Pemerintah, masyarakat dan keluarga main peranan penting dalam pemulihan pesalah dadah
Pemerintah, masyarakat dan keluarga boleh memainkan peranan seiring dalam pemulihan para pesalah dadah yang lebih berkesan.
SINGAPURA: Pemerintah, masyarakat dan keluarga boleh memainkan peranan seiring dalam pemulihan para pesalah dadah yang lebih berkesan.
Demikian menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, di acara hari keluarga Rumah Peralihan Lembaga Endowmen Hindu (HEB) siang tadi (6 Jan).
Rumah peralihan HEB menjalankan program-program pemulihan yang membantu para pesalah dadah kaum India kembali ke pangkuan masyarakat.
Para penghuni mendapat bimbingan emosi serta rohani dan dilengkapi juga dengan kemahiran untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Di acara itu, Encik Masagos menyeru kepada masyarakat supaya mengambil pendekatan yang sesuai berdasarkan budaya masing-masing.
"Kami menyeru masyarakat masing-masing membuat pendekatan yang sesuai dengan budaya dan peradaban mereka. Orang India untuk masyarakat India, masyarakat Melayu untuk Melayu dan sebagainya.
"Akhir sekali adalah keluarga itu sendiri supaya mereka dipersiapkan untuk menerima para penagih dadah kembali ke pangkuan keluarga untuk diberi sokongan yang terbaik," katanya.
Encik Masagos menambah: "Dengan menggembeleng tiga aset yang ada di masyarakat, pemerintah dan juga keluarga, kita akan memastikan bahawa pemulihan mereka akan lebih pasti."
Acara hari ini (6 Jan) diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-20 rumah peralihan HEB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.