Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemulihan COVID-19 di rumah: MOH jawab soalan-soalan lazim

Dengan sistem yang "sangat tertekan" oleh lonjakan kes COVID-19 baru-baru ini dan pemulihan di rumah kini menjadi aturan pilihan, MOH pada Khamis (23 Sep) mengeluarkan jawapan bagi soalan-soalan yang lazim diajukan para pesakit yang sedang beransur pulih daripada penyakit itu di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemulihan COVID-19 di rumah: MOH jawab soalan-soalan lazim

Sebuah blok HDB di Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 02:43PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 02:51PM

SINGAPURA: Dengan lonjakan kes COVID-19 baru-baru ini dan pemulihan di rumah menjadi aturan pilihan bagi pesakit tertentu, sebilangan orang awam menyuarakan kekeliruan berhubung langkah terbaru negara dalam menangani pandemik koronavirus.

Pada Khamis (23 Sep), Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan senarai jawapan bagi soalan-soalan lazim mengenai skim pemulihan di rumah, seperti berikut:


Siapa yang layak?

Demi memastikan katil hospital tersedia bagi mereka yang benar-benar memerlukannya, pemulihan di rumah adalah aturan pilihan bagi pesakit lengkap divaksin yang:

  • Berusia 12-69 tahun
  • Mengalami gejala ringan atau tiada simptom
  • Tidak mengalami sakit teruk atau komorbiditi iaitu mempunyai dua atau lebih masalah perubatan pada masa serentak
  • Anggota keluarga yang tinggal serumah tidak termasuk warga emas berusia atas 80 tahun atau mereka dalam golongan lebih mudah terdedah kepada risiko seperti wanita hamil atau dengan respons imun yang lemah atau yang mengalami banyak penyakit lain

Pesakit yang menjalani pemulihan di rumah mesti boleh mengasingkan diri di dalam sebuah bilik, sebaik-baiknya yang dilengkapi dengan bilik air.

Saya diberitahu hasil ujian swab PCR saya positif COVID-19. Bagaimanapun belum ada sesiapa yang menghubungi saya untuk memberitahu supaya memulakan pemulihan di rumah atau di kemudahan masyarakat. Apa patut saya lakukan sekarang?

Lonjakan kes baru-baru ini menyebabkan kelengahan. MOH menyatakan ia sedang "memperhalusi" operasinya dan akan menghubungi anda secepat mungkin.

Sementara itu, asingkan diri di dalam sebuah bilik di rumah, sebaik-baiknya yang dilengkapi dengan bilik air dan memakai pelitup jika anda harus melangkah keluar dari bilik. Sekiranya anda tidak sihat, anda boleh menghubungi penyedia teleperubatan. Senarai penyedia seperti itu terdapat di https://go.gov.sg/telemedicineproviders.

Anda akan menerima pesanan SMS dengan lebih banyak maklumat mengenai langkah yang perlu diambil. Elak daripada menghubungi talian penting. Seorang 'buddy' atau rakan pemulihan rumah akan menghubungi anda.

Minta anggota keluarga anda untuk mendaftarkan diri mereka bagi arahan kuarantin elektronik di https://go.gov.sg/quarantinereg.

Anda juga akan dikenakan perintah pengasingan selama 10 hari.

Saya belum menerima pek jagaan rumah yang mengandungi termometer, oksimeter nadi, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk tangan. Siapa yang patut saya hubungi?

Pek jagaan dihantar kepada anda hanya jika anda tidak mempunyai oksimeter di rumah.

Hubungi rakan pemulihan rumah anda. Barang terpenting adalah oksimeter untuk memantau tahap oksigen dalam darah anda.

Pek itu akan dihantar kepada anda melalui penghantaran bebas kontak, sama seperti apabila anda memesan makanan untuk dihantar ke rumah anda.

Saya dikenakan arahan kuarantin elektronik dan anggota seisi rumah pula tidak boleh keluar rumah. Bagaimana untuk dapatkan makanan, barangan asas atau bekalan perubatan termasuk ubat-ubatan bagi anak-anak?

Cuba pesan barangan runcit dan makanan yang boleh dihantar ke rumah anda. Sekiranya ia bukan satu pilihan, anda perlu mendapatkan bantuan daripada sanak saudara, keluarga dan rakan-rakan anda. Untuk ubat pula, gunakan perkhidmatan teleperubatan 24 jam. Sekiranya anda memerlukan ubat, ia akan dihantar kepada anda.

Bagaimana boleh saya pastikan keselamatan anggota seisi rumah jika saya perlu ambil makanan, tukar pakaian atau buang sampah? 

Sekiranya anda benar-benar perlu meninggalkan bilik anda untuk melaksanakan tugas-tugas ini, pastikan bahawa tiada orang di rumah anda yang berada dekat dengan pintu masuk bilik anda. Pakai pelitup pembedahan sebelum membuka pintu, selesaikan tugas anda dan kembali ke bilik anda dengan secepat mungkin.

Saya kehabisan kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 untuk diri saya dan anggota serumah saya yang berada di bawah arahan kuarantin di rumah. Siapa yang boleh saya hubungi untuk dapatkan kit tambahan?

Anda tidak perlu melakukan ujian ART semasa dalam tempoh pemulihan di rumah.

Sekiranya anda dikenakan arahan kuarantin, kit ujian akan diberikan kepada anda semasa anda menjalani ujian swab di klinik atau pusat ujian pada permulaan kuarantin anda.

Terdapat stok kit ujian yang mencukupi di seluruh negara tetapi ia memerlukan beberapa hari untuk mengedarkannya ke kedai-kedai. Tunggu beberapa hari sebelum kembali ke kedai atau minta rakan mahupun saudara-mara membelinya dari kedai dan menghantarnya kepada anda.

Di mana patut saya muat naik hasil ujian oksimeter semasa jalani pemulihan di rumah?

Terus lakukan rejimen harian untuk memeriksa suhu badan, kadar nadi dan ketepuan oksigen darah anda. Serahkan bacaan-bacaan itu ke catatan harian pemulihan di rumah, selewat-lewatnya pada 10.00 pagi, di https://go.gov.sg/homeisolationdailyreport.

Saya mengalami beberapa gejala. Apa yang patut saya lakukan?

Sekiranya anda tidak sihat atau gejala anda (seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair, sakit kepala, sakit otot atau keletihan atau cirit-birit) semakin teruk, hubungi penyedia teleperubatan anda yang kemudian akan memberi anda panduan lanjut.

Bilakah boleh saya tamatkan pemulihan di rumah?

Tiada memorandum arahan tamat tempoh pemulihan diperlukan. Jika anda berasa sihat, anda dikira tamat tempoh pemulihan pada hari ke-10 setelah anda sakit. Tidak perlu lakukan ujian PCR lanjut kerana individu yang sudah divaksin sangat kurang berkemungkinan masih boleh berjangkit setelah tempoh ini.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan