Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin S'pura mesti berani buat perubahan

Singapura dalam keadaan yang baik dan Pemerintah sedang melakukan tugas-tugasnya bagi mencapai matlamat yang ditetapkan namun "jangan beranggapan bahawa Singapura akan terus berjaya".

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin S'pura mesti berani buat perubahan

Presiden Halimah Yacob menyampaikan Ucapan Presiden pertama di sesi kedua Parlimen ke-13 (7 Mei).

Diterbitkan : 07 May 2018 09:43PM Dikemas Kini : 07 May 2018 09:52PM

SINGAPURA: Singapura dalam keadaan yang baik dan Pemerintah sedang melakukan tugas-tugasnya bagi mencapai matlamat yang ditetapkan namun "jangan beranggapan bahawa Singapura akan terus berjaya".

Menurut Presiden Halimah Yacob itulah sebabnya para pemimpin Singapura tidak boleh "menggunakan pendekatan yang salah" iaitu membuat perubahan sedikit-sedikit, bukan perubahan yang berani.

Dalam ucapan beliau semasa membuka sesi kedua Parlimen ke-13, Presiden Halimah berkata pasukan kepimpinan generasi keempat sedang dibentuk dan para pemimpin baru itu sedar bahawa Singapura berada di tahap lanjut pembangunannya.

"Kita mungkin berpendapat kita akan mengalami lebih banyak kerugian sekarang. Kita mungkin terdorong untuk tidak melakukan perubahan-perubahan yang berani, sebaliknya berpuas hati untuk melakukan perubahan kecil atau sedikit", kata Presiden. "Itu pendekatan yang salah".

Menurut Presiden Halimah Singapura berpeluang meraih banyak kemajuan. Ia terletak di kawasan Asia yang sedang berkembang; sebuah masyarakat berbilang budaya dengan para penduduknya datang dari pelbagai latar belakang, hidup bersama secara harmoni.

Beliau menambah kita perlu mengekalkan semangat golongan perintis kita dan terus berusaha melakukan yang lebih baik dengan setiap generasi melakukan lebih baik daripada generasi sebelumnya.

Presiden Halimah menyebut beberapa perkembangan penting di dalam dan luar negara yang perlu difahami dan ditangani.

KETEGANGAN GLOBAL DAN SERANTAU

Pertama: Perubahan-perubahan Strategik.

Paksi ekonomi dunia sedang beralih ke Asia berikutan kebangkitan China dan India. Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) juga sedang menarik semula minat dari kalangan pelabur-pelabur antarabangsa dan trend ini baik untuk Singapura, kata Presiden Halimah.

Bagaimanapun ia banyak bergantung kepada hubungan antara Amerika Syarikat dengan China yang menjadi "tunggak keamanan dan kemakmuran serantau dan sejagat - satu hubungan yang disifatkan Presiden Halimah sebagai "dinamik".

"Pertikaian perdagangan hanyalah salah satu aspek ketegangan dalam hubungan dua hala Amerika-China yang menjejas seluruh dunia terutama sekali ekonomi-ekonomi kecil seperti kita", kata Presiden Halimah.

Selain itu, kata beliau, ketegangan serantau seperti perkembangan di Semenanjung Korea dan pengganasan terus menjadi bidang tumpuan.

Hubungan dengan jiran-jiran terdekat Singapura juga perlu diberi perhatian.

Presiden Halimah berkata hubungan dengan jiran-jiran terdekat Singapura - Malaysia dan Indonesia - adalah mantap dan merangkumi pelbagai bidang. Sejarah dan warisan kita saling berkaitan. Perkongsian yang terjalin antara negara-negara jiran itu semakin berkembang sejak beberapa tahun ini dan akan terus diperkukuhkan.

"Kita mesti memupuk hubungan dua hala ini dengan berhati-hati terutama sekali semasa musim pilihan raya dan mengelakkan daripada mencampuri politik dalam negeri mereka.

TEKSTUR MASYARAKAT SINGAPURA SEDANG BERUBAH

Di dalam negeri pula, Presiden Halimah berkata tekstur masyarakat Singapura sedang berubah dengan penduduknya kian menua. Permintaan terhadap sistem jagaan kesihatan dan jaminan sosial negara akan bertambah.

"Kita telah melihat bagaimana jurang pendapatan dan sosial telah memecah belahkan perpaduan sosial di banyak negara. Jika hal itu berlaku kepada kita, politik kita akan menjadi buruk, masyarakat kita akan berpecah belah dan negara kita akan menjadi lemah," kata Presiden Halimah.

"Kita perlu menangani isu ketidaksamarataan terutama sekali permulaan yang tidak sama bagi kanak-kanak dari latar belakang keluarga yang berbeza, sebelum masalah itu berakar umbi di dalam masyarakat kita."

Beliau juga menyebut polarisasi agama, xenofobia dan nasiolisme melampau sebagai "anasir-anasir semakin kuat yang memecahbelahkan di banyak tempat di dunia dan wadah online digunakan bagi menyebarkan kepalsuan dan maklumat tidak tepat.

Singapura, kata beliau, mesti tidak membiarkan dirinya tunduk kepada anasir-anasir itu.

"Semua perkembangan yang sudah saya gariskan itu boleh menjejas kita dengan cara yang tidak diduga. Kita perlu mengawasinya dengan teliti, menanganinya dengan tegas dan maju bersama-sama", kata Presiden.

"Kita sudahpun mempunyai dasar-dasar dan program untuk menangani perubahan-perubahan itu. Tugas-tugas tersebut perlu diteruskan melampaui mandat Pemerintah sekarang.  

Sumber : CNA/MU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan