Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran bagi kereta diesel, teksi baru dihentikan pada 2025

Pendaftaran bagi kereta diesel dan teksi baru di Singapura akan dihentikan mulai 2025, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (4 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran bagi kereta diesel, teksi baru dihentikan pada 2025
Diterbitkan : 04 Mar 2021 04:07PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 04:14PM

SINGAPURA: Pendaftaran bagi kereta diesel dan teksi baru di Singapura akan dihentikan mulai 2025, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (4 Mac).

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk "memberi laluan kepada kenderaan yang lebih mesra alam", jelas Encik Ong.

"Seperti yang kita tahu, kereta diesel mengeluarkan PM2.5 (bahan zarah) dan pencemarannya lebih teruk (berbanding kenderaan petrol)," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa sasaran yang diumumkan sebelum ini adalah untuk menghentikan kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan memastikan semua kenderaan menggunakan tenaga yang lebih bersih menjelang 2040.

"Untuk merealisasikan visi ini dan memandangkan COE (Sijil Hak Memiliki Kenderaan) untuk kereta dapat bertahan selama 10 tahun, kami akan mewajibkan semua kereta dan teksi baru didaftarkan dengan model-model yang menggunakan tenaga yang lebih bersih," kata Encik Ong.

"Kereta-kereta itu terdiri daripada kereta elektrik, kereta hibrid, kereta yang menggunakan
bahan api hidrogen dan sebagainya. Memandangkan teknologi ini berkembang pesat, kami akan memantau perkembangannya dengan teliti dan akan memuktamadkan jenis model yang boleh didaftarkan sebelum 2030,” tambahnya lagi.

Terdapat pengurangan karbon bersih dengan beralih dari ICE ke kenderaan elektrik, walaupun tenaga elektrik itu dijana melalui bahan bakar fosil, kata Encik Ong. Beliau turut menarik perhatian bahawa Singapura - di mana sebahagian besar tenaga dijana melalui gas asli - penjimatan karbon bersih daripada beralih ke EV adalah sekitar 50 peratus.

"Hari ini, kenderaan secara keseluruhannya mengeluarkan sekitar 6.4 juta tan setara CO2 setiap tahun. Sekiranya subset kenderaan ringan semuanya menggunakan elektrik, jumlah pengurangan karbon bersih adalah kira-kira 1.5 hingga 2 juta tan setahun,” kata Encik Ong.

Ini boleh diterjemahkan sebagai pengurangan yang "tidak ketara" sekitar 4 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon negara, dedah Encik Ong.

"Bagi banyak negara, memandu dalam bandar adalah satu kelaziman, yang mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pengguna EV berhubung kehabisan bateri. Tetapi dengan persekitaran bandar kita, Singapura cukup ideal untuk menguji penggunaan kereta elektrik,” kata Encik Ong.

"Kita boleh berada di barisan hadapan dalam penggunaan teknologi ini untuk memajukan teras Pelan Hijau Singapura." 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan