Images
  • password
    (Gambar hiasan: Pawel Kopczynski/Reuters)

Pemerintah lapor 41 kes kehilangan data peribadi kepada polis sepanjang 3 tahun lalu

SINGAPURA: Sepanjang tiga tahun lalu, Pemerintah memfailkan 41 aduan berkaitan insiden keselamatan maklumat data peribadi kepada polis. 80 peratus aduan dibuat pada hari yang sama insiden diketahui.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean mendedahkan perkara itu dalam jawapan bertulisnya bagi soalan parlimen hari ini (13 Feb).

DPM Teo berkata, dalam tujuh daripada 41 insiden seperti itu, para individu terjejas dimaklumkan. Dalam empat lagi insiden seumpamanya, kedua-dua individu mahupun orang ramai diberitahu tentang kejadian yang berlaku.

Secara purata, ia mengambil masa tiga minggu dari saat aduan polis dibuat sehingga para individu dimaklumkan, dalam 11 insiden berkenaan.

DPM Teo menjelaskan, waktu diperlukan untuk menilai kesan insiden keselamatan maklumat data peribadi supaya laporan tepat dapat disampaikan.

30 aduan lain difailkan kerana aset fizikal seperti komputer riba dilaporkan hilang. Tiada data sebarang individu tertentu dibocorkan.

Encik Teo berkata komputer-komputer riba Pemerintah dilindungi kod sulit (encyption), dan komputer riba yang dilaporkan hilang akan secepatnya disekat daripada rangkaian Pemerintah.

Bagi kes salah urus data - seperti mengirim surat yang mengandungi maklumat peribadi kepada penerima yang salah - ia dilaporkan secara dalaman dan tidak kepada polis.  

- CNA/AQ/aq

Top