Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah dampingi mereka terjejas dengan "kesan tidak disengajakan" perkongsian basikal

Pemerintah akan mendampingi mereka yang terjejas akibat "kesan tidak disengajakan oleh khidmat perkongsian basikal", menurut Menteri Kanan Negara Pengangkutan Dr Janil Puthucheary pada Rabu (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah dampingi mereka terjejas dengan "kesan tidak disengajakan" perkongsian basikal

Dua basikal diletakkan di tepi jalan raya.

Diterbitkan : 04 Jul 2018 09:47PM Dikemas Kini : 04 Jul 2018 09:49PM

SINGAPURA: Pemerintah akan mendampingi mereka yang terjejas akibat "kesan tidak disengajakan oleh khidmat perkongsian basikal". Demikian kata Menteri Kanan Negara Pengangkutan Dr Janil Puthucheary kepada para wartawan hari ini (4 Jul).

Berucap di majlis mendedahkan kereta api pertama daripada 91 kereta api empat gerabak Laluan Thomson-East Coast(TEL) , Dr Puthucheary berkata perkongsian basikal adalah komponen penting dalam pelan induk pengangkutan Singapura yang terbaru.

Menjawab pertanyaan mengenai pengunduran syarikat perkongsian basikal oBike daripada pasaran setempat, Dr Puthucheary berkata: "Pasaran (perkongsian basikal) masih sedang berubah-rubah dan kami akan terus mendampingi penyedia khidmat, pengguna serta orang awam yang terjejas oleh kesan yang tidak disengajakan. Kita akan mengkaji, kita akan mengambil maklum balas dan ambil tindakan sewajarnya."

oBike mengumumkan Isnin lalu bahawa ia akan menghentikan operasi di Singapura. Ia berhutang kepada para pengguna sebanyak S$6.3 juta dalam bentuk wang cengkeram.

Operator tersebut menambah bahawa pihaknya sedang berusaha mengalihkan 70,000 basikalnya daripada jalan raya sebelum tarikh luput 4 Julai yang ditetapkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Syarikat tersebut menyatakan bahawa kepayahan memenuhi keperluan LTA adalah penyebab mengapa ia menarik diri daripada pasaran Singapura.

Mengulas tentang masa depan perkongsian basikal di Singapura, Dr Puthucheary berkata: "Tentunya model perniagaan dan jenis syarikat yang menyediakan khidmat sedemikian adalah penting dalam membentuk pelan induk kita yang seterusnya."

Beliau menambah tentang bagaimana khidmat perkongsian basikal memainkan peranan dalam pelan induk pengangkutan Singapura seterusnya, yang akan diumumkan pada 2019.

"Apa yang penting adalah bahagian terakhir (last mile), bahagian di mana pelbagai bentuk pengangkutan berintegrasi... Kita mengambil pendekatan yang mengutamakan pengguna.

"Bagaimana pengguna menaiki basikal ke stesen MRT, bagaimana pengguna menaiki bas dan kemudian mungkin menggunakan khidmat perkongsian apabila tiba ke kawasan CBD. Ini yang kita namakan pengangkutan silang-bentuk, menghubungkan pelbagai bahagian. Saya berpendapat bahawa kunci kejayaan fasa seterusnya pelan induk pengangkutan adalah dengan melakar perkara ini dengan tepat," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan