Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendamping bantuan zakat MUIS bakal dilatih kenali tanda kemurungan, demensia

Pendamping dan relawan kepada penerima zakat MUIS,akan menjalani lebih banyak latihan dan sokongan untuk meningkatkan kemahiran mereka, bersesuaian dengan keperluan golongan yang memerlukan di sini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pendamping dan relawan kepada penerima zakat MUIS,akan menjalani lebih banyak latihan dan sokongan untuk meningkatkan kemahiran mereka, bersesuaian dengan keperluan golongan yang memerlukan di sini.

Antaranya mereka akan dibekalkan kemahiran untuk mengenal pasti tanda-tanda kemurungan dan demensia dalam kalangan golongan memerlukan.

Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Mohd Fahmi Aliman berkongsi rancangan MUIS itu, di majlis 'Meraikan Pendamping, Menjangkaui Sedekad" semalam (16 Nov).

LATIHAN AKAN BERMULA TAHUN DEPAN

Sepanjang 10 tahun lalu, para pendamping program zakat MUIS telah meluangkan masa menziarahi 13,500 rumah penduduk Muslim yang memerlukan di sini.

Sepanjang lawatan itu, mereka menghulurkan bantuan kepada 3,500 penerima zakat.

Namun dengan konteks masyarakat hari ini yang berubah-ubah dan semakin kompleks, bentuk bantuan yang dihulurkan juga perlu disesuaikan dengan keperluan mereka.

Lantaran itu, selain menghulurkan bantuan asas seharian, golongan pendamping juga akan dibekalkan dengan kemahiran termasuk mengenal pasti sosio-emosi penerima bantuan zakat, seperti masalah kemurungan dan demensia.

Latihan itu akan dilakukan menerusi rangkaian rangka kerja M³ (MUIS, MESRA, MENDAKI), pada tahun depan.

"Latihan-latihan yang kita adakan sekarang dan masa hadapan mungkin termasuk untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kemurungan dan juga mengenal pasti tanda-tanda awal dimensia, jadi di situ kita boleh membantu lebih ramai golongan-golongan yang kurang upaya.

"Di masa hadapan mungkin insya-Allah kita sudahpun melakarkan rangka kerja latihan-latihan untuk membantu Pegawai Pembangunan Masyarakat dan juga kepada pendamping-pendamping, ini bukan sahaja dari segi kemahiran sahaja tetapi memberikan mereka satu pendedahan, memberikan mereka satu latihan khusus program-program inisiatif yang kita gunakan daripada M³," kongsi Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Fahmi Aliman.

Bagi memastikan rangka kerja ini berjalan lancar tahun depan, 44 pendamping kanan dilantik bagi memimpin barisan pendamping lain.

Pelantikan ini juga bagi memberikan penghargaan kepada mereka yang sudah lama menghulurkan bantuan kepada penerima zakat.

FARHAN ZULKIFLI ANTARA PENDAMPING KANAN TERMUDA

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Muhammad Farhan Zulkifli, 31 tahun dari Masjid Sallim Mattar.

Sejak berusia dalam lingkungan 20-an tahun dan sejurus selepas menamatkan perkhidmatan negara, Encik Farhan sudah menabur bakti menjadi seorang pendamping bagi penerima zakat di Masjid Sallim Mattar.

Sepanjang pengalaman lebih 10 tahun sebagai relawan itu, Encik Farhan bekerja rapat dengan pendamping lain, yang kebanyakannya lebih 'mantan' dan berpengalaman.

Meskipun demikian usianya itu tidak menghalang beliau daripada mengambil inisiatif bagi melakar idea-idea baru bagi memperbaiki program tersebut.

(Encik Farhan (kiri) bersama Ketua Eksekutif MUIS Encik Esa Masood)

Semangat untuk membantu golongan kurang upaya itu berputik daripada ahli keluarganya sendiri, yang meluangkankan masa membantu golongan susah.

Dilantik menjadi Pendamping Kanan, beliau berharap tenaga dan usahanya itu dapat terus dicurahkan, lebihan lagi dengan latihan yang akan dijalani nanti.

"Alhamdulillah perlantikan ini adalah satu peringatan bagi saya, untuk sentiasa terus berkecimpung menjadi seorang pendamping dan terus memberi semula kepada masyarakat yang kurang upaya ataupun masyarakat fakir miskin.

"Ini adalah satu cara untuk memperingatkan diri saya bahawasanya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang saya selalu ada," kongsinya.

Turut dilantik ialah Cik Asmah Ahmad, 59 tahun, dari Masjid Al-Khair.

Cik Asmah menyertai Program Pendamping pada 2011, dan sejak dari itu beliau rela menjalankan usaha-usaha yang lebih bagi golongan rentan.

"Ia adalah satu tanggungjawab yang berat, maknanya kalau sudah dilantik sebagai ‘senior’ saya sudah dilantik untuk membimbing bawah-bawah saya.

"Tapi bersyukur juga Alhamdulillah dapat saya pun tak sangka diiktiraf sebagai pendamping kanan," kongsi beliau dengan pihak kami.

Dengan latihan dan sokongan yang diperuntukkan itu,MUIS berharap lebih ramai relawan akan tampil ke depan untuk menabur bakti di bawah Program Pendamping ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan