Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah kaji cara beri keutamaan naik pengangkutan awam kepada warga emas, keluarga

Pemerintah sedang mengkaji cara terbaik bagi memberi keutamaan kepada golongan seperti "warga emas dan keluarga yang mempunyai anak kecil" untuk menaiki kenderaan awam dahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah kaji cara beri keutamaan naik pengangkutan awam kepada warga emas, keluarga

(Gambar: John Yip)

Diterbitkan : 10 May 2018 05:43PM Dikemas Kini : 10 May 2018 05:46PM

SINGAPURA: Pemerintah sedang mengkaji cara terbaik bagi memberi keutamaan kepada golongan seperti "warga emas dan keluarga yang mempunyai anak kecil" untuk menaiki kenderaan awam dahulu.

Demikian dikongsi Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min semasa menjawab pertanyaan dari para pendengar dalam program TalkBack di saluran radio 938NOW pagi tadi (10 Mei).

Meski inisiatif ini melibatkan kos, pelaburan ini penting "bagi memastikan sistem pengangkutan bersifat inklusif sebaik mungkin".

Dalam kenyataan tambahan kepada Ucapan Presiden, Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa ia akan memperbaiki ketersambungan Singapura untuk semua rakyat tidak kira keperluan masing-masing.

Dr Lam berkata kementeriannya sedang mengkaji saranan-saranan yang dikemukakan Panel Penasihat Mesra-Keluarga, yang sudah mendapatkan maklum balas dari pelbagai kumpulan penumpang, termasuk keluarga dengan anak kecil, bagi memahami keperluan mereka.

MOT turut menyatakan bahawa ia akan meluaskan rangkaian kereta api sebanyak 130 kilometer, dan sedang menuju ke arah membolehkan lapan daripada 10 rumah untuk berada dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari stesen kereta api menjelang 2030.

"Jika anda lihat pada jumlah laluan yang akan kami bina pada tahun-tahun mendatang, ia tidak sahaja akan meningkatkan keupayaan (sistem pengangkutan), tetapi meningkatkan daya tahan rangkaian kereta api kita. Ia akan membantu memendekkan masa perjalanan bagi para penumpang, dan mengurangkan kesesakan di beberapa laluan utama MRT seperti yang sedang kita hadapi buat masa kini."

KETERSAMBUNGAN DARI RUMAH KE TEMPAT YANG DITUJU

Selain memperbaiki ketersambungan kereta api, Dr Lam berkata pemerintah juga sedang meninjau cara untuk memudahkan lagi bagi para penumpang untuk ke tempat yang ingin dituju. "Kementerian Pengangkutan akan berusaha memastikan perjalanan yang selesa bagi semua penumpang iaitu bermula dari masa mereka melangkah keluar dari rumah," kata beliau.

Penggunaan alat mobiliti peribadi, seperti basikal dan e-skuter, membentuk sebahagian daripada pelan yang dijalankan.

"Kami giat meluaskan jalan yang dikongsi selagi mampu, sambil mengambil kira beberapa halangan fizikal," kata Dr lam. "Kami juga akan membina lebih banyak laluan berbasikal. Di bawah pelan berbasikal kebangsaan, kami merancang untuk membina lagi 700km laluan berbasikal menjelang 2030, berbanding 400km yang ada sekarang."

Pemerintah juga akan mempergiat usaha untuk mendidik masyarakat tentang keselamatan dan memupuk semangat masyarakat, kata Dr Lam, sambil menambah bahawa kini terdapat "sekitar 900 sukarelawan akar umbi, yang membuat rondaan di kawasan kejiranan dan berusaha meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan dan sikap bertanggungjawab ketika menggunakan alat peribadi mobiliti mereka".

Beliau menambah, "dengan adanya Akta Tempat Letak Basikal yang dilaksanakan, serta Akta Mobiliti Aktif, kami akan mampu untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang tidak mengendahkan peraturan yang ditetapkan. Dengan adanya tindakan penguatkuasaan yang teratur, para penumpang dan pengguna mampu mengubah sikap mereka".

Dalam usaha ini, Akta Mobiliti Aktif memerlukan semua pemilik e-skuter untuk mendaftarkan alat mereka dengan Penguasa Pengangkutan Darat, bagi memudahkannya menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap para pengguna yang tidak bertanggungjawab.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan