Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah lakar model harga baru bagi flat HDB di Greater Southern Waterfront: Lawrence Wong

 Pemerintah sedang melakarkan model harga baru bagi perumahan awam masa akan datang di Greater Southern Waterfront.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah lakar model harga baru bagi flat HDB di Greater Southern Waterfront: Lawrence Wong

(Sumber: PMO)

Diterbitkan : 19 Sep 2019 03:21PM Dikemas Kini : 19 Sep 2019 03:25PM

SINGAPURA: Pemerintah sedang melakarkan model harga baru bagi perumahan awam masa akan datang di Greater Southern Waterfront. Ia bagi mengurangkan apa yang dipanggil sebagai "kesan menang pertaruhan" dalam memperolehi flat pada harga bersubsidi di kawasan mewah, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Khamis (19 Sep).

Ulasan Encik Wong itu menyusuli ucapan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan bulan lalu di mana beliau berkata bahawa Pemerintah merancang untuk membina 9,000 unit perumahan privet dan awam di tapak Kelab Keppel apabila tempoh pajakan tamat dalam masa dua tahun akan datang.

Beberapa penganalisis mengutarakan keprihatinan mengenai sama ada perumahan awam di Greater Southern Waterfront akan mewujudkan "kesan menang pertaruhan" di mana pemilik menjual unit mereka pada harga yang jauh lebih tinggi daripada yang dibeli pada awalnya.

Bercakap di satu wawancara bersama stesen radio CNA938, Encik Wong berkata Pemerintah masih lagi mengkaji cara terbaik untuk meletakkan harga pada perumahan-perumahan akan datang di kawasan tersebut.

"Sekiranya anda mempunyai perumahan awam di kawasan bernilai tinggi dan jika anda menjualnya pada harga perumahan awam hari ini, ia akan menjadi satu subsidi yang sangat besar. Sesiapa yang mendapat flat di sana, melalui undi, akan berasa sangat gembira. Tetapi ia akan mendatangkan sedikit 'kesan menang pertaruhan'. Mereka yang tidak mendapat flat itu akan berasa sangat cemburu," jelas Encik Wong.

"Sebaliknya, jika kita mengekalkan subsidi sama, maka harga rumah flat itu akan sangat tinggi dan tidak boleh dimampui. Oleh itu, kita perlu melakarkan model baru untuk perumahan awam di Southern Waterfront. Itulah sesuatu yang sedang kami usahakan," tambah beliau.

GERAN DAN HAD PENDAPATAN BARU BAGI FLAT HDB

Semasa sesi wawancara tu, Encik Wong juga memperjelaskan pengumuman HDB baru-baru ini berhubung had pendapatan lebih tinggi serta geran perumahan dipertingkatkan bagi para pembeli flat.

Sebagai respons kepada soalan sama ada geran yang dipertingkatkan itu akan mengalihkan permintaan kepada flat-flat jualan semula, Encik Wong berkata bahawa tujuan langkah berkenaan adalah untuk "memberikan keseimbangan yang lebih baik antara (flat) baru dengan jualan semula dari segi geran" supaya peratusan orang yang membeli hartanah tersebut "akan stabil pada masa depan".

Kini, sekitar 75 peratus pembeli HDB memilih flat baru berbanding 25 peratus bagi flat jualan semula, tambah beliau.

Encik Wong berkata: "Saya menjangkakan dengan struktur insentif kini diselaraskan, perangkaan 75 peratus mungkin akan turun pada tahun-tahun akan datang".

Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) baru tidak meletakkan sekatan ke atas para pembeli bagi jenis atau lokasi flat dan ia boleh digunakan untuk pembelian kedua-dua flat baru mahupun flat jualan semula.

Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Kedua Kewangan Lawrence Wong semasa wawancara bersama stesen radio CNA938 pada 19 Sep 2019. 

Encik Wong juga menerangkan bahawa kementerian itu menaikkan had pendapatan bagi para pembeli flat HDB baru untuk menampung tahap pendapatan yang kian meningkat.

Had pendapatan bagi keluarga yang ingin membeli flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) dinaikkan kepada S$14,000 dari S$12,000 manakala had pendapatan bagi golongan bujang berusia 35 tahun dan ke atas pula dinaikkan kepada S$7,000 dari S$ 6,000.

PANEL SURIA

Semasa wawancara itu, Encik Wong juga menyentuh tentang penggunaan tenaga suria di Singapura dengan mengatakan bahawa potensi sumber tenaga boleh diperbaharui menunjukkan ia boleh berjaya.

Beliau berkata menjelang tahun depan, satu daripada setiap dua blok HDB akan mempunyai panel-panel suria di bumbungnya.

Encik Wong menambah mungkin terdapat potensi untuk "memperluaskannya lebih lanjut" dan kementerian sedang mengkaji panel suria menegak yang boleh digunakan sebagai permukaan pelapisan bangunan, sambil menekankan bahawa bangunan mempunyai "lebih banyak ruang menegak berbanding ruang melintang".

Beliau menambah bahawa panel menegak boleh digunakan di kedua-dua bangunan perumahan awam dan bangunan swasta serta terdapat "potensi yang besar untuk meningkatkan penggunaan tenaga suria di Singapura". 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan