Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penasihat akar umbi GRC Aljunied bidas Pritam Singh berhubung tuduhan 'pilih kasih'

Penasihat akar umbi Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi kawasan undi Eunos membidas ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh yang membayangkan kelengahan bagi pembinaan sebuah tanjakan bebas halangan di kawasan perumahan itu adalah kerana ia diusulkan oleh parti pembangkang.

Anggaran Waktu Membaca:
Penasihat akar umbi GRC Aljunied bidas Pritam Singh berhubung tuduhan 'pilih kasih'

Tanjakan di blok 108 Bedok Reservoir Road (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 19 Oct 2019 10:58PM Dikemas Kini : 20 Oct 2019 09:32AM

SINGAPURA: Penasihat pertubuhan akar umbi GRC Aljunied membidas ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh yang membayangkan kelengahan bagi pembinaan sebuah tanjakan bebas halangan di kawasan perumahan itu adalah kerana ia diusulkan oleh parti pembangkang.

Menyifatkan isu itu sebagai "red herring" atau percubaan menghalakan perhatian dari isu lain, Encik Chua Eng Leong - yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang kalah kepada WP di GRC Aljunied dalam pilihan raya lalu - cuba menarik perhatian kepada perlunya kebertanggungjawapan bagi mereka yang didapati mencabuli tugas fidusiari mereka.

Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi mendapati Encik Singh bersama anggota AP GRC Aljunied Sylvia Lim dan Low Thia Kiang bertanggungjawab atas kerugian yang dialami Majlis Bandaran Aljunied Hougang (AHTC) dan Pasir Ris-Punggol.

Menulis di Facebook pada Sabtu (19 Okt), Encik Chua berkata dakwaan Encik Singh bahawa pembinaan tanjakan itu sengaja dilengahkan adalah tuduhan yang "tidak berasas" memandangkan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Eunos turut mengusulkan projek serupa.

Kata beliau: "Memandangkan tanjakan tersebut juga disarankan oleh CCC Eunos, mengapa CCC Eunos ingin melambatkan projek itu?"

Encik Chua berkata, pembiayaan bagi tajakan itu dan projek pembangunan masyarakat lain diluluskan pada September 2016, dan pembinaannya dimulakan pada Disember 2018.

Tajakan di Blok 108 Bedok Reservoir Road itu diserahkan Persatuan Rakyat (PA) kepada AHTC yang dikendalikan WP, pada Selasa.

Awal minggu ini, Encik Singh menulis di Facebook dan menuduh PAP bersifat "memecah belah" dan "pilih kasih" berhubung proses-proses tertentu di kawasan undi pembangkang.

Menurut Encik Singh, yang menjaga kawasan undi Eunos, tajakan itu boleh siap dalam tempoh hanya beberapa bulan ketika ia diusulkan pada 2012.

Beliau menambah: "(Kelengahan) Ini tidak boleh diterima, tidak kira siapa yang membentuk pemerintah dan siapa pembangkang. Singapura dan warganya layak menerima yang lebih baik."

Bagaimanapun, Encik Chua berkata catatan Encik Singh itu "tidak berasas" dan sebaliknya menyelar beliau kerana membuat "komen yang tidak tepat dan memecah belahkan dari segi politik".

Beliau menambah: "Ia ada motif politik 'nakal' untuk membayangkan bahawa usulan oleh AP kerap diketepikan. Malah, Encik Singh pada 2015 akur bahawa 17 projek yang disarankan AHTC sudah diterima. Setiap saranan sama ada dari AP atau CCC, mesti diteliti dan diutamakan dengan betul, dengan kebertanggungjawapan dalam cara kita memberi penjelasan dan memberi kontrak sedemikian."

INI JAWAPAN KETUA WP

Sejurus selepas Encik Chua memuat naik catatan di Facebook, Encik Singh turut membuat catatan di wadah media sosial itu.

Menurutnya beliau "berbesar hati CCC akhirnya menangani isu ini, meskipun hanya setelah ia diketengahkan secara umum". Beliau menambah "banyak emel, permintaan untuk jawapan tidak terjawab dan tidak diendahkan selama beberapa tahun".

Menyentuh tentang tempoh pembinaan tanjakan itu, Encik Singh mempersoalkan "jika penantian tujuh tahun bagi sebuah usulan menjadi kenyataan" adalah kebiasaan di kawasan undi PAP.

"Jika dana sudah diperolehi pada 2016...tidak ada alasan bernas bagi kelengahan itu dalam catatan panjang Encik Chua," kata beliau.

Bersetuju bahawa setiap saranan perlu "diteliti dan diutamakan" sewajarnya, Encik Singh meminta Encik Chua "berkongsi perangkaan agar orang awam faham" berapa banyak dana diperuntukkan ke CCC Aljunied selepas WP mengambil alih pengurusan GRC Aljunied, "dibandingkan purata jumlah yang diperolehi CCC di kawasan undi lain".

Menjawab catatan Encik Chua yang menyentuh tentang keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes AHTC, Encik Singh menulis: "Oleh kerana mahkamah masih mengendalikan kes itu, saya pasti orang ramai faham mengapa saya tidak dapat memberi komen tentangnya".

Beliau mengakhiri jawapannya kepada Encik Chua dengan saranan agar CCC Aljunied dan Hougang serta para AP di kawasan undi tersebut "duduk bersama dan membangunkan protokol bagaimana saranan CIPC harus dikendalikan di kawasan undi pembangkang agar memastikan keadilan dalam pengagihan dana dan pelaksanaan berkesan projek-projek CIPC".

"Saya berbesar hati untuk mencapai huraian itu," tambah beliau. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan