Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah semak undang-undang hina kehormatan

Undang-undang mengenai kesalahan mencabul kehormatan wanita antara yang disemak pemerintah sebagai sebahagian daripada semakan menyeluruh Kanun Jenayah, kata Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri, Encik Amrin Amin.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah semak undang-undang hina kehormatan

Gambar fail.

Diterbitkan : 27 Feb 2018 08:38PM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 12:27PM

SINGAPURA: Undang-undang mengenai kesalahan mencabul kehormatan wanita antara yang disemak pemerintah sebagai sebahagian daripada semakan menyeluruh Kanun Jenayah, kata Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri, Encik Amrin Amin.

Encik Amrin menjawab pertanyaan Anggota Parlimen, Dr Intan Azura Mokhtar di Parlimen hari ini (27 Feb) mengenai kes-kes gangguan seksual dan mencabul kehormatan di tempat kerja ataupun dengan menggunakan teknologi.

Dr Intan ingin tahu jumlah aduan yang diterima polis tentang kes-kes sedemikian selain jumlah laporan yang dibuat lelaki dan wanita. Beliau juga bertanya sama ada terdapat rancangan untuk mengukuhkan undang-undang ke atas kes mencabul kehormatan dalam Seksyen 509 Kanun Jenayah, memperuntukkan juga mangsa lelaki.

Buat masa ini, Seksyen 509 menetapkan sesiapa yang "berhasrat mencabul kehormatan sebarang wanita, luahkan kata-kata, membuat bunyi ataupun gerak isyarat ... atau mengganggu privasi" seorang wanita menghadapi hukuman penjara sehingga setahun dan denda.

Isu tersebut mendapat perhatian pada Disember tahun lalu, apabila seorang hakim daerah menolak gesaan pihak pendakwa agar Teo Han Jern, 27 tahun dikenakan penjara enam bulan kerana mengambil lebih 30 video lelaki yang melakukan seks dan kegiatan lain.

Pihak pendakwa dilaporkan berkata hukuman itu menjadi pananda seandainya mangsa adalah wanita.

"Kami sedang menyemak semula Kanun Jenayah dan salah satu bahagian yang diteliti adalah seksyen ini. Oleh itu, kami akan menyemak semula secara menyeluruh dan lihat apa yang perlu diperkukuh," kata Encik Amrin di Parlimen.

Dalam isu yang berasingan, Encik Amrin berkata antara 2013 hingga tahun lalu, secara purata, 100 aduan polis difailkan setiap tahun berhubung kes 'upskirting' iaitu menggunakan telefon bimbit ataupun alat mengambil gambar lain untuk mengintai dan merakam gambar dalam skirt wanita.

Pada tempoh yang sama, 20 aduan polis difailkan setiap tahun secara purata, berhubung gangguan ataupun kes mencabul kehormatan di tempat kerja.

Sekitar 97 peratus laporan tersebut difailkan wanita, kata Encik Amrin. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan