Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendapatan hampir separuh penduduk S'pura, PR merosot akibat COVID-19: tinjauan OCBC

Hampir separuh warga Singapura dan penduduk tetap (PR) di sini menyaksikan pendapatan mereka terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Hanya 30 peratus yang mempunyai cukup simpanan untuk bertahan lebih enam bulan jika mereka hilang pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendapatan hampir separuh penduduk S'pura, PR merosot akibat COVID-19: tinjauan OCBC

Pemeriksaan suhu badan di luar One Raffles Place (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 02 Jun 2020 07:37AM Dikemas Kini : 02 Jun 2020 07:47AM

SINGAPURA: Hampir separuh warga Singapura dan penduduk tetap (PR) di sini menyaksikan pendapatan mereka terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Hanya 30 peratus yang mempunyai cukup simpanan untuk bertahan lebih enam bulan jika mereka hilang pekerjaan.

Demikian hasil tinjauan Bank OCBC yang dikeluarkan pada hari Isnin (1 Jun) ke atas 1,000 rakyat Singapura dan PR berusia antara 21 hingga 65 tahun.

Tinjauan itu mendapati bagi mereka yang pendapatannya terjejas, mereka mengalami setidaknya satu daripada empat senario berikut: Gaji dipotong, dipaksa untuk mengambil cuti tanpa gaji, hasil komisen mereka dikurangkan atau dipaksa untuk bertukar dan menjadi pekerja sambilan.

Sekitar 30 peratus berkata pekerjaan mereka tidak terjejas, sementara selebihnya pula berkata gaji atau elaun mereka dibekukan, mereka bekerja lebih lama, dipaksa untuk bertukar dari pekerjaan tetap ke pekerja kontrak, mengalami perubahan tugas atau ditugaskan ke tempat lain.

Tinjauan itu, dilakukan sekitar satu setengah bulan setelah tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dilaksanakan. Ia juga mendapati hampir separuh yang ditinjau bimbang hilang pekerjaan mereka meskipun sokongan pemerintah diumumkan dalam empat Belanjawan tahun ini.

Tempoh pemutus jangkitan yang dilaksanakan pada 7 April, akan ditarik balik secara bertahap mulai hari Selasa (2 Jun) termasuk pembukaan semula sekolah secara berperingkat.

Berikut adalah dapatan lain dari tinjauan OCBC itu:

Jaminan pekerjaan dan kewangan

  • Lebih separuh (55 peratus) peserta bimbang dengan keadaan kewangan mereka sekarang, kestabilan pendapatan dan jaminan pekerjaan mereka
  • 13 peratus yang ditinjau berkata mereka telah mendapatkan pinjaman dalam tiga bulan terakhir untuk menampung keperluan kewangan
  • Berhubung perlindungan insurans pula, sekitar 41 peratus bimbang mungkin pakej sekarang tidak mencukupi

Cukup simpanan?

  • Hanya 30 peratus berkata mereka mempunyai cukup simpanan untuk bertahan lebih enam bulan, bermakna 70 peratus responden mempunyai simpanan yang cukup untuk bertahan tidak lebih enam bulan
  • Lebih separuh (55 peratus) berkata jumlah simpanan mereka telah merosot, dengan 22 peratus mengatakan ia mengecut lebih 20 peratus

Sentimen masa depan

  • Kemungkinan hilang pekerjaan dalam tempoh enam bulan akan datang adalah kebimbangan terbesar yang dikemukakan mereka yang ditinjau (46 peratus)
  • Kebimbangan utama lain termasuk pemotongan gaji (36 peratus) dan bonus mereka dikurangkan atau sama sekali tidak diberi bonus (36 peratus)
  • Jumlah yang lebih kecil bimbang mereka akan dipaksa untuk mengambil cuti tanpa gaji (21 peratus) atau berdepan dengan pembekuan gaji (19 peratus)
  • Hanya 13 peratus berkata mereka tidak bimbang tentang pekerjaan mereka
  • manakala 39 peratus tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa depan

Apa yang dilakukan atau dirancang untuk menangani masalah jaminan kewangan

  • 35 peratus melakukan pekerjaan kedua atau merancang untuk melakukannya
  • 61 peratus bekerja lebih keras berbanding sebelum pandemik COVID-19, dengan hampir separuh melakukannya kerana takut kehilangan pekerjaan
  • 53 peratus mengikuti lebih banyak kursus online daripada sebelumnya dengan jumlah yang lebih tinggi berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an tahun

Perancangan pelaburan dan persaraan

  • Lebih separuh responden (54 peratus) bimbang tentang prestasi pelaburan mereka
  • Dalam kalangan peserta yang membuat pelaburan, 40 peratus berniat untuk mengurangkan pelaburan mereka sepanjang enam bulan akan datang dengan 9 peratus berniat untuk menjual sebahagian daripadanya
  • 27 peratus pula merancang untuk mengurangkan simpanan persaraan mereka atau berhenti mengetepikan wang untuk persaraan 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan