Images
  • shell bukom
    Loji Shell di Pulau Bukom (Gambar: AFP)

Pencurian di loji penapisan minyak Shell Singapura jauh lebih besar

SINGAPURA: Minyak bernilai sekitar AS$150 juta (S$205.6 juta) dicuri dari loji penapisan minyak terbesar Shell sepanjang tempoh beberapa tahun, menurut dokumen mahkamah Singapura yang dilihat oleh Reuters. Jumlah ini jauh lebih banyak berbanding yang dilaporkan apabila pihak polis mendedahkan pencurian itu tahun ini.

Hampir setahun selepas serbuan yang menghasilkan puluhan tangkapan, termasuk beberapa bekas kakitangan Royal Dutch Shell, kertas tuduhan mendedahkan sekitar 340,000 tan minyak dicuri dari tapak besar minyak di Pulau Bukom, Singapura. Kecurian berlaku sejak 2014.

Tuduhan yang difailkan dalam beberapa bulan pertama siasatan selepas serbuan polis di Januari menunjukkan pencurian minyak bernilai sekitar AS$10 juta (S$13.7 juta). Tuduhan tambahan yang dikenakan pada Mei menunjukkan minyak sebanyak AS$40 juta (S$54.8 juta) dicuri.

Seorang jurucakap dari Shell mengatakan pihak syarikat itu "kecewa". Beliau menambah syarikat itu sudah bekerjasama dengan para penyiasat dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kejadian berulang di kemudahan yang terletak di Pulau Bukom, di selatan pulau utama Singapura.

"(Langkah-langkah) ini termasuk pemantauan lebih dekat ke atas produk yang keluar dan masuk Bukom, prosedur pengurusan kapal yang lebih ketat dan menambah latihan pematuhan dan etika," menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan yang dihantar ke Reuters menerusi emel pada Khamis (13 Dis).

Asia Tenggara adalah satu kawasan di mana perdagangan minyak haram kerap dijalankan. Ini kerana banyaknya pulau di perairan yang memberi perlindungan kepada kegiatan menyeludup minyak silang sempadan pada skala yang kecil.

Namun kekerapan dan keberanian pencurian di kemudahan penapisan Shell, yang ada antaranya berlaku semasa waktu kerja, amat menonjol.

"Bahan bakar mudah didapati dan susah untuk dikesan balik, menjadikan kegiatan menyeludupnya satu jenayah yang nampak kurang berisiko berbanding menyeludup dadah atau senjata api. Risiko penangkapan bagi kedua-dua jenayah ini adalah lebih tinggi," kata Ian Ralby, seorang pakar jenayah maritim yang bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan pemikir Atlantic Council yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

"Perasaan seolah-olah mereka selamat ini menyebabkan pencurian yang berani."

Nilai pencurian bahan bakar sedunia mungkin bernilai sekitar AS$133 bilion (S$182.3 bilion) setahun, menurut anggaran industri. Encik Ralby berpendapat nilai sebenar adalah lebih tinggi.

KES DIJANGKA BERLARUTAN

Kes di Singapura dijangka berlarutan, memandangkan pertuduhan baru ditambah dan pertuduhan lama diubah secara rutin. Siasatan polis masih sedang dijalankan.

"Kami kini di tahap di mana pertuduhan sedang disusun semula ... dakwaan terakhir akan makan masa yang lagi lama," kata Ho Lifen, seorang peguam yang mewakili satu mantan kakitangan Shell, Chai Zhi Zong.

Selain bekas kakitangan Shell, terdapat pertuduhan berkaitan yang difailkan terhadap bekas pekerja salah satu pembekal terbesar bahan bakar marin di Singapura, Sentek Marine & Trading Pte Ltd; seorang warga Singapura yang bekerja untuk Intertek, sebuah syarikat tersenarai di bursa Britain dalam bidang jaminan mutu dan kuantiti termasuk bagi produk bahan bakar; serta tiga warga Vietnam yang dituduh menyambut barang curi di atas kapal.

- Reuters/TQ/tq

Top