Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin kesatuan veteran dicalonkan sebagai NMP

Jika pencalonannya diterima, Arasu Duraisamy akan menggantikan wakil buruh NMP K Thanaletchimi yang mengakhiri penggal khidmatnya pada September.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin kesatuan veteran dicalonkan sebagai NMP

Encik Arasu Duraisami (Gambar: NTUC)

Diterbitkan : 29 Jun 2018 04:33PM Dikemas Kini : 29 Jun 2018 04:37PM

SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Jumaat (29 Jun) mengumumkan bahawa ia mencalonkan ketua kesatuan mapan Arasu Duraisamy sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang mewakili gerakan buruh, menggantikan NMP K Thanaletchimi yang akan tamat tempoh khidmatnya pada September.

Dalam satu kenyataan media, NTUC menyatakan Encik Arasu, 50 tahun, ialah anggota dilantik Jawatankuasa Pusat gerakan tersebut dan juga setiausaha agung Kesatuan Pekerja Pelabuhan Singapura (SPWU). Beliau menganggotai SPWU pada 1993 dan dilantik ke jawatannya sekarang pada Oktober 2014.

Encik Arasu juga merupakan ahli Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) dan mewakili pandangan pekerja dalam melakarkan garis pandu gaji. Beliau juga mewakili NTUC dalam Majlis Pengangkutan Awam (PTC) dan menyumbangkan pandangan sebagai seorang pekerja dan pengguna sistem pengangkutan.

Menurut kenyataan itu lagi, Encik Arasu ialah anggota Bahagian Limbungan Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa dan menyokong prinsip perikatan tiga pihak Singapura.

"Dalam pandangan saya, seorang NMP perlu mempunyai minat mendalam untuk berkhidmat kepada rakyat," kata Encik Arasu dalam kenyataan tersebut.

"NMP Buruh perlu mengetengahkan maklum balas dan keprihatinan para pekerja kami di Parlimen agar isu-isu penting boleh diselesaikan dan perubahan boleh dilaksanakan demi kebaikan pekerja dan ekonomi.

"NMP berkenaan juga mesti berupaya mendampingi orang awam dan memperolehi kepercayaan dari para pekerja untuk meletakkan kepentingan mereka sebagai hal paling utama," tambah beliau.

Mengulas tentang pencalonan itu, presiden NTUC Mary Liew berkata kesatuan tersebut yakin Encik Arasu akan memberi nilai tambah dengan menyuarakan tentang isu kepentingan dan kebajikan pekerja di Parlimen.

Jika pencalonannya diterima, Encik Arasu akan mengambil alih NMP K Thanaletchimi, yang mengakhiri penggal khidmatnya pada September. Encik Arasu akan menjadi wakil ke-12 kesatuan itu yang dicalonkan sejak 1992, menurut kenyataan media.

Minggu lalu, masyarakat seni mencalonkan dua nama - pensyarah Sekolah Seni Singapura (SOTA) Felicia Low dan penggiat seni visual Woon Tien Wei sebagai pengganti NMP Kok Heng Leun

Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen menyatakan bahawa pencalonan awam bagi barisan NMP baru dibuka dari 4 Jun hingga 6 Julai pada 4.30 petang.

Skim NMP pertama kali diperkenalkan pada 1990 dan memperuntukkan sehingga enam anggota, namun ini ditambah kepada sembilan anggota pada Julai 1997. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan