Images
  • taxi
    Gambar fail pemandu teksi yang sedang menanti penumpang. (Gambar: Jeremy Long)

Pemerintah peruntuk lagi S$112 juta bantu pemandu teksi, kereta sewa privet

SINGAPURA: Lebih banyak sokongan akan disediakan untuk para pemandu teksi dan pemandu kenderaan privet.

Pemerintah akan memperuntukkan lagi S$112 juta bagi melanjutkan tempoh pakej bantuan COVID-19 untuk sektor itu.

Skim tersebut sepatutnya berakhir pada hujung bulan ini tetapi dilanjutkan selama enam bulan sehingga Mac tahun depan.

Jumlah penumpang teksi dan kereta sewa privet merosot 70 peratus sejak pandemik COVID-19 melanda.

Permintaannya dijangka terus lemah kerana tiada pelancong dan ramai orang masih bekerja dari rumah.

Untuk membantu para pemandu teksi dan kereta sewa privet, pemerintah akan terus memberi bantuan khas sebanyak S$300 sebulan bagi setiap kenderaan.

Para pengendali teksi pula akan terus memadankan rebat sewa untuk para pemandu.

Comfort Delgro, misalnya, akan melanjutkan pengecualian sewa sebanyak 25 peratus untuk semua teksi sehingga akhir bulan depan.

Pemerintah akan juga melanjutkan sokongan kepada syarikat-syarikat teksi.

"Pemerintah akan terus membantu para pengendali dan melanjutkan pengecualian yuran lesen mereka selama tiga bulan lagi. Para pengendali syarikat teksi akan menerima pengecualian selama enam bulan lagi untuk teksi-teksi yang tidak disewa.

"Saya sangat menggalakkan para pengendali teksi untuk menyalurkan bantuan itu kepada para pemandu," ujar Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Amy Khor.

Selain itu pemerintah akan melanjutkan tempoh percubaan khidmat penghantaran untuk selama satu tahun.

Ia membolehkan para pemandu menambah pendapatan mereka dengan menghantar barangan e-dagang dan makanan. 

- CNA/RR/na

Top