Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah kaji cara terus sokong golongan bekerja sendiri jangkaui 2020; namun perlu 'beralih ke tahap normal secara berperingkat'

Pemerintah sedang mengkaji cara-cara untuk terus menyokong golongan individu yang bekerja sendiri menjangkaui tahun ini, dan akan memberikan kemas kini sebelum hujung tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah kaji cara terus sokong golongan bekerja sendiri jangkaui 2020; namun perlu 'beralih ke tahap normal secara berperingkat'

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 11:32PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 11:36PM

SINGAPURA: Pemerintah sedang mengkaji cara-cara untuk terus menyokong golongan individu yang bekerja sendiri menjangkaui tahun ini, dan akan memberikan kemas kini sebelum hujung tahun ini.

Kumpulan ini adalah antara golongan yang diberikan perhatian oleh pemerintah, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, semasa beliau menggulung perbahasan Parlimen mengenai belanjawan tambahan terkini pada Khamis (15 Okt).

Golongan yang bekerja sendiri, yang merangkumi pekerja bebas, pemandu teksi, pemandu kereta sewa privet dan ejen hartanah, kini disokong melalui Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS), yang menawarkan agihan tunai sebanyak S$3,000 setiap tiga bulan kepada individu yang terjejas buat tiga suku berturut-turut.

Menjelang bulan ini, lebih 195,000 individu akan menerima ketiga-tiga agihan tunai bernilai S$9,000 kesemuanya.

Menarik perhatian bahawa ketiga-tiga agihan itu "diperuntukkan bagi menampung golongan yang bekerja sendiri yang terjejas sehingga hujung Disember 2020", menurut Encik Heng sambil menegaskan bahawa Pemerintah akan meneliti bagaimana untuk terus menyokong kumpulan tersebut. "Tetapi seperti skim sokongan yang lain, kita harus bergerak secara bertahap-tahap ke arah kenormalan," tambahnya.

Selain golongan yang bekerja sendiri, Encik Heng juga menyebut tentang karyawan pertengahan kerjaya dan pekerja bergaji rendah, yang dibangkitkan oleh sebilangan Anggota Parlimen (AP) sebagai golongan yang turut berisiko lebih tinggi kehilangan pendapatan atau mungkin mengalami kesulitan mencari pekerjaan semasa krisis COVID-19.

Encik Heng turut mengumumkan bahawa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menimbangkan saranan AP Bukit Batok, Murali Pillai untuk memberikan sokongan gaji yang lebih tinggi untuk bekas banduan di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan.

Awal hari ini, Encik Murali berkata bahawa menyokong bekas banduan selaras dengan objektif skim sokongan untuk membantu golongan yang mudah terdedah mendapatkan akses kepada peluang dan terus kekal bekerja.

Encik Heng berkata MOM akan mengumumkan lebih banyak perincian tidak lama lagi.

MENYOKONG PEKERJA BERGAJI RENDAH

Berhubung menyokong pekerja berpendapatan rendah, Encik Heng berkata beliau bersetuju dengan keperluan untuk memperluaskan sokongan yang holistik untuk kumpulan ini, yang kebanyakannya bertugas dalam pekerjaan khidmat barisan hadapan yang lebih terjejas oleh pandemik dan langkah-langkah pengurusan selamat.

Sungguhpun demikian, Encik Heng berkata beliau akan menunggu saranan-saranan yang diusulkan oleh sebuah kumpulan kerja - yang terdiri daripada Pemerintah, gerakan buruh dan majikan - yang dibentuk untuk mengkaji bagaimana untuk memperluaskan model gaji progresif kepada lebih banyak sektor dan mendorong pertumbuhan daya penghasilan yang lebih besar.

Encik Heng menekankan bahawa model gaji progresif dan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja "mesti dilihat sebagai pakej yang bersepadu".

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan