Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemindahan hartanah wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain: Apa yang perlu anda tahu?

Wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain adalah satu daripada sejumlah 43 wakaf yang dipindahkan ke 11 Beach Road.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kebelakangan ini timbul perbahasan, dakwaan dan kekeliruan tentang hartanah Wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain yang dijual dan dipindahkan daripada No 5 Lorong 9 Geylang ke hartanah komersil 11 Beach Road pada tahun 2002, yang mempunyai pegangan 999 tahun.

Wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain adalah satu daripada sejumlah 43 wakaf yang dipindahkan ke 11 Beach Road.

Kemudian setelah Wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain dijual, sebuah rumah ibadat agama lain didirikan di lokasi itu oleh pemilik baru.

Niat asal Allahyarham Haji Pitchay Meerah Hussain adalah untuk menggunakan hartanah wakaf tersebut sebagai sebuah madrasah. Maka, pelbagai soalan tercetus - mengapa hartanah wakaf itu dipindahkan? mengapa tidak dibangunkan sahaja sebuah madrasah baru mengikut tujuan wakaf dan sebagainya?

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataannya semalam (21 Jun), hartanah wakaf di lokasi asal itu berada dalam keadaan "usang" dan "tidak menjana sebarang pendapatan" untuk membolehkan tujuan asal wakaf itu dilaksanakan.

BERITAmediacorp menghubungi salah seorang anggota bersekutu Majlis Fatwa, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan menjawab persoalan-persoalan yang timbul tentang proses pengurusan dan pemindahan hartanah wakaf.

KENAPA TIDAK DIBANGUNKAN SEMULA SAHAJA?

Ustaz Mohd Kamal berkata langkah memindahkan hartanah wakaf dilaksanakan bersandarkan pada fatwa, yang membolehkan istibdal - iaitu "untuk mengubah pakai wakaf yang sudah ditetapkan".

Pada Oktober 1985, Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan panduan tentang langkah-langkah yang membolehkan pembangunan semula hartanah wakaf serta pemindahan aset.

Maka, mengapa tidak dibangunkan semula hartanah wakaf yang dikatakan "usang" itu berbanding memindahkannya ke sebuah lokasi lain?

Menurut Ustaz Mohd Kamal, beberapa perkara perlu dipertimbangkan semasa membuat keputusan.

Pertama, keadaan premis di Geylang yang mungkin tidak sesuai didirikan sebuah madrasah.

Ini merujuk kepada status 'red light district' yang sering dikaitkan dengan kawasan tersebut.

"Jadi kalaulah wakaf ini digunakan untuk kegunaan madrasah, kita bayangkan anak-anak kita akan lalu tempat situ. Adakah kita nak bangunkan madrasah di situ?" tanya Ustaz Mohd Kamal.

"Padahal (pada waktu itu) kita sudah ada madrasah-madrasah lain yang belum kita gunakan sepenuhnya," kata beliau, merujuk kepada enam madrasah sepenuh masa di Singapura yang boleh meraih manfaat daripada pulangan yang diperolehi daripada wakaf yang dipindahkan.

Kedua, kos yang begitu tinggi memandangkan keadaan hartanah yang sudah usang.

"Dah memang teruk. Kalaulah kita nak bangunkan balik dia punya kos sangat tinggi. Kemudian pentadbiran nak kena cari pentadbiran baru kemudian dia punya guru-guru baru, kos lagi baru, tempat pula," ujar Ustaz Mohd Kamal.

PEMINDAHAN WAKAF “KEPUTUSAN YANG BAIK”

Maka, Jawatankuasa Fatwa memutuskan untuk menjual premis wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain di Geylang dan memindahkannya ke 11 Beach Road.

Ternyata, langkah tersebut “menunjukkan hasil yang baik” dan merupakan satu “keputusan yang baik", menurut beliau. Ini kerana “terbukti sewa daripada aset baru ini menjana pulangan yang baik dan telah memberikan sumbangan-sumbangan kepada madrasah-madrasah kita”.

Contohnya, sejak tujuh tahun lalu, sebanyak S$200,000 daripada wakaf itu sudah diagihkan kepada Madrasah Al-Maarif, Madrasah Alsagoff dan Madrasah Wak Tanjong.

KENAPA TIDAK DIJUAL KEPADA ORANG ISLAM?

Menurut Ustaz Mohd Kamal, berdasarkan maqasid atau objektif syariah, harta wakaf sebaik-baiknya diusahakan untuk dijual pada harga yang terbaik.

"Untuk nak dapatkan harga tertinggi, (maka dijual) dalam pasaran terbuka. Bila dijual, saya pasti dia punya kegunaan tidak disebutkan. Jadi itu proses jual beli yang berlaku di Singapura.

"Memang kita pun tak boleh tetapkan ‘awak mesti digunakan untuk ini sahaja'. Tak boleh. Di Singapura kita nak jual rumah kita tak cakap ‘awak jangan gunakan untuk ini sahaja' atau kita (pilih) nak jual kepada orang Islam sahaja. Tak ada. Itu bukan Singapura," tambah beliau.

Hartanah asal yang sudah dijual itu kini bukan lagi dikira sebagai hartanah wakaf.

Sebaliknya, hartanah wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain digantikan dengan hartanah di nombor 11 Beach Road - iaitu sebuah bangunan komersil pegangan pajak 999 tahun.

"Wakaf sudah ditukar kepada aset baru. Jadi aset yang dibeli baru itu pula ditukar wakafnya menjadi wakaf kepada si pemilik ini. Jadi pemilik ini tak hilang dia punya pahala. Jangan pula nanti kita kata ‘oh ustaz, dia ini berdosa. Dia punya wakaf jadi kuil pula’.

"Tidak! Sudah dipindahkan. Kemudian hasil yang dikeluarkan itu lebih banyak. Maksudnya, si wakif ini, iaitu orang yang mewakafkan ini mendapat pahala yang lebih banyak lagi. Lebih bermanfaat lagi asetnya," jelas Ustaz Mohd Kamal.

Beliau menambah selepas 999 tahun, tempoh wakaf "sudah habis" tetapi "pahala wakaf kekal"berdasarkan niat wakif.

"Wakaf memang berterusan sampai kiamat. Tapi di Singapura takde hartanah yang berkekalan kerana kawasan yang terhad. Singapura tak benarkan hartanah dimiliki sampai kiamat," tambah Ustaz Mohd Kamal.

ADAKAH KELUARGA WAKIF TIDAK DIMAKLUMKAN?

Dakwaan-dakwaan yang timbul di media sosial seolah-olah menunjukkan bahawa anggota keluarga wakif tidak dimaklumkan sepenuhnya tentang proses pemindahan wakaf dan tujuannya.

Apabila ditanya, MUIS memberitahu BERITAmediacorp pengamanah wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain sudah meninggal dunia dan “baki pengamanahnya enggan menguruskan lagi hartanah wakaf”.

Maka, tanggungjawab menguruskan hartanah wakaf tersebut jatuh sepenuhnya ke tangan MUIS.

"Memang MUIS mempunyai hak sepenuhnya kerana bidang pentadbiran wakaf ini sudah dimasukkan di dalam AMLA (Akta Pentadbiran Hukum Islam). Dan ini adalah langkah yang penting.

"AMLA ini menjaga wakaf yang dimiliki oleh rakyat Singapura kerana harta wakaf ini adalah harta masyarakat. MUIS cuma menjalankan tugas. MUIS diberikan kuasa," Ustaz Mohd Kamal memberitahu BERITAmediacorp.

Lantaran itu, MUIS mengutamakan kepentingan wakif dan mengikut rukun wakaf - iaitu orang yang mewakafkan harta, harta yang diwakafkan, penerima manfaat wakaf dan dokumen berkaitan pewakafan.

"Kalau keluarga diberikan penjelasan saya rasa lebih bagus. Mungkin lah. Jadi tak timbul isu ini. Jadi dia punya perhubungan awam itu sudah dijalankan. Jadi mungkin ini satu pengajaran. Iaitu tentang perhubungan awam kita. Perhubungan awam dengan masyarakat penting ataupun terutama sekali kepada ahli keluarga," kata Ustaz Mohd Kamal.

MUIS dalam kenyataan medianya semalam juga menyatakan ia sedang menghubungi keluarga wakif untuk memberi jaminan bahawa niat wakif tetap dihormati dan niat lebih luas di sebalik wakaf yang dibuat akan terus dipenuhi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan