Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah seru rakyat S'pura bersedia secara digital

Pemerintah mahu setiap rakyat negara ini bersedia secara digital untuk merebut peluang dan manfaat yang dapat diraih melalui teknologi dalam kehidupan harian.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Jul 2019 08:53PM Dikemas Kini : 10 Jul 2019 10:06PM

SINGAPURA: Pemerintah mahu setiap rakyat negara ini bersedia secara digital untuk merebut peluang dan manfaat yang dapat diraih melalui teknologi dalam kehidupan harian.

Pemerintah juga menyatakan bahawa semua orang perlu dilengkapi dengan set kemahiran dan ciri asas untuk berkembang dalam era digital. Ini termasuk golongan murid sekolah rendah dan Generasi Merdeka.

Demikian antara pengumuman utama yang disampaikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran di Seminar Pelan Kerja kementerian itu pada Rabu (10 Jul).

Program 'Code for Fun' membantu para pelajar memahami pemikiran pengiraan menerusi pengekodan.

Diperkenalkan pada 2014, fasa seterusnya bertujuan mendedahkan semua murid sekolah rendah dari darjah empat hingga enam kepada program itu. Topik-topik baru seperti kecerdasan buatan (AI) akan dimasukkan.

Program yang diluaskan akan diuji tahun ini selepas tamat peperiksaan PSLE di beberapa sekolah sebelum dilancarkan pada tahun depan.

Golongan belia juga akan mendapat manfaat daripada perubahan digital itu.

Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) akan meluaskan usaha jangkauannya dengan program sendiri. CSA merancang untuk mendekati 10,000 belia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Program itu juga ingin memberi golongan belia peluang untuk mempertimbangkan sektor keselamatan siber sebagai kerjaya mereka.

"Kami mahu bekerjasama dengan semua pekerja tanpa mengira tahap pendidikan dan latar belakang teknikal mereka. Juga dengan rakyat kita tidak kira usia mereka. Ini kerana pada akhirnya, kami mahu manfaatnya dirasai seluruh masyarakat secara umumnya berdasarkan ekonomi kita," kata Encik Iswaran.

Selain itu, sebanyak 100 Klinik Digital Generasi Merdeka juga akan dibuka merata negara mulai September ini.

Di setiap klinik itu, warga tua akan diajar kemahiran seperti menggunakan telefon bijak dan menggunakan media sosial.

Sumber : CNA/RU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan