Images
  • maserati driver
    Pemandu kereta Maserati Lee Cheng Yan. (Gambar: Jason Quah/TODAY)

Pemilik Maserati dakwa tidak pernah sentuh kereta pada hari insiden seret pegawai polis trafik

SINGAPURA: Pemilik kereta Maserati yang dirakam mengheret seorang pegawai polis trafik memberikan keterangan di mahkamah hari ini (9 Okt) dengan mendakwa dia tidak pernah memandu kereta itu di Singapura.

Lee Cheng Yan, 35 tahun, berkata dia membeli Maserati terpakai itu pada harga S$175,000 sekitar seminggu sebelum insiden yang berlaku pada 17 November 2017. Larangan memandu yang dikenakan ke atasnya juga dijadual ditarik balik dalam beberapa bulan.

Lee mendakwa bahawa dia tidak pernah memandu uji kereta itu. Dia juga mendakwa meminjamkan kereta itu kepada seorang rakannya yang dikenali sebagai 'Kelvin'.

Menurut Lee lagi, Kelvin mempunyai sosok tubuh serupa sepertinya dan secara kebetulan, memakai baju berwarna putih seperti yang dipakainya pada hari insiden itu berlaku.

Lee memberitahu mahkamah bahawa dia hanya mengetahui tentang insiden itu apabila seorang teman memaklumkannya mengenai video kemalangan yang tular di wadah online.

Dalam responsnya, pihak pendakwa raya mendakwa bahawa Kelvin tidak wujud dan Lee ''jelas berbohong".

Lee berdepan dengan 10 tuduhan, termasuk pelbagai kesalahan trafik dan sengaja menyebabkan kecederaan serius terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam.

BUKTI RAKANNYA BERCANGGAH DENGAN KETERANGAN LEE

Pihak pendakwa raya menegaskan bahawa Lee berbohong dan sengaja membuat-buat bukti, sambil menarik perhatian bahawa bukti daripada tiga rakan Lee bercanggah dengan keterangan Lee.

Semasa memberi keterangan, salah seorang daripada mereka mengatakan bahawa Lee mengaku dia terlibat dalam satu kemalangan dengan seorang pegawai polis trafik.

Seorang lagi saksi berkata Lee memandu kereta Maserati itu apabila Lee bertemu dengannya untuk mengambil sebuah komputer riba sejurus sebelum insiden itu berlaku.

Pihak pembela menutup kes itu pada Rabu (9 Okt). Kedua-dua pihak akan memfailkan permohonan, dengan tarikh bagi perbicaraan seterusnya pada 4 Disember. Tarikh keputusan akan ditetapkan pada suatu hari nanti.  

- CNA/AI/ai

Top