Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah guna Akta POFMA buat kali pertama terhadap catatan Brad Bowyer

Brad Bowyer diarahkan untuk membetulkan satu catatan Facebooknya awal bulan ini yang antara lain mempersoalkan sama ada Temasek dan GIC dikendalikan secara bebas.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Nov 2019 03:40PM Dikemas Kini : 25 Nov 2019 11:19PM

SINGAPURA: Anggota parti pembangkang Brad Bowyer diarahkan untuk membetulkan satu catatan Facebooknya awal bulan ini yang antara lain mempersoalkan sama ada Temasek dan GIC dikendalikan secara bebas, dalam penggunaan pertama undang-undang "berita palsu" baru di Singapura.

Pejabat itu adalah sebahagian daripada Penguasa Pembangunan Infokom Media dan menyelia pentadbiran Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).

Bertujuan menangani penyebaran kepalsuan online yang disengajakan, POFMA berkuat kuasa pada awal Oktober, lima bulan selepas ia diluluskan di Parlimen pada Mei.

Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin menyatakan bahawa catatan Facebook Encik Bowyer membayangkan bahawa Pemerintah terlibat dalam keputusan pelaburan individu GIC dan Temasek.

"Kementerian Kewangan telah mengarahkan Pejabat POFMA untuk mengeluarkan satu Arahan Pembetulan kepada Encik Brad Bowyer berhubung catatan Facebooknya pada 13 November 2019, 7.46 malam," kata Pejabat POFMA dalam satu kenyataan media pada Isnin (25 Nov).

"Arahan Pembetulan memerlukan Encik Bowyer menerbitkan notis pembetulan sepenuhnya di atas catatan Facebooknya," menurutnya.

"Catatan Encik Bowyer mengandungi kenyataan fakta yang jelas palsu dan menjejas keyakinan awam terhadap Pemerintah," kata MOF dalam kenyataan berasingan pada Isnin.

"Perlu untuk menyatakan ini sebagai rekod: GIC dan Temasek beroperasi atas dasar komersil, dan Pemerintah tidak terlibat dalam keputusan pelaburan individu mereka," menurut kementerian itu.

Mediacorp mendapati bahawa sejarah urutan penyuntingan Encik Bowyer menunjukkan notis pembetulan ditambah pada 11.55 pagi, pada Isnin.

Beliau juga membuat kenyataan di Facebook pada Isnin mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis pembetulan bagi catatannya pada 13 Nov.

"Saya tidak menentang diminta membuat penjelasan atau pembetulan terutamanya jika ia melibatkan kepentingan awam," kata Encik Bowyer, yang juga menulis di Facebook pada Julai bahawa beliau ialah sebahagian daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP).

"Umumnya, saya mengingatkan semua yang membuat komen tentang politik dalaman dan isu-isu sosial kami supaya melakukannya dengan berhati-hati terutamanya jika anda bercakap dari mana-mana kedudukan yang berpengaruh," tambahnya.

Satu rencana berjudul Pembetulan dan Penjelasan Berhubung Kepalsuan yang Dikirim oleh Encik Brad Bowyer dan dimuat naik di laman pemeriksaan fakta Pemerintah, Factually, menyatakan bahawa catatan Facebook Encik Bowyer mengandungi kenyataan-kenyataan fakta yang palsu dan kenyataan yang mengelirukan.  

Sumber : CNA/EM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan