Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah S'pura tidak bersikap 'sambil lewa': Heng Swee Keat

Pemerintah Singapura tidak "bersikap sambil lewa" - dan para pemimpinnya akan melakukan apa yang perlu untuk memperbetulkan keadaan, menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Sabtu (9 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah S'pura tidak bersikap 'sambil lewa': Heng Swee Keat

Gambar fail Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 09 Feb 2019 12:40PM Dikemas Kini : 10 Feb 2019 04:37PM

SINGAPURA: Pemerintah Singapura tidak "bersikap sambil lewa" - dan para pemimpinnya akan melakukan apa yang perlu untuk memperbetulkan keadaan, menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Sabtu (9 Feb).

Encik Heng, yang dijangka menggantikan Encik Lee Hsien Loong sebagai Perdana Menteri berkata demikian sebagai respons terhadap lidah pengarang yang diterbitkan akhbar Lianhe Zaobao pada 1 Feb. Rencana itu menekankan bahawa sikap mudah puas hati adalah salah satu sebab berlakunya kecuaian-kecuaian seperti kematian dalam latihan Perkhidmatan Negara, serangan siber SingHealth dan pembocoran data HIV.

Dalam rencana yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Cina itu dan Straits Times pada Sabtu, Encik Heng berkata bahawa lidah pengarang Zaobao itu menimbulkan "persoalan-persoalan serius yang tidak akan dielak oleh dirinya mahupun rakan-rakan tugasnya".

"Adakah sikap mudah berpuas hati punca kegagalan berturut-turut kebelakangan ini - daripada kematian semasa latihan Perkhidmatan Negara hingga ke serangan siber SingHealth; daripada kegagalan elektrik hingga ke kiriman pos yang hilang? Adakah kami sudah terlalu taksub dengan kejayaan kami sehingga membenarkan piawai tinggi itu kendur?" tulisnya.

"Rakyat Singapura menjangkakan yang terbaik daripada pemerintah dan diri mereka sendiri. Kami tidak akan mengelak daripada bermuhasabah diri setiap kali kegagalan berlaku, dan melakukan apa yang perlu untuk memperbetulkan keadaan."

Bagaimanapun, beliau menolak saranan bahawa kepimpinan politik sudah "membenarkan seluruh sistem untuk mengendur" atau "kurang acuh", dan gagal mempertanggungjawabkan orang-orang berjawatan tinggi apabila kesilapan berlaku.

SETIAP GENERASI ADA CABARAN SENDIRI

Singapura pernah mengalami insiden-insiden serius dahulu, dan setiap generasi perlu menangani cabaran-cabarannya sendiri, menurut Encik Heng.

Beliau menyebut cabaran-cabaran seperti kejadian roboh Hotel New World, kemalangan kereta kabel Sentosa dan letupan kapal Spyros di Limbungan Kapal Jurong - insiden-insiden yang mengakibatkan ramai korban nyawa.

"Setiap kali, para perintis kami mempelajari daripada kesilapan dan memperbetulkan keadaan," menurutnya.

Kini terdapat sistem lebih besar dan rumit yang meningkatkan kehidupan tetapi turut membawa bersamanya risiko baru, dan Singapura perlu menjangkakan dan menangani risiko-risiko itu, kata Encik Heng.

"Satu contoh adalah keselamatan siber. Kita tahu bahawa dengan menjadi Negara Bijak, kita terdedah kepada ancaman-ancaman online yang serius. Tetapi menolak penggunaan IT bukan satu pilihan."

Menyentuh pula tentang gangguan khidmat MRT, Encik Heng berkata sistem isyarat baru di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL) diperkenalkan, kereta-kereta api baru dibeli dan lebih banyak laluan rel dibina untuk meningkatkan keupayaan menampung penumpang.

PARA MENTERI PERLU DIPERTANGGUNGJAWABKAN

Encik Heng berkata, apabila kegagalan berlaku, ia akan disiasat secara menyeluruh dan bagi kes-kes serius, Jawatankuasa Siasatan Bebas (COI) akan ditubuhan. Hasil dapatan COI, "bagaimana sulit sekalipun, akan didedahkan kepada umum", seperti serangan keselamatan siber SingHealth.

"Perdana Menteri akan mempertangunggjawabkan para menteri untuk mengendalikan kementerian masing-masing dengan betul dan memperbetulkan sebarang kelemahan yang ada. Para menteri harus bertanggungjawab terhadap Parlimen dan orang awam. Justeru apabila ada kelemahan, kami akan menanganinya dengan telus dan jujur. Ini adalah cara untuk memulihkan semula keyakinan terhadap sistem-sistem kami dan mengekalkan kepercayaan rakyat.

"Apabila ada individu didapati bersalah atau cuai, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan."

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan