Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah pertimbang penggubalan undang-undang bagi tangani campur tangan asing, dedah Edwin Tong

Bagi memastikan Singapura tidak jadi mangsa campur tangan asing dan kempen penyebaran maklumat kuasa luar, rangka kerja undang-undang perlu dikemas kini untuk memberikan respons yang pantas, menurut Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kesihatan Edwin Tong di Parlimen pada Selasa (12 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Feb 2019 07:37PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 11:21PM

SINGAPURA: Bagi memastikan Singapura tidak menjadi mangsa campur tangan asing dan kempen penyebaran maklumat kuasa luar, rangka kerja undang-undang perlu dikemas kini untuk memberikan respons yang pantas terhadap ancaman-ancaman sedemikian, menurut Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kesihatan Edwin Tong di Parlimen pada Selasa (12 Feb).

Encik Tong berkata demikian bagi pihak Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Cheng Li Hui.

Cik Cheng bertanya jika undang-undang baru perlu diperkenalkan atau mengetatkan lagi undang-undang yang sedia ada bagi menangani campur tangan luar dan rakyat Singapura yang bersubahat dengan pelaku asing untuk mempengaruhi politik dan pilihan raya Singapura.

Berhubung isu ini, Encik Tong turut menyentuh tentang penyebaran maklumat palsu oleh pihak luar.

"Dalam medan (maklumat) ini, Singapura sebagai sebuah negara yang terbuka, demokratik, terhubung secara digital dan pelbagai, sangat mudah terdedah. Kita adalah sebuah negara muda yang mempunyai isu-isu sensitif dan para pelaku asing boleh mengambil kesempatan untuk menghasut kesangsian dan buruk sangka dalam masyarakat kita," kata Encik Tong.

Dalam responsnya kepada soalan tambahan dari Cik Cheng, Encik Tong berkata pengaruh luar sejak sekian lama cuba menembusi Singapura. Pada tahun 1970-an, tindakan tegas dikenakan terhadap dua akhbar yang menerima pembiayaan dana asing asing dan cuba menggugat Pemerintah.

Encik Tong juga memberi contoh Huang Jin, seorang bekas profesor di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew yang diusir dari Singapura selepas dikenal pasti sebagai ejen berpengaruh bagi negara asing.

Menurut Encik Tong, terdapat tanda-tanda lain yang menunjukkan bahawa Singapura menjadi sasaran kempen untuk menyebarkan maklumat palsu.

Sebagai contoh, semasa hubungan Singapura dan Malaysia sedang tegang Disember lalu, Pemerintah menyaksikan peningkatan pada jumlah komen kritikal online yang dilemparkan melalui akaun-akaun yang tidak menunjukkan wajah pemiliknya.

Meskipun kurang jelas siapakah pemilik akaun-akaun tersebut dan sama ada usaha mereka itu diselaraskan oleh para pelaku asing, Encik Tong berkata: "Jelas sekali akaun-akaun tersebut cuba memberikan gambaran palsu kepada netizen tentang kedudukan dan pendirian Singapura semasa mengharungi kesulitan dalam hubungan dua hala."

AMBIL LANGKAH DEDAH, BASMI PENGARUH ASING

Sehubungan itu, rangka kerja undang-undang sedia ada - yang lapuk berbanding taktik moden dan serba canggih - perlu dikemas kini dan diperkukuhkan untuk membanteras kempen-kempen yang berniat jahat, kata Encik Tong.

Beliau menambah undang-undang baru perlu mempunyai dua objektif utama. Pertama adalah untuk mengupayakan Pemerintah untuk bertindak pantas bagi mematahkan dan membasmi penyebaran maklumat dan naratif palsu.

Kedua, Pemerintah mesti berupaya membongkar dan mendedahkan kempen campur tangan asing yang dilakukan secara sulit.

Warga Singapura juga perlu lebih peka terhadap pengaruh asing.

"Rakyat Singapura menjadi benteng pertahanan pertama. Kita perlu belajar supaya lebih berwaspada dan berupaya membezakan kepalsuan dan mengenal pasti pelaku asing dan percubaan mereka untuk mempengaruhi politik kita," kata Encik Tong.

"Jawatankuasa Pilihan sudah menyarankan kepada Pemerintah supaya menimbangkan langkah-langkah untuk menangani kepalsuan online yang disengajakan dan kempen-kempen yang disokong negara asing yang boleh menggugat keselamatan negara. Pemerintah akan mengkaji laporan yang dibentangkan dan akan menimbangkan langkah-langkah perundangan bagi kedua-dua bidang tersebut tahun ini," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan