Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah labur S$100 juta bantu latih pekerja industri kereta api

Pemerintah mengumumkan Pakej Pembangunan Tenaga Manusia Kereta Api (RMDP) bernilai S$100 juta hari ini (9 Nov) dengan tujuan meluaskan tenaga kerja industri kereta api Singapura dan mempersiapkan para pekerja bagi "mengendalikan sistem MRT yang lebih luas dan rumit."

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Nov 2019 08:41PM Dikemas Kini : 09 Nov 2019 09:35PM

SINGAPURA: Pemerintah mengumumkan Pakej Pembangunan Tenaga Manusia Kereta Api (RMDP) bernilai S$100 juta hari ini (9 Nov) dengan tujuan meluaskan tenaga kerja industri kereta api Singapura dan mempersiapkan para pekerja bagi "mengendalikan sistem MRT yang lebih luas dan rumit."

Didedahkan oleh Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan, inisiatif itu dibangunkan bersama Pengendali Pengangkutan Awam (PTO) dan Kesatuan Para Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU).

Menurut satu kenyataan media, pakej itu akan mempertingkatkan program-program latihan sedia ada yang ditawarkan oleh PTO, serta program-program disokong oleh Workforce Singapore dan SkillsFuture Singapore.

Ini termasuk melatih 3,000 pekerja industri kereta api dalam teknologi-teknologi baru dan kemahiran seperti analitik data, serta penubuhan biasiswa industri SGRail bagi program-program di ITE dan Institut Pengajian Tinggi yang akan memanfaatkan sekitar 400 pelajar dan pekerja.

Menurut Encik Khaw: "Pemerintah, menerusi LTA, akan melabur bersama dengan anda. Jadi dengan cara ini, para pekerja akan mempunyai kemahiran yang diperlukan, sama ada untuk meningkatkan daya penghasilan atau melakukan kerja mereka dengan lebih baik, sama ada untuk mengesan keadaan landasan kereta api atau keadaan kereta api atau sistem isyaratnya. 

"Kita mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk melakukan kerja dengan lebih baik, lebih tepat. Pada akhirnya, agar kita dapat meningkatkan tahap perkhidmatan kepada penumpang."

Pakej itu juga akan digunakan untuk melabur dalam peralatan latihan seperti simulator.

SBS Transit pula menyatakan pakej tersebut akan membantu mewujudkan sekitar 10,000 tempat latihan meliputi 16 jenis pekerjaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pakej RMDP itu didedahkan menyusuli rancangan meluaskan rangkaian rel Singapura, dengan tiga laluan rel - Laluan Thomson-East Coast, Laluan Daerah Jurong dan Laluan Rentas Pulau dijangka menambah jarak rangkaian itu kepada sekitar 130 kilometer menjelang 2030.

Sementara itu, Singapura akan terus menaik taraf aset-aset kereta api yang semakin menua di seluruh laluan rel sedia ada bagi "mengekalkan keandalan rel, dan mengamalkan operasi baru dan teknologi penyelenggaraan seperti sensor keadaan jauh dan realiti maya bagi mencapai kecekapan kos lebih tinggi."

SMRT Trains mencatat kerugian bersih sebanyak S$155.3 juta bagi Tahun Kewangan 2019 - hampir dua kali ganda daripada kerugian pada tahun lalu sebanyak S$86 juta - terutamanya akibat kenaikan pada perbelanjaan operasi, khususnya kos pembaikan dan penyelenggaraan.

Dalam catatan Facebook hari ini, Setiausaha Eksekutif NTWU Melvin Yong menulis bahawa beliau "berbesar hati" dengan pelaburan daripada Pemerintah it, setelah perbincangan menunjukkan para pengendali kereta api menghadapi "cabaran penting mengimbangi pelaburan besar dalam penyelenggaraan dengan latihan tenaga kerja."

Encik Yong juga berkata RMDP akan membantu "melengkapi dan mempercepat" usaha yang sedang dilakukan oleh pihak kesatuan dan kedua-dua pengendali kereta api. 

Sumber : CNA/NF/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan