Images
  • masagos main
    Dari kiri: Menteri Luar Negeri Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan, Dr Abdel Naser Mousa, Ketua Eksekutif MUIS, Esa Masood, Presiden Universiti Jordan, Profesor Dr Abdel Karim Al-Qudah, dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Pemeteraian MoU MUIS-Universiti Jordan satu detik bersejarah

BERITAmediacorp: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zukifli menyifatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dengan Universiti Jordan (UJ) sebagai satu detik bersejarah.

Perjanjian baru itu ditandatangani oleh Ketua Eksekutif MUIS, Esa Masood, dengan Presiden UJ, Profesor Dr Abdel Karim Al-Qudah, di kampus universiti berkenaan di Amman, Jordan padda Selasa (12 Mac).

Ia disaksikan oleh Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, serta Menteri Luar Negeri Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan, Dr Abdel Naser Mousa.

Dalam catatan di laman Facebooknya hari ini (13 Mac), Encik Masagos mengucapkan terima kasih kepada Profesor Dr Abdel Karim Al-Qudah dan Dr Abdel Naser Mousa atas sokongan padu mereka terhadap kerjasama UJ dalam latihan dan pembangunan golongan asatizah Singapura.

Menurut beliau, MoU itu bertujuan untuk membolehkan kedua-dua pihak saling bekerjasama bagi program baru, iaitu Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang bakal diperkenalkan pada 2020.

"Melalui PCICS, para graduan akan mempelajari bagaimana Islam boleh diamalkan dengan berkesan dalam masyarakat majmuk kita. Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk memiliki kemahiran relevan dengan potensi pekerjaan yang lebih cerah.

"Kerjasama dengan universiti luar negara seperti UJ ini juga akan membolehkan peserta PCICS memiliki pengalaman pembelajaran yang lebih kaya dan holistik," katanya.

Encik Masagos menambah, beliau mengalu-alukan kedatangan para ulama dan cendekiawan UJ ke Singapura bagi mengadakan perbincangan lanjut.


Encik Masagos kini dalam rangka lawatan rasmi selama empat ke Mesir dan Jordan, dari 10 Mac hingga hari ini (13 Mac).

Semasa di Jordan, Encik Masagos juga mengadakan pertemuan degan para pelajar Singapura di bawah Persatuan Perhimpunan Pelajar Singapura di Jordan (SIRAJ) bagi perbincangan mengenai visi "Asatizah Masa Depan" yang kedua.

"Kami rancak berbincang mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi golongan asatizah kita dalam dunia yang sentiasa bergolak dan berubah.

“Saya teruja mendengar bahawa mereka ghairah untuk menyumbang secara aktif dalam proses konsultasi ini dan saya meminta mereka untuk menyebar luaskan perbincangan ini dengan rakan-rakan yang lain," katanya, ketika mengulas mengenai perbincangan tersebut.

Encik Masagos turut berkata, lawatan rasminya ke Jordan dan Mesir berjaya membuahkan hasil.

Beliau yakin pelan yang dilakarkan oleh MUIS - sama ada melalui Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) atau PCISCS - akan terus memperkukuhkan dan mempertingkatkan sektor agama yang boleh memanfaatkan masyarakat Melayu/Islam dan Singapura.

- BERITAmediacorp/AI/ai

Top