Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencegahan awal, bantuan lebih selaras berjaya dorong belia berisiko ke pangkal jalan

Seorang remaja lelaki daripada sebuah keluarga pincang tidak mahu pulang ke rumah. Tidak hairanlah memandangkan ibu bapanya sudah bercerai dan maka itu, beliau memilih untuk meluangkan masa merokok bersama rakan-rakannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pencegahan awal, bantuan lebih selaras berjaya dorong belia berisiko ke pangkal jalan

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 01:42PM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 01:47PM

SINGAPURA: Seorang remaja lelaki daripada sebuah keluarga pincang tidak mahu pulang ke rumah. Tidak hairanlah memandangkan ibu bapanya sudah bercerai dan maka itu, beliau memilih untuk meluangkan masa merokok bersama rakan-rakannya.

Beliau merupakan antara belia berisiko yang diberi lebih perhatian oleh para pekerja sosial dari Care Corner, yang berharap dapat mencegah mereka daripada terjerumus ke dalam kancah yang menyimpang dan merugikan.

"Kami cukup berpengalaman untuk mengetahui di mana untuk mencari mereka - iaitu di taman-taman, kolong blok dan tempat letak kereta di bahagian bumbung," kata Martin Chok, Penolong Pengarah Khidmat Belia di Care Corner.

Remaja itu mengambil masa selama enam bulan sebelum beliau akhirnya mengongsi masalah yang dialaminya di rumah bersama seorang pekerja sosial.

Pekerja sosial itu juga menggalak beliau supaya mengisi masa lapang dengan kegiatan-kegiatan yang lebih bermakna, dengan mengaturkan pekerjaan sambilan untuknya di sebuah kedai rangkaian makanan dan minuman.

Program yang dikendalikan Care Corner itu merupakan salah satu program pencegahan awal yang diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Encik Chok percaya langkah itu membawa kepada kemerosotan pada jumlah pesalah belia yang ditangkap.

Berucap di dialog mengenai kesalahan dan masalah remaja pada Isnin (9 Sep), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee berkata jumlah belia yang diberkas sudah merosot sebanyak sekitar 13 peratus - iaitu dari sekitar 3,100 pada 2014 kepada kira-kira 2,700 pada tahun lalu.

LEBIH BANYAK KOLABORASI ANTARA SEKOLAH, AGENSI KHIDMAT SOSIAL

Pemerintah akur tentang betapa pentingnya untuk mewujudkan usaha yang lebih selaras dalam menangani para pesalah belia.

Pada tahun lalu, ia menubuhkan Jawatankuasa Nasional mengenai Pencegahan, Pemulihan dan Pencegahan Kesalahan Berulang (NCPR) yang melibatkan agensi-agensi seperti Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Ehwal Luar (MHA).

Ketua Eksekutif Persatuan Kanak-Kanak Singapura, Alfred Tan, yang bekerja rapat dengan golongan muda, menarik perhatian bahawa sejak beberapa tahun lalu, program-program berstruktur bagi pencegahan awal diberikan lebih banyak tumpuan.

Sejak 1994, persatuan itu mengendalikan sejenis program yang membolehkan para pelajar untuk ke pusat-pusat yang disediakan di dalam kelas-kelas selepas waktu sekolah, kata Encik Tan.

"Sejak beberapa tahun ini, sekolah-sekolah lebih terbuka untuk berkolaborasi dan bekerjasama dengan agensi-agensi khidmat sosial demi kebaikan para pelajar," kata Ketua Pegawai Eksekutif NuLife Care and Counselling Services, Sheena Jebal.

Antara program-program yang dilaksanakan adalah program yang bertujuan untuk menangani masalah ponteng sekolah.

SEBUAH MASYARAKAT YANG LEBIH PEMAAF

Semasa menyampaikan ucapannya pada Isnin (9 Sep), Encik Lee menarik perhatian mengenai pentingnya pencegahan awal dan memberi peluang kedua.

"Para belia berisiko dan pesalah muda sering berdepan dengan keadaan-keadaan yang mencabar. Mereka tidak mempunyai sokongan keluarga yang mencukupi ataupun bercampur dengan kumpulan yang tidak baik.

"Ada kalanya ia berlaku di luar kuasa mereka namun akan meninggalkan kesan yang mendalam semasa mereka membesar," katanya.

"Kami mahu membantu golongan muda untuk membentuk akhlak dan kelakuan baik supaya mereka tidak lagi didera atau melakukan kesalahan dan berupaya mencapai potensi mereka yang sebenar," katanya.

Dr Jebal juga menarik perhatian bahawa sebahagian besar kemerosotan pada kesalahan melibatkan para belia mungkin dikaitkan dengan dasar-dasar sosial yang sudah banyak berubah sejak bertahun-tahun lalu.

"Kini terdapat lebih banyak usaha yang dijalankan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi relevan untuk menangani punca kesalahan mereka, serta tidak mengambil tindakan yang terlalu berat serta menyediakan beberapa kaedah untuk membantu golongan itu memperbaiki diri mereka," tambahnya.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan