Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah silap bayar sekitar S$370 juta kepada firma di bawah Skim Bantuan Pekerjaan

Sekitar S$370 juta di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) silap diberikan kepada sekitar 5,400 syarikat pada bulan Oktober 2020, setelah kesilapan dibuat dalam pengiraan bayaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Apr 2021 10:36PM Dikemas Kini : 08 Apr 2021 10:54PM

SINGAPURA: Sekitar S$370 juta di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) silap diberikan kepada sekitar 5,400 syarikat pada bulan Oktober 2020, setelah kesilapan dibuat dalam pengiraan bayaran.

Bayaran berlebihan itu membentuk sekitar enam peratus daripada jumlah keseluruhan yang dibayar di bawah JSS pada Oktober lalu, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (8 Apr).

Menjelaskan kejadian itu, kementerian-kementerian tersebut menyatakan bahawa pembayaran dikira berdasarkan tarikh syarikat-syarikat dibuka semula selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, yang berakhir pada bulan Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, terdapat "kesilapan dalam usaha mengumpulkan dan memperoses tarikh pembukaan semula perniagaan", menurut tiga kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Syarikat-syarikat dibayar lebih kerana tersilap memproses tarikh, dengan menyatakan ia dibuka semula pada tarikh yang kemudian, sekali gus menjadikan syarikat-syarikat itu layak menerima bayaran lebih tinggi.

Sekitar 5,400 firma terjejas atau 3.6 peratus daripada semua syarikat yang menerima pembayaran tersebut.

Perniagaan-perniagaan yang terjejas kebanyakannya adalah yang menyokong projek-projek dalam sektor binaan, marin dan pemprosesan serta pelancongan, menurut tiga kementerian itu.

Pemerintah menjangkakan untuk mendapatkan semula wang tersebut menerusi penggantian automatik daripada bayaran JSS seterusnya dan syarikat-syarikat memulangkan
lebihan bayaran itu, tambahnya.

JSS diperkenalkan semasa Belanjawan bulan Februari tahun lalu untuk membantu syarikat mengekalkan pekerja tempatan dengan memberi subsidi gaji.

Pemerintah kemudian melanjutkan skim itu untuk menyediakan lebih banyak sokongan kepada syarikat memandangkan kebanyakannya terpaksa ditutup semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dari 7 April hingga 1 Jun.

Pada bulan lalu, pihak berkuasa menyatakan bahawa bayaran bagi bulan Mac 2021 kepada sekitar 5,500 majikan ditunda sehingga hujung April, "sementara menunggu pengesahan" MTI berhubung tarikh yang digunakan dalam pengiraan bayaran.

BAGAIMANA KESILAPAN BERLAKU?

Sedang kebanyakan perniagaan dibenarkan dibuka semula secara beransur-ansur selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan, perniagaan dalam sektor binaan, marin dan pemprosesan serta pelancongan hanya boleh dibuka semula selepas mendapat kelulusan MTI.

Agensi-agensi pemerintah menerima lebih 1.8 juta permohonan, yang kemudian dikumpulkan oleh MTI.

"Memandangkan proses menyambung semula kegiatan perniagaan dilakukan dalam masa singkat, MTI menggunakan sistem sedia ada dan proses manual untuk memberi kelulusan kepada perniagaan untuk dibuka semula," menurut tiga kementerian itu dalam kenyataan medianya.

"Malangnya, dalam melakukan demikian, kesilapan dibuat pada tarikh-tarikh pembukaan semula dan dalam masa yang sama pada pembayaran JSS serta pembayaran levi/pengecualian bagi pekerja migran," tambah kementerian itu.

"Kesilapan itu bermakna syarikat-syarikat yang terjejas disangka ditutup lebih lama dan sekali gus diberi bayaran JSS lebih tinggi."

Contohnya, sebuah bank yang boleh menyambung semula operasinya selepas tempoh pemutus rantaian berakhir dinyatakan sebagai dibuka lebih lewat daripada itu memandangkan ia adalah pelanggan dalam projek binaan yang memerlukan kebenaran MTI.

DAPATKAN SEMULA LEBIHAN BAYARAN

S$140 juta daripada S$370 juta yang dibayar secara silap itu, akan diperolehi semula menerusi pembayaran automatik bagi bayaran JSS yang seterusnya manakala lagi S$200 juta akan diperolehi semula menerusi "komitmen perniagaan lain yang terjejas yang sudah dihubungi MTI dan agensi-agensi lain supaya memulangkan lebihan bayaran itu", menurut tiga kementerian tersebut.

Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) akan memotong bayaran lebihan itu daripada pembayaran JSS yang seterusnya bagi syarikat-syarikat tersebut.

Jika pembayaran JSS yang seterusnya itu tidak cukup untuk mengimbangi lebihan jumlah tersebut, IRAS akan memaklumkan kepada perniagaan-perniagaan yang terjejas tentang baki jumlah yang perlu dikembalikan selepas pembayaran JSS yang terakhir, menurutnya.

"Aturan bayaran secara ansuran juga akan disediakan bagi perniagaan, yang memerlukannya," menurut IRAS.

Syarikat yang terjejas tidak perlu mengambil sebarang tindakan buat masa ini, tambah IRAS.

Syarikat yang mahu memulangkan lebih awal lebihan wang tersebut boleh melakukannya menerusi IRAS. Arahan panduan akan disediakan dalam surat yang dikirimkan kepada perniagaan yang terjejas.

Dalam masa yang sama, 1,100 perniagaan dikenal pasti sebagai layak untuk mendapatkan bayaran tambahan JSS, yang berjumlah S$5.5 juta.

Pembayaran tambahan itu akan diberikan kepada perniagaan menjelang hujung bulan April 2021, menurut tiga kementerian tersebut.

Disebabkan kesilapan tarikh pembukaan semula perniagaan, lebihan pengecualian levi dan rebat untuk pekerja migran sebanyak S$1.2 juta juga diberikan kepada 360 perniagaan pada bulan Jun dan Julai 2020, menurut tiga kementerian tersebut.

MTI dan MOM menyatakan ia akan menghubungi syarikat-syarikat yang terjejas untuk mendapatkan semula lebihan pengecualian dan rebat tersebut.

Sekitar 1,200 perniagaan akan diberikan pengecualian dan rebat tambahan sebanyak S$6 juta setelah dikenal pasti sebagai layak.

Pengecualian itu akan disesuaikan secara automatik daripada bil levi seterusnya bagi perniagaan, manakala rebat akan diberikan secara langsung kepada perniagaan.

Tiada tindakan diperlukan setakat ini daripada perniagaan-perniagaan yang terjejas. MTI dan MOM akan memaklumkan kepada syarikat-syarikat terjejas tentang sebarang tindakan susulan yang diperlukan menjelang bulan Mei tahun ini, menurut kementerian-kementerian tersebut.

BAGAIMANA KESILAPAN DIKESAN?

Menurut tiga kementerian itu, IRAS pertama kali mengesan kejanggalan pada bulan November tahun lalu sebagai sebahagian daripada pemeriksaan proses yang biasa dilakukannya ke atas JSS.

Beberapa perniagaan juga kemudian memaklumkan kepada IRAS bahawa mereka mungkin menerima lebihan bayaran JSS.

"Pada bulan Disember 2020, punca pembayaran berlebihan itu dikesan akibat percanggahan pada tarikh syarikat-syarikat dibuka semula," menurut MTI, MOM, MOF.

Selepas dimaklumkan oleh IRAS, MTI memulakan "siasatan menyeluruh" bersama agensi-agensi lain.

Untuk mencegah kemungkinan kesilapan sama berulang lagi, MTI bekerjasama dengan MOF, MOM dan IRAS untuk membaiki proses dan melaksanakan pemeriksaan tambahan bagi mengenal pasti dan memaklumkan sebarang kesilapan yang mungkin berlaku, menurut tiga kementerian itu.

Ia menambah bahawa khidmat juruaudit luar juga diperolehi untuk menjalankan "pemeriksaan menyeluruh" bagi mengesahkan tarikh pembukaan semula yang digunakan untuk membuat pengiraan bayaran JSS.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan