Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran lebih mudah, cepat bagi Surat Kuasa Berkekalan mulai Ogos

Bermula 1 Ogos, mereka yang ingin memohon Surat Kuasa Berkekalan (LPA) boleh melakukan demikian dengan lebih cepat, berikutan perubahan yang diumumkan pada Sabtu (20 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jul 2019 04:24PM Dikemas Kini : 20 Jul 2019 09:42PM

SINGAPURA: Bermula 1 Ogos, mereka yang ingin memohon Surat Kuasa Berkekalan (LPA) boleh melakukan demikian dengan lebih cepat, berikutan perubahan yang diumumkan pada Sabtu (20 Jul).

LPA memberi kuasa kepada seseorang yang dilantik untuk membuat keputusan kewangan dan penjagaan kesihatan bagi pihak orang lain jika individu tersebut hilang keupayaan mental.

Sebagai sebahagian perubahan baru itu, masa menunggu mandatori sebelum LPA boleh didaftarkan kini dipendekkan kepada tiga minggu berbanding enam minggu sebelumnya.

"Ini mengurangkan masa menunggu keseluruhan untuk membuat LPA, namun cukup tempoh bagi pihak-pihak berkenaan untuk dimaklumkan bahawa LPA sudah difailkan, dan jika perlu, untuk menariknya semula," kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee.

Sebuah portal online juga akan ditubuhkan mulai 1 Ogos untuk membolehkan orang ramai mengakses secara elektronik LPA yang didaftar.

Encik Lee, yang juga Menteri Kedua Pembangunan Negara, mengumumkan demikian dalam satu acara mengumpul dana bagi penjaga golongan yang mengalami demensia atau nyanyuk anjuran Persatuan Penyakit Alzheimer.

Setakat Jun tahun ini, 67,000 warga Singapura sudah membuat pendaftaran LPA.

10 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas di Singapura sekarang ini mengalami demensia, atau sekitar 82,000 orang, menurut Institut Kesihatan Mental.

Jumlah ini dijangka meningkat melebihi 100,000 orang menjelang 2030.

Lantaran itu, Encik Lee menekankan Pemerintah sedang berusaha untuk memperkukuh sokongan bagi anggota keluarga dan penjaga pesakit nyanyuk.

Beliau menarik perhatian Jawatankuasa Semakan dan Perubahan yang Dipertingkat dalam Sistem Keadilan Keluarga (Jawatankuasa RERF) yang ditubuhkan pada November 2017.

Dianggotai para wakil dari MSF, Kementerian Undang-Undang, Mahkamah Keluarga, para pemimpin sektor sosial dan peguam keluarga, jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk menyemak dan memperkukuh perubahan dalam sistem keadilan keluarga.

Beberapa usulan diketengahkan, termasuk memudahkan proses pendaftaran Timbalan serta sokongan dipertingkat bagi para timbalan, termasuk latihan yang lebih mudah diakses.

Sesi maklum balas awam akan dianjurkan tidak lama lagi bagi mendapat pandangan pihak-pihak berkepentingan, kata Encik Lee.

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan