Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin S'pura rakam takziah atas pemergian Presiden BJ Habibie

Para pemimpin Singapura pada Khamis (12 Sep) merakamkan ucapan takziah mereka kepada Encik Ilham Akbar Habibie atas pemergian ayahnya, mantan presiden Indonesia, BJ Habibie.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin S'pura rakam takziah atas pemergian Presiden BJ Habibie

Mantan presiden Indonesia President B J Habibie pada Mac 2007. Beliau meninggal dunia pada usia 83 tahun. (Gambar: Adek BERRY/AFP)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 04:35PM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 04:37PM

SINGAPURA: Para pemimpin Singapura pada Khamis (12 Sep) merakamkan ucapan takziah mereka kepada Encik Ilham Akbar Habibie atas pemergian ayahnya, mantan presiden Indonesia, BJ Habibie.

Mantan presiden itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Hospital Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto pada Rabu (11 Sep). Allahyarham berusia 83 tahun.

Dalam sepucuk surat ucapan takziah, Presiden Halimah Yacob berkata Profesor Habibie "setia" dalam menjalankan khidmat kepada Indonesia.

"Indonesia kehilangan seorang pemimpin yang mengemudi negara dengan penuh matlamat dan arah semasa peralihannya kepada demokrasi dan setelah krisis kewangan Asia," kata Presiden Halimah.

"Presiden Habibie setia dalam khidmat beliau kepada negaranya dan dalam usahanya untuk menambah baik kehidupan setiap rakyat jelata Indonesia."

Dalam sepucuk surat berasingan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis bahawa mantan presiden itu memimpin negaranya semasa melalui peralihan tempoh yang mencabar.

"Presiden Habibie memimpin Indonesia dalam peralihan mencabar sewaktu reformasi. Ia adalah satu titik tolak penting bagi Indonesia," menurut PM Lee.

"Beliau bertungkus-lumus untuk menstabilkan negaranya sewaktu krisis kewangan Asia pada 1997. Beliau juga menggesa supaya diwujudkan autonomi lebih besar peringkat wilayah dan pengagihan kuasa di Indonesia, dengan tujuan untuk menyatukan serta memperbaiki kehidupan semua rakyat Indonesia."

PM Lee juga berkongsi bahawa Profesor Habibie mempunyai "minat terhadap kejuruteraan dan teknologi" sambil menggelar Allahyarham sebagai seorang yang "berjiwa saintis".

PM Lee menulis: "Minatnya terhadap kejuruteraan dan teknologi terserlah apabila saya melawat sebuah kilang Bandung, Industri Pesawat Terbang Nusatura, yang kini dikenali sebagai Dirgantara Indonesia, pada 1987.

"Ia sebuah kemudahan yang menakjubkan dan adalah satu kebanggaan dan kegembiraan buat Presiden Habibie," tambah beliau. "Beliau pastinya gembira dengan langkah-langkah penting yang sudahpun dibuat oleh Indonesia dalam mengembangkan sektor teknologi dan ekonomi digitalnya."

Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tok juga menulis surat ucapan takziah.

Encik Teo menulis tentang pertemuan beliau bersama Profesor Habibie semasa krisis kewangan Asia manakala Encik Goh pula berkongsi tentang "kecekalan" Allahyarham dalam memimpin Indonesia.

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan juga mengirimkan surat kepada rakan sejawatannnya dari Indonesia, Cik Retno Marsudi, untuk menyampaikan ucapan takziah.

Encik Teo, yang sedang melakukan lawatan kerja ke Jakarta, melawat kediaman mantan presiden itu bagi memberikan penghormatan terakhir beliau dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan