Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemulihan pasaran buruh perlu penyelarasan yang berkesan: SM Tharman

Tugas memadankan rakyat kepada pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran unik mereka, tidak boleh dibiarkan kepada pasaran. Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata demikian pada Selasa (12 Jan). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jan 2021 08:21PM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 09:21PM

SINGAPURA: Tugas memadankan rakyat kepada pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran unik mereka, tidak boleh dibiarkan kepada pasaran.

Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata demikian pada Selasa (12 Jan) di luar satu sidang anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS).

Beliau menekankan, sejauh mana pasaran buruh Singapura pulih dari krisis COVID-19 bergantung kepada penyelarasan yang berkesan antara pemerintah, perniagaan dan kesatuan.

Pandemik COVID-19 membawa pelbagai cabaran untuk Singapura.

Ekonomi merudum semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan atau 'circuit breaker'.

Perniagaan pula perlu meningkatkan kepelbagaian dan pendigitalan sedang para pekerja berusaha untuk
menimba kemahiran baru dan menyesuaikan diri.

Kadar pengangguran di Singapura pada November merosot buat kali pertama pada 2020 namun masih terlalu awal untuk mengatakan keadaan terburuk sudah berakhir.

Berlatarkan keadaan ini, Encik Tharman berkata Pemerintah berusaha keras dalam membantu rakyatnya bangkit kembali mendapatkan pekerjaan.

"Kita perlu melakukannya dengan cara yang bukan sahaja menempatkan rakyat kita dalam pekerjaan secepat mungkin, tetapi kita juga perlu untuk mencari pemadanan terbaik bersesuaian dengan kemahiran dan modal manusia yang telah dibina," jelas beliau.

"Cara untuk mencapai kepantasan dalam memadankan pekerjaan adalah menerusi penyelarasan yang bermutu tinggi dan berkesan. Ia bukan sesuatu yang pasaran dan syarikat-syarikat boleh melakukan dengan baik sendiri. Mutu penyelarasan kini menjadi kemampuan asas yang perlu kita ada," beliau berkata lagi.

Memandang ke hadapan, menurut Encik Tharman, Singapura perlu melakukan dua perkara.

Pertama, pulih daripada pandemik COVID-19 dan kedua, bersiap sedia untuk masa depan ekonomi yang sudah mula berkembang.

Encik Tharman menambah bahawa
dorongan berterusan untuk pembelajaran sepanjang hayat juga sangat diperlukan.

Kini terdapat lebih 123,000 pekerjaan tersedia di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan bahawa sekitar 47,000 rakyat tempatan sudah ditempatkan dalam pekerjaan dari April hingga Oktober tahun lepas.

Dari segi meningkatkan pendapatan para pekerja bergaji rendah pula, Encik Tharman menegaskan pendekatan Singapura untuk menggabungkan Model Gaji Progresif dan Daya Kerja akan memberi manfaat kepada generasi tua yang kurang berpendidikan.

Beliau berkata inilah yang membezakan Singapura dari negara-negara lain di mana pengangguran golongan muda menjadi keprihatinan utama. 

Sumber : CNA/HK/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan