Images
  • home recovery
    (Gambar: iStock)

Pemulihan COVID-19 di rumah: Apa yang perlu anda tahu?

SINGAPURA: Lebih ramai pesakit COVID-19 boleh menjalani pemulihan di rumah mulai hari ini (15 Sep) di bawah satu skim yang diperluaskan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Ini selepas MOH sebelum ini mengumumkan bahawa lebih 98 peratus kes COVID-19 di Singapura tidak mempunyai simptom atau mengalami gejala ringan.

Pemulihan di rumah akan dijadikan sebagai model pengurusan jagaan biasa bagi para pesakit COVID-19 yang layak dan para individu itu dibenarkan menjalani pengasingan sendiri dan mengambil langkah berjaga-jaga kesihatan sewajarnya di rumah dengan sokongan pemantauan telekesihatan.

"Kami memperuntukkan keupayaan hospital bagi mereka yang benar-benar memerlukan rawatan perubatan, supaya kami dapat terus memberikan jagaan sewajarnya bagi semua individu meskipun dengan jumlah kes jangkitan yang lebih tinggi," menurut MOH dalam satu kenyataan media semalam (14 Sep).

Berikut adalah apa yang perlu anda ketahui tentang aturan baru itu:

ADAKAH SAYA LAYAK BAGI PEMULIHAN DI RUMAH?

Sebaik sahaja seseorang itu diuji positif bagi COVID-19, pemulihan di rumah boleh dilaksanakan serta-merta jika mereka memenuhi syarat-syarat ini:

- Sudah menerima vaksin lengkap
- Berusia antara 12 hingga 50 tahun
- Tidak mengalami sebarang simptom atau hanya mempunyai gejala ringan
- Tidak mengalami sebarang penyakit teruk
- Tiada sebarang anggota keluarga yang berusia 80 tahun dan ke atas, atau berada dalam salah satu kumpulan mudah terjejas. Ini termasuk wanita hamil dan mereka yang mempunyai daya imun yang lemah atau pelbagai penyakit

PERLUKAH SAYA KE HOSPITAL TERLEBIH DAHULU?

Para individu tidak perlu ke hospital atau kemudahan jagaan masyarakat jika seseorang individu dijangkiti memenuhi syarat-syarat di atas.

Pada hari pertama mereka menjalani pemulihan di rumah, para pesakit akan menjalani penilaian awal melalui panggilan jauh oleh seorang penyedia teleperubatan bagi memastikan bahawa mereka sihat secara klinikal.

Mereka kemudian akan diberikan perintah pengasingan selama 10 hari dan mungkin diberikan alat pemantauan elektronik bagi memastikan mereka tidak keluar daripada bilik dikhususkan di rumah.

Bilik itu, yang juga seharusnya dilengkapi dengan sebuah tandas, perlu mempunyai pengudaraan baik dan tingkap dibuka.

BOLEHKAH KANAK-KANAK DIJANGKITI COVID-19 JALANI PEMULIHAN DI RUMAH?

Ibu bapa dibenarkan dan digalakkan untuk membawa pulang anak-anak mereka yang dijangkiti COVID-19 jika mereka berusia sekurang-kurangnya lima tahun dan tidak mengalami sebarang komorbiditi atau keadaan penyakit.

Pada minggu lalu, MOH menyatakan bahawa terdapat permohonan daripada para ibu bapa untuk membawa pulang anak-anak mereka yang dijangkiti kerana seringkali mereka berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang gejala, dan para ibu bapa lebih memilih untuk menjaga mereka di rumah.

"Bagi kanak-kanak sedemikian, mereka akan pertama kali dinilai oleh pihak hospital sama ada mereka sihat secara klinikal untuk menjalani pemulihan di rumah, sebelum mereka dihantar pulang untuk meneruskan dengan proses pemulihan di rumah," menurut MOH.

APAKAH LANGKAH SOKONGAN YANG ADA BAGI PEMULIHAN DI RUMAH?

Seorang pegawai yang dikenali sebagai Pendamping Pemulihan di Rumah, akan menghubungi individu berjangkit yang sedang menjalani pemulihan di rumah untuk menemani mereka sepanjang perjalanan itu, menurut MOH.

Jika perlu, individu berkenaan akan menerima bungkusan jagaan yang mengandungi termometer, oksimeter nadi, pelitup pembedahan dan cecair pembersih tangan.

"Para pesakit COVID-19 harus memantau, mengukur dan mencatitkan tanda-tanda kesihatan mereka seperti suhu badan, kadar nadi dan ketepuan oksigen darah (SpO2) sekurang-kurangnya sekali sehari menggunakan buku harian jagaan yang diberikan," menurut MOH.

Apabila bungkusan jagaan itu dihantar, para pesakit boleh menyerahkan token TraceTogether mereka kepada pegawai berkenaan supaya kontak-kontak rapat mereka boleh dikenalpasti bagi tujuan pengesanan kontak, tambah MOH.

Sekiranya sebarang bantuan perubatan diperlukan, para pesakit mempunyai akses 24/7 jam kepada penyedia teleperubatan yang dikhususkan.

BOLEHKAH SAYA BERINTERAKSI DENGAN ANGGOTA KELUARGA?

Para pesakit harus elakkan daripada mempunyai sebarang kontak secara fizikal atau bersemuka dengan anggota keluarga yang lain, bagi mengelakkan sebarang jangkitan virus, menurut MOH. Para pelawat juga tidak dibenarkan.

Memandangkan para anggota keluarga juga mungkin akan diberikan perintah kuarantin melalui kiriman SMS, mereka perlu membuat aturan bagi penghantaran tanpa sentuh apabila menghantar barang-barangan penting seperti makanan atau barangan dapur.

BAGAIMANA SAYA TAHU JIKA SAYA SUDAH SEMBUH?

Pada hari keenam pemulihan di rumah, pesakit itu boleh menghubungi penyedia khidmat teleperubatan yang dikhususkan untuk membuat aturan untuk menjalani swab tindak balas berantai polimerase (PCR) di rumah.

Jika keputusan ujian pesakit itu memenuhi kriteria pelepasan - keputusan negatif PCR atau jumlah zarah virus yang rendah - mereka dibenarkan untuk tidak lagi menjalani pemulihan di rumah pada hari ketujuh.

Jika tidak, tempoh pemulihan di rumah pesakit itu akan berakhir pada hari ke-10 tanpa perlu menjalani sebarang ujian, selagi pesakit itu dalam keadaan sihat, menurut MOH.

APA YANG HARUS SAYA LAKUKAN SETELAH SAYA SELESAI JALANI PEMULIHAN DI RUMAH?

Setelah selesai menjalani pemulihan di rumah, para pesakit COVID-19 tidak lagi tertakluk kepada sebarang sekatan pergerakan, meskipun mereka tetap dinasihati untuk menghadkan pergaulan sosial selama tujuh hari seterusnya, menurut MOH.

Para pesakit yang sudah sembuh boleh memohon sijil perubatan selama sehingga tujuh hari daripada penyedia khidmat teleperubatan, jika mereka memerlukan lebih banyak masa untuk berehat.

- CNA/HA/ha

Top