Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah tubuhkan pasukan bertindak selidik kebakaran PMD

Dalam mempergiat usaha untuk mengekang kebakaran akibat alat mobiliti peribadi (PMD), Pemerintah menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk mengumpulkan sumber serta berkongsi kepakaran serta maklumat antara pelbagai agensi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah tubuhkan pasukan bertindak selidik kebakaran PMD

Kebakaran tercetus disebabkan dua e-skuter, kata AP Bukit Batok Murali Pillai. (Gambar: Murali Pillai/Facebook)

Diterbitkan : 01 Sep 2019 06:50PM Dikemas Kini : 01 Sep 2019 06:52PM

SINGAPURA: Dalam mempergiat usaha untuk mengekang kebakaran akibat alat mobiliti peribadi (PMD), Pemerintah menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk mengumpulkan sumber serta berkongsi kepakaran serta maklumat antara pelbagai agensi.

Langkah ini bagi mengurangkan risiko kebakaran daripada kenderaan-kenderaan yang tidak mematuhi peraturan.

Pasukan tersebut - terdiri daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta Enterprise Singapore - mengadakan mesyuarat pertamanya minggu lalu, umum LTA dalam catatan Facebooknya pada Ahad (1 Sep).

Pengumuman itu dibuat kurang sebulan selepas pihak berkuasa mempercepatkan tarikh akhir kepada enam bulan lebih awal, untuk kesemua kenderaan mematuhi piawaian UL2272 iaitu piawai keselamatan yang akan mengurangkan risiko kebakaran.

Para pengguna perlu mematuhi peraturan tersebut selewat-lewatnya 1 Julai 2020 dan bukan lagi 1 Januari 2021, seperti yang ditetapkan sebelum ini, selepas satu siri kebakaran melibatkan PMD mencetuskan keprihatinan meluas sehingga satu kenyataan menteri dibuat di Parlimen bulan lalu.

Gambar fail sebuah skuter elektronik digunakan. (Gambar: AFP/Tobias Schwarz)

Dalam mesyuarat pertamanya, pasukan bertindak itu - yang dipengerusikan LTA dan SCDF - berbincang tentang bagaimana untuk membangunkan serta menyelaraskan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan piawaian UL2272. Di samping itu, menurut LTA, mereka juga berbincang tentang risiko kebakaran yang tercetus daripada cara pengecasan tidak betul serta penyesuaian secara haram PMD.

LTA mengguna pakai piawaian UL2272 pada September tahun lalu untuk meningkatkan keselamatan kebakaran. Ia juga mengarahkan supaya semua PMD termasuk skuter elektrik, papan lungsur 'hoverboard' dan ekasikal (unicycle) - yang dijual dari Julai tahun ini memenuhi piawaian tersebut.

Piawai keselamatan itu menilai alat-alat di "peringkat sistem" yang bermakna ia meliputi seluruh spektrum kondisi kegunaan dan bukan hanya memeriksa bahagian-bahagian secara berasingan. Ini akan banyak mengurangkan risiko kebakaran. Piawaian itu merangkumi beberapa ujian elektrikal, mekanikal dan sekitaran.

Selain daripada piawaian keselamatan, kesemua e-skuter yang didaftar juga wajib menjalani pemeriksaan mulai 1 April 2020.

Sehingga awal bulan lalu, 90,000 e-skuter telah didaftar dengan hanya 10 peratus diisytiharkan mematuhi piawaian UL2272.

Pada Ahad, LTA mengingatkan para pemilik PMD untuk mengamalkan cara pengecasan yang selamat. Ini termasuk mengecas PMD di kawasan dingin dan bukan berdekatan bahan-bahan mudah terbakar mahupun meninggalkannya semalaman dalam keadaan dihubungkan pada suis atau membiarkannya tanpa diawasi.

Kejadian kebakaran PMD berlaku berturut-turut sejak beberapa bulan ini. Isnin lalu, flat HDB di Sembawang terbakar dan siasatan awal menunjukkan puncanya adalah sebuah PMD yang sedang dicas.

Sebanyak 49 kebakaran berkaitan PMD dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 52 kes sedemikian pada keseluruhan tahun lalu.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan