Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilikan rumah bantu rakyat S'pura bangunkan aset, kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dengan menjadikan pemilikan rumah sebagai dasar utama negara, Pemerintah sudah membantu memperbaiki kehidupan rakyat Singapura dengan ketara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Aug 2018 08:13PM Dikemas Kini : 24 Aug 2018 09:32PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dengan menjadikan pemilikan rumah sebagai dasar utama negara, Pemerintah sudah membantu memperbaiki kehidupan rakyat Singapura dengan ketara. PM Lee berkata demikian dalam satu ucapan pada Jumaat (24 Ogos) menyusuli beberapa pengumuman utama mengenai dasar perumahan yang dibuat semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (19 Ogos).

"Pemerintah sudah lama berusaha untuk menjadikan pemilikan rumah sebagai dasar utama negara atas sebab-sebab baik," kata PM Lee semasa melancarkan buku yang berjudul "Critical Issues in Asset Building in Singapore's Development" atau "Isu-isu Kritikal Pembinaan Aset dalam Pembangunan Singapura".

PM Lee berkata dengan memiliki rumah mereka sendiri, rakyat Singapura mempunyai "taruhan di dalam negara ini" dan sebab untuk mempertahankannya ketika dalam "keadaan sukar".

"Ia membolehkan setiap rakyat Singapura untuk berkongsi pertumbuhan ekonomi negara kerana apabila ekonomi berkembang, nilai rumah anda juga akan naik," kata beliau. "Dan hampir setiap keluarga mempunyai aset yang cukup besar, termasuk keluarga berpendapatan rendah."

Menurut PM Lee, dasar perumahan di negara ini sudah membantu Singapura untuk mengelakkan kesan buruk kemiskinan yang sering berlaku, walaupun di negara-negara mewah.

"Kami boleh membiarkan perumahan kepada pasaran privet seperti Hong Kong. Kami boleh mengawal sewa seperti di San Francisco; atau kami boleh menyediakan flat sewa pada kadar bersubsidi kepada para penyewa," kata PM Lee. "Tetapi semua altenatif ini tidak akan mencapai hasil ekonomi dan sosial yang serupa dengan pemilikan rumah."

PM Lee mengumumkan dasar-dasar utama perumahan semasa di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (19 Ogos), termasuk rancangan Pemerintah untuk meluaskan Program Peningkatan Rumah kepada flat-flat lebih baru, mempertingkat setiap flat HDB sebanyak dua kali serta mengambil semula flat-flat HDB bagi membangunkan semula bandar-bandar lama di bawah Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela atau VERS.

"Kita harus bertindak adil bagi generasi-generasi akan datang... Selepas (99 tahun), flat itu akan dikembalikan kepada negara, dan Pemerintah akan membangunkan semula tanah itu serta membina flat-flat baru bagi generasi akan datang. Ini, satu-satunya cara untuk mengitar semula tanah," kata beliau sebelum ini.

Memberi respons kepada mereka yang menyifatkan tempoh pajakan selama 99 tahun sebagai satu lanjutan tempoh sewa, PM Lee berkata: "Secara terus terang, saya mendapati bahawa komen itu sungguh menghairankan."

"Kebanyakan hartanah privet juga mempunyai tempoh pajakan selama 99 tahun, namun tiada sesiapa pun yang mengatakan bahawa hartanah itu hanya disewakan," kata beliau.

"Pemilik flat HDB mempunyai hak sepenuhnya ke atas flat-flat mereka, sama seperti pemilik hartanah privet."

ASET TIDAK TERNILAI

PM Lee juga menyentuh mengenai bagaimana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sudah membantu rakyat Singapura membangunkan aset mereka. Beliau berkata: "Pendekatan kami terhadap pembangunan aset memberi penekanan pada etika kerja dan tanggungjawab peribadi seseorang, disokong oleh dasar-dasar dan sumber pemerintah."

PM Lee menambah bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat Singapura terhadap dasar-dasar itu adalah salah satu daripada "aset tidak ternilai" negara ini.

PM Lee menekankan bahawa nilai-nilai yang dikongsi bersama dan norma-norma sosial negara ini seperti sikap tidak bertoleransi terhadap rasuah dan menerima Perkhidmatan Negara (NS) sebagai satu pengorbanan yang penting, memperkukuhkan masyarakat dan penyatuan Singapura.

"Aset-aset tidak ternilai inilah yang menyatukan kita sebagai rakyat Singapura. Aset-aset ini membolehkan masyarakat kita untuk menghuraikan masalah dan mencapai kemajuan menerusi pelbagai cara, yang sukar untuk diikut oleh masyarakat-masyarakat lain," kata beliau.

Aset-aset tidak ternilai itu dibincangkan dalam buku yang diterbitkan secara bersama oleh dua profesor madya dari Universiti Nasional Singapura, Dr S Vasoo dan Profesor Bilveer Singh, tambah PM Lee.

"Adalah penting bagi ahli akademi dari universiti-universiti kami serta para pakar untuk mengkaji dan membahaskan isu-isu yang penting bagi Singapura," kata beliau.

"Ia akan membantu kami untuk memahami isu-isu dengan lebih mendalam, menghasilkan huraian yang lebih berkesan serta melihat perkara-perkara dengan perspektif yang baru, dan melaksanakannya pada masa hadapan." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan