pendapatan sebenar.

Kumpulan-kumpulan pendapatan lain menyaksikan kenaikan 2.7 hingga 3.3 peratus setahun dari segi nominal atau 2.4 hingga 3 peratus dari segi pendapatan sebenar.

Khususnya, isi rumah yang berada di kedudukan 20 peratus pendapatan terendah mencatat purata pertumbuhan pendapatan bulanan 2.8 peratus setahun dari segi nominal atau 2.9 peratus dari segi pendapatan sebenar.

Dari segi jenis rumah, mereka yang menetap di flat HDB 1 dan 2 bilik mengalami kenaikan pendapatan paling tinggi sebanyak 6.3 peratus setahun dari segi nominal atau 6.1 peratus dari segi pendapatan sebenar.

TREND PERBELANJAAN

Dari segi perbelanjaan, isi rumah membelanjakan purata $4,910 sebulan bagi barangan dan perkhidmatan. Ini berbanding $4,720 dalam tinjauan yang dijalankan lima tahun lalu. Ini bermakna kenaikan 0.8 peratus setahun.

"Pendapatan naik lebih cepat berbanding perbelanjaan isi rumah secara keseluruhannya dan juga bagi setiap anggota isi rumah, bagi tempoh lima tahun," menurut kenyataan SingStat.

Dari segi kumpulan pendapatan, purata perbelanjaan bulanan seisi rumah bagi 20 peratus tertinggi, kekal stabil dalam tempoh lima tahun lalu.

Sebaliknya, pendapatan kumpulan-kumpulan seisi rumah lain menyaksikan kenaikan 0.4 hingga 3 peratus setahun.

Bila diteliti dari jenis rumah, purata perbelanjaan bulanan isi rumah yang tinggal di flat HDB 4 bilik, kondominium dan apartmen-apartmen lain serta rumah berhalaman, secara amnya stabil.

Ini berbeza dengan perbelanjaan bulanan isi rumah flat-flat HDB 1, 2, 3 dan 5 bilik serta flat-flat eksekutif yang naik 0.8 dengan 3.7 peratus setahun.

Menurut SingStat dari keseluruhan kumpulan pendapatan dan jenis rumah, pertumbuhan pendapatan amnya melebihi pertumbuhan perbelanjaan, kecuali bagi seisi rumah dalam kumpulan pendapatan 20 peratus terendah.

Keluarga-keluarga itu adalah satu-satunya kumpulan yang mencatatkan pertumbuhan perbelanjaan setahun yang lebih cepat, iaitu tiga peratus berbanding pertumbuhan pendapatan 2.8 peratus dari segi nominal.

Lebih sepertiga isi rumah itu diketuai individu berusia 65 tahun dan ke atas pada tahun 2017/18, menurut kenyataan media tersebut.

Memberikan perincian mengenai tabiat perbelanjaan di negara ini, tinjauan itu mendapati perumahan (28.9 peratus), makanan (20.3 peratus) dan pengangkutan (13.2 peratus) merupakan penyumbang terbesar perbelanjaan bulanan seisi keluarga.

Secara kolektif, ia menyumbang kepada 62 peratus perbelanjaan bulanan seisi keluarga, kurang sedikit daripada 65 peratus yang dicatat dalam tinjauan sebelum ini.

Purata perbelanjaan pengangkutan merosot dari $810 sebulan kepada $780 dalam tempoh lima tahun sebelumnya. Ini sebahagian besarnya disebabkan kemerosotan perbelanjaan dalam pengangkutan privet darat dari $580 kepada $510.

Purata perbelanjaan bagi bas dan MRT/LRT juga merosot purata $6 dalam tempoh yang sama, sementara purata perbelanjaan ke atas teksi dan khidmat kereta sewa melonjak $10.

Sekalipun demikian, keluarga-keluarga lebih banyak berbelanja makan di luar, menurut tinjauan tersebut.

Secara purata, setiap keluarga berbelanja $810 sebulan bagi khidmat makanan dalam tahun 2017/18, naik dari $760 sebulan dalam tahun 2012/13.

Walaupun makanan di pusat-pusat penjaja dan pusat makanan terus menyumbang kepada sebahagian besar perbelanjaan dari sudut ini, kenaikan itu lebih disebabkan oleh lebih banyak perbelanjaan di restoran-retsoran, kafe dan kelab-kelab.

Perbelanjaan online juga meningkat dengan pertumbuhan e-niaga.

Sekitar 60 peratus keluarga melakukan pembelian online dalam tahun 2017/18, naik dari 31 peratus dalam tahun 2012/13.

Perbelanjaan online juga melonjak dari 1.7 peratus kepada 5 peratus dalam tempoh yang sama.

TARAF HIDUP LEBIH BAIK

Tinjauan itu juga menunjukkan peningkatan pada taraf kehidupan serta perubahan teknologi dan gaya hidup, dengan lebih ramai memiliki barangan-barangan seperti kereta dan peralatan rumah.

Menurut SingStat, pemilikan barangan seperti set televisyen, mesin basuh dan telefon bimbit, "hampir menjadi perkara biasa" iaitu pada kadar antara 96 dengan 98 peratus dalam tahun 2017/18.

Ini termasuk mereka dalam kumpulan pendapatan lebih rendah dan menetap di flat HDB lebih kecil.

Pada masa yang sama, dalam kalangan isi rumah yang tergolong pendapatan 20 peratus terendah dan menetap di flat HDB 1 dan 2 bilik, jumlah mereka yang memiliki alat pendingin udara serta akses internet meningkat dengan ketara.

Contohnya, 25 peratus isi rumah yang menetap di flat HDB 1 dan 2 bilik memiliki alat pendingin udara dalam tahun 2017/18, naik daripada 14 peratus dalam tahun 2012/13.

Dalam tempoh yang sama, kadar langganan internet dalam kalangan keluarga-keluarga ini naik seganda dari 22 peratus kepada 45 peratus.

Selain itu, pemilikan barangan seperti talian telefon, termasuk talian telefon rumah, kamera digital dan saluran TV berbayar, umumnya merosot bagi keluarga-keluarga dalam kebanyakan kumpulan pendapatan dan jenis rumah.

Ini "mungkin disebabkan pelbagai pilihan lain seperti telefon mudah alih/telefon bijak dan penstriman video online," menurut SingStat.

Pemilikan kereta juga merosot, mungkin disebabkan lebih banyak pengangkutan alternatif, menurut tinjauan itu lagi.

Kadar pemilikan rumah dalam kalangan penduduk kekal tinggi pada 89 peratus dalam tahun 2017/18.

Dalam kalangan isi rumah dalam kumpulan pendapatan 20 peratus terendah, jumlah pemilik rumah meningkat kepada 85 peratus tahun lalu daripada 82 peratus lima tahun lalu.

Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah, yang mengumpukan maklumat perbelanjaan, pendapatan, simpanan seisi rumah dan ciri-ciri keluarga yang dipilih, dijalankan oleh SingStat sekali setiap lima tahun.

Tinjauan sepanjang setahun itu bermula pada Oktober 2017 dan selesai pada bulan Disember 2018. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan