Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah laksana senarai saranan yang dikemuka bagi perketat keselamatan data

Orang ramai tidak lama lagi akan mempunyai saluran khusus untuk melaporkan sebarang insiden pencerobohan data.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Nov 2019 07:58PM Dikemas Kini : 27 Nov 2019 09:23PM

SINGAPURA: Orang ramai tidak lama lagi akan mempunyai saluran khusus untuk melaporkan sebarang insiden pencerobohan data.

Vendor-vendor IT juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah untuk lebih bertanggungjawab ke atas sebarang kelemahan yang ada.

Ini merupakan sebahagian daripada 23 saranan yang dikemukakan bagi memperketat keselamatan data di Singapura.

Pemerintah sudah menerima sepenuhnya saranan-saranan tersebut, dan merancang untuk melaksanakannya dalam semua agensi menjelang akhir 2023.

KES-KES KEBOCORAN DATA

Singapura tidak terlepas dari kebocoran data dan serangan siber. Awal tahun ini, butiran lebih 800,000 penderma darah terdedah apabila vendor IT meletakkan pangkalan data dalam server tidak selamat.

Dalam satu kes berasingan tahun lalu, maklumat peribadi 1.5 juta pesakit dicuri penceroboh.

Maka itu langkah-langkah baru perlu diambil.

Ia akan dijalankan semua agensi pemerintah sepanjang empat tahun akan datang.

Langkah-langkah yang perlu diambil menyentuh beberapa perkara termasuk bagaimana data diuruskan, cara mengesan pencerobohan dan siapa yang seharusnya bertanggungjawab sekiranya pencerobohan berlaku.

Lebih 20 saranan dikemukakan. Misalnya, untuk melindungi data lebih baik, data yang dikumpul dan disimpan akan dikurangkan jika perlu.

Perkara-perkara penting yang dipelajari menerusi insiden-insiden lalu juga akan dikongsi kepada kesemua agensi bagi mempertingkat pengesanan dan respons.

Latihan keselamatan dan struktur organisasi akan diperkukuh.

Siapa yang harus bertanggungjawab dalam insiden pencerobohan data juga akan menjadi lebih jelas.

Sebuah badan peringkat tinggi pemerintah akan dilantik untuk membantu melaksanakan saranan-saranan itu.

Pihak berkuasa yakin ia akan memperhebat lagi keselamatan data sektor awam dan melindungi lebih baik Singapura daripada ancaman siber.

"Ia satu arena yang berubah-ubah dan ancaman juga selalu bertukar-tukar. Jadi apa yang akan kita lakukan adalah melakukan terbaik menangani ancaman, dan lebih bersedia tetapi tiada jaminan 100% tiada apa yang akan berlaku. Jika ada, kami juga akan mempunyai rejim untuk mengambil tindakan dan secara ekektif mengurangkan kesan insiden seumpama ini," ujar Menteri Kanan Teo Chee Hean yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Pentadbiran Data Sektor Awam.

Namun, pemerintah juga menegaskan bahawa isu itu tidak boleh ditanggung sektor awam sahaja.

Apabila saluran khusus dibuka untuk melaporkan pencerobohan data, orang ramai juga boleh memainkan peranan.

Wadah itu akan diperkenalkan Pejabat Data Pemerintah, besar kemungkinan dalam beberapa bulan mendatang.  

Sumber : CNA/AQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan