Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik kedai kopi harap pelanggan beri kerjasama periksa status vaksinasi

Sebilangan peniaga di pusat-pusat penjaja hari ini (13 Okt) memberitahu Mediacorp mereka tidak sempat untuk memeriksa status vaksinasi para pelanggan, pada hari pertama pelanggan yang belum lengkap divaksin dilarang duduk makan di pusat-pusat penjaja dan kedai kopi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebilangan peniaga di pusat-pusat penjaja hari ini (13 Okt) memberitahu Mediacorp mereka tidak sempat untuk memeriksa status vaksinasi para pelanggan, pada hari pertama pelanggan yang belum lengkap divaksin dilarang duduk makan di pusat-pusat penjaja dan kedai kopi.

Di kedai-kedai kopi pula, sebilangan peniaga menekankan tanggungjawab mematuhi peraturan baru itu, terletak di bahu para pelanggan sendiri.

Kedai kopi Restoran Al-Azhar di Tampines hari ini mula memasang papan tanda tulisan tangan, untuk mengingatkan para pelanggan supaya menunjukkan status vaksinasi mereka jika mahu duduk makan.

Demi memastikan hanya mereka yang sudah lengkap divaksin boleh duduk makan, restoran itu menugaskan seorang kakitangan khusus untuk menjalankan pemeriksaan ke atas setiap pelanggan.

STRUKTUR & LOKASI KEDAI BAWA CABARAN

Walau bagaimanapun pengurus cawangan Restoran Al-Azhar Tampines, Encik Muhammad Rasul berkata pihaknya tetap bimbang tentang pelanggaran peraturan baru itu.

"Cabaran yang paling besar adalah struktur kedai kita. Kedai kita merupakan kedai di hujung. Jadi setiap pelanggan boleh masuk dari setiap penjuru. Pandangan saya ini bukan kita tolak balak atas pihak berkuasa.

"Pada pandangan saya, lagi baik contohnya kadang-kadang kita boleh terlepas pandang. Jikalau pihak berkuasa datang mendapat individu tersebut tidak divaksinasi. Ini saya rasa kita perlu bertoleransi untuk memberi peluang," ujar Encik Muhammad Rasul.

Bagi sebuah lagi kedai kopi di Tampines, iaitu Restoran Saffron, ia memutuskan untuk langsung tidak menerima sebarang pelanggan duduk makan hari ini.

Menganggap peraturan itu sebagai "perkembangan besar", pemiliknya, Cik Beevi Ayoob berkata mahu memantau dahulu keadaannya hari ini sebelum mula menerima pelanggan duduk makan esok (14 Okt).

"Jadi kami sudah telefon pada SFA, kami sudah periksa dengan Persatuan Restoran Singapura dan mereka beri tip yang kita pasang banyak-banyak poster memberitahu pelanggan yang mereka hanya boleh duduk bila sudah divaksinasi. Jadi kami akan laksanakan esok insya-Allah," kata Cik Beevi.

BIMBANG HELAH PELANGGAN SEMBUNYI STATUS VAKSINASI

Tidak seperti Restoran Al-Azhar yang ada pegawai khusus untuk menjalankan pemeriksaan, Restoran Saffron dan Restoran Padi Emas di Chai Chee pula menyerahkan kerja pemeriksaan status vaksinasi pelanggan ke atas gerai-gerai individu.

Kedua-dua restoran juga meletakkan tanggungjawab tidak melanggar peraturan pemerintah itu di bahu para pelanggan sendiri.

Pemilik Bersama Padi Emas, Encik Yusof Erksan berkata: "Yang kita takutkan orang yang sembunyi-sembunyi masuk. Atau dia suruh kawan dia datang dulu, buat pesanan lalu dia datang duduk. Atau mereka duduk, kawan mereka yang buat pesanan."

Cik Beevi pula berkata bahawa pihaknya akan hanya boleh melakukan setakat yang mereka mampu dan berharap lebih sokongan akan diberikan oleh pihak berkuasa.

"Kira yang perlu bertanggungjawab adalah pelanggan. Kita sudah periksa kan? Kita sudah periksa, kita sudah kasi dia duduk makan. Kalau ada yang penipuan, kalau diperiksa, mereka yang kena bukan kita," tambah Cik Beevi.

"LEBIH BAIK BERHATI-HATI SEBELUM MENYESAL"

Dalam pada itu, Encik Yusof turut memberitahu BERITAmediacorp bahawa sebenarnya ia semalam (12 Okt) sudah memasang satu pintu masuk dan satu pintu keluar tetapi membatalkan idea tersebut setelah Menteri Grace Fu semalam menjelaskan kedai-kedai kopi tidak perlu melakukan demikian.

Bagi Encik Yusof, peraturan baru itu adalah penting bagi membendung penularan COVID-19 di Singapura dan berharap semua lapisan masyarakat memainkan peranan masing-masing.

"Misal kata ada jangkitan di kedai kopi, yang kita takut sebagai peniaga ia akan tutup untuk dua minggu untuk kasi bersih.

"Kemudian kalau dengar: oh di sini ada covid semua tak nak datang. Itu yang paling kita takut. Jadi lebih baik berhati-hati sebelum menyesal," luah Encik Yusof.

Pada Sabtu (9 Okt), pemerintah mengumumkan bahawa orang yang tidak divaksin tidak akan dibenarkan makan di kedai kopi dan pusat penjaja.

Hanya mereka yang sudah lengkap divaksin boleh terus melakukan demikian dalam kumpulan dua orang.

Bagi mereka yang belum divaksin namun mempunyai keputusan ujian pra-acara yang sah atau kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah boleh disertakan ke dalam kumpulan dua orang itu.

Mereka yang tidak divaksin atau belum lengkap divaksin boleh membeli dan membawa pulang makanan dari pusat penjaja dan kedai kopi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan