Images
  • vivian kedah
    Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan (kiri) memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. (Gambar: Vivian Balakrishnan/Facebook) 

Pemimpin S'pura utus kawat takziah atas pemergian Sultan Kedah

SINGAPURA: Pemangku Presiden, J Y Pillay dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengutus surat takziah kepada balu Sultan Kedah Sultan Abdul Halim yang meninggal dunia pada Isnin (11 Sep).

Dalam suratnya, Encik Pillay berkata Sultan Abdul Halim amat prihatin dan sayang terhadap rakyat Kedah sepanjang beliau menduduki takhta selama enam dekad.

Encik Pillay menarik perhatian bahawa Sultan Abdul Halim memperkenalkan banyak inisiatif yang membantu meningkatkan mutu kehidupan semua rakyat Malaysia.

Menurut Encik Pillay lagi Lawatan Negara yang dilakukan Sultan Abdul Halim ke Singapura tiga tahun lalu membantu memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Dalam suratnya pula, PM Lee menyifatkan Sultan Abdul Halim sebagai seorang yang "disayangi dan dihormati" rakyat Malaysia.

Meskipun perlu memikul tugas diraja yang berat, Sultan Abdul Halim berkhidmat kepada negaranya dengan "sifat rendah diri" dan "penuh dedikasi tanpa mementingkan diri sendiri".

Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan menghadiri upacara pemakaman Sultan Abdul Halim di Kedah pagi tadi dan menyampaikan ucap takziah bagi pihak pemerintah Singapura.  

- BERITAMediacorp/NT/ru

Top