Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin S'pura ucap tahniah sempena 71 tahun China diasaskan

Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (1 Okt) menyampaikan ucapan tahniah kepada rakan sejawatan mereka sempena 71 tahun Republik Rakyat China diasaskan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin S'pura ucap tahniah sempena 71 tahun China diasaskan

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden China Xi Jinping pada 29 Apr 2019 (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 01 Oct 2020 09:06AM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 09:09AM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (1 Okt) menyampaikan ucapan tahniah kepada rakan sejawatan mereka sempena 71 tahun Republik Rakyat China diasaskan.

Dalam suratnya kepada Presiden Xi Jinping, Puan Halimah berkata “China telah membuat kemajuan besar sepanjang tujuh dekad lalu, khususnya selepas pelancaran dasar pembaharuan dan pintu terbuka pada 1978”.

Beliau berkata China, ekonomi kedua terbesar dunia, adalah rakan dagangan utama bagi banyak negara, termasuk Singapura, dan adalah antara yang pertama mengawal pandemik COVID-19 dan menggerakkan semula ekonominya.

“Hubungan Singapura-China berkembang seiring dengan kemajuan Singapura," kata Puan Halimah, yang menambah tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Dalam tempoh singkat 30 tahun, hubungan dua hala kita menjadi amat kukuh dan menjangkau pelbagai bidang baru. Di tengah-tengah pandemik, negara-negara kita telah memperdalam kerjasama dua hala dan rakyat kita saling menyokong antara satu sama lain.

"Sedang kita melangkah ke sebuah dunia pasca COVID-19, saya amat yakin kedua-dua negara kita akan terus bekerjasama rapat demi kebaikan bersama rakyat kita. Saya mengharapkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang berterusan bagi Republik China," kata Puan Halimah, sambil menambah beliau menantikan lawatan negaranya ke China kelak.

Menulis kepada Perdana Menteri China Li Keqiang, Encik Lee memuji pertumbuhan China yang "menakjubkan" sepanjang beberapa dekad lalu.

"Setelah mengeluarkan ratusan juta rakyat daripada kemiskinan, China dijangka membasmi kemiskinan sama sekali pada hujung tahun ini. Kejayaan ini menjadi bukti ketabahan rakyat China," tulis beliau.

"Meskipun di tengah-tengah sekitaran global yang semakin tidak menentu, saya yakin China akan terus berkembang dan menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran rantau ini dan dunia."

Kerjasama antara Singapura dengan China adalah "meluas dan bercita-cita tinggi" serta merangkumi pelbagai bidang dari pembangunan kawasan perindustrian, pembangunan bandar eko serta memperkukuh keterhubungan antara kedua-dua negara, kata Encik Lee.

Encik Lee menambah kedua-dua negara juga sedang merancang kerjasama dalam bidang-bidang baru dalam pengurusan kesihatan awam serta kajian dan pembangunan vaksin.

Beliau menambah bahawa Singapura mengalu-alukan langkah memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau, "yang bertepatan pada masanya untuk mengesahkan komitmen bersama dalam menegakkan sistem perdagangan berasaskan undang-undang."

"Saya mengucapkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang berterusan buat Republik Rakyat China.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan