Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peminat Trump dari M'sia sanggup belanja RM2,000 untuk peluang dekatinya

Seorang peminat Donald Trump dari seberang tambak sanggup membelanjakan S$765 untuk menginap di Hotel Shangri-La semalaman hanya untuk bertemu dengan presiden Amerika Syarikat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Peminat Trump dari M'sia sanggup belanja RM2,000 untuk peluang dekatinya

Encik Maharaj Mohan (Gambar: TODAYOnline/Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Jun 2018 08:56AM Dikemas Kini : 13 Jun 2018 08:59AM

SINGAPURA: Seorang peminat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dari seberang tambak sanggup membelanjakan S$765 untuk menginap di Hotel Shangri-La semalaman hanya untuk bertemu dengan presiden Amerika Syarikat itu.

Namun sesudah memasuki bilik hotel pada petang Isnin (11 Jun) dan berlegar-legar di lobi hotel untuk cuba melihat wajah Encik Trump, Encik Maharaj Mohan akhirnya hanya dapat berswafoto (selfie) dengan The Beast - iaitu kereta presiden berkenaan.

Sambil menunjukkan gambarnya dengan kereta tersebut, Encik Mohan, 25 tahun, berkata beliau mengakui bahawa beliau hanya berpeluang 'satu peratus' untuk bertemu idolanya.

Encik Mohan, yang menginap di bahagian hotel yang bersebelahan dengan Encik Trump, menunggu di lobi hotel sejak 6.30 pagi Selasa untuk mengekori pergerakan presiden itu.

Pada Isnin, beliau menunggu selama lima jam untuk cuba mendapatkan tandatangan pada buku 'Trump: The Art of the Deal'

Namun beliau hanya mendapat sekilas susuk Encik Trump sekitar 8.00 pagi pada Selasa saja, apabila presiden tersebut meninggalkan hotel berkenaan untuk menuju ke sidang puncak Trump-Kim di Hotel Capella di Sentosa.

Sungguhpun demikian, mengharungi kesesakan lalu lintas di Koswe selama dua jam dan membelanjakan S$765 tetap berbaloi, dedah beliau kepada Mediacorp.

"S$765 jumlah yang banyak, lebih daripada RM2,000. Namun ini tidak seberapa untuk bertemu presiden itu," tambah beliau.

Beliau cuba mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan untuk menyertainya, namun tiada yang berminat.

"Agak sunyi sebagai seorang penyokong Trump di Malaysia." katanya.

Berkongsi tentang minatnya terhadap Encik Trump, yang membuat "ramai membencinya", Encik Mohan berkata warga Amerika itu pertama kali menarik perhatiannya semasa memenangi "perlawanan hartawan" dalam rancangan gusti WWE WrestleMania.

Beliau kemudian membaca tentang gaya kepimpinan Encik Trump dan semakin menghormatinya, terutamanya "cara beliau menamatkan rundingan", sambil merujuk kepada buku di dalam genggamannya.

Pendek kata, Encik Mohan teruja akan presiden Amerika yang mengutamakan negaranya.

"Itulah cara seorang pemimpin sebenar. Beliau tidak sepatutnya dengar orang lain kecuali rakyat. Rakyat patut didahulukan. Jika mantan perdana menteri Najib Razak menjaga rakyatnya, Malaysia tidak seteruk sekarang. Trump mengutamakan Amerika," ulas Encik Mohan. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan