Pemerintah: Catatan Brad Bowyer mengandungi kenyataan palsu, mengelirukan
Dalam artikel laman Factually berhubung Pembetulan dan Penjelasan Berhubung Kepalsuan yang dicatatkan Encik Brad Bowyer, pemerintah menyatakan catatan Facebook Encik Bowyer mengandungi kenyataan fakta palsu dan kenyataan mengelirukan.
SINGAPURA: Dalam artikel laman Factually berhubung Pembetulan dan Penjelasan Berhubung Kepalsuan yang dicatatkan Encik Brad Bowyer, pemerintah menyatakan catatan Facebook Encik Bowyer mengandungi kenyataan fakta palsu dan kenyataan mengelirukan.
Berikut adalah pembetulan dan penjelasan yang disenaraikan dalam artikel laman Factually itu.
KEPALSUAN
1. Pelibatan Pemerintah dalam keputusan pelaburan yang dibuat oleh Temasek dan GIC
Apa yang ditulis Encik Bowyer: Menurut artikel Factually, catatan Encik Bowyer pada 13 Nov membayangkan bahawa Pemerintah menguasai keputusan-keputusan komersil Temasek dan GIC.
Artikel Factually: Ini adalah palsu, menurut Factually.
"Pemerintah tidak mempengaruhi, apatah lagi mengarahkan, satu persatu keputusan pelaburan yang dibuat oleh Temasek dan GIC," menurut laman itu.
"Syarikat-syarikat mana yang mereka laburkan, atau lepaskan pelaburan, adalah tanggungjawab pasukan pengurusan masing-masing. Pemerintah juga tidak campur tangan dalam keputusan komersil syarikat-syarikat portfolio Temasek dan GIC."
Artikel Factually juga menyatakan bahawa kedua-dua Temasek dan GIC dijalankan berdasarkan prinsip-prinsip pasaran yang bebas daripada Pemerintah.
Kebanyakan syarikat portfolio mereka disenaraikan di bursa saham. Peranan Pemerintah adalah untuk memastikan bahawa Temasek dan GIC mempunyai lembaga yang berkebolehan yang mempertanggungjawabkan mereka terhadap prestasi keseluruhan masing-masing.
2. Projek Amaravati
Apa yang ditulis Encik Bowyer: "Kita melihat pembatalan baru-baru ini projek bandar Amaravati yang merupakan sebahagian daripada S$4 bilion yang sudahpun dilaburkan ke dalam Andhra Pradesh dibuat oleh GLC dan parti-parti terlibat, jadi India bukanlah satu pilihan pelaburan yang bijak sebenarnya."
Artikel Factually: Catatan Encik Bowyer membuat kenyataan-kenyataan fakta tersirat bahawa sebahagian besar pelaburan S$4 bilion di Andhra Pradesh dilaburkan ke dalam projek Amaravati; dan bahawa pelaburan dibuat secara tidak bijak oleh syarikat berkaitan Pemerintah (GLC) dan pihak-pihak lain di Andhra Pradesh, menurut artikel Factually.
"Ini adalah palsu," menurut artikel itu lagi. "Tiada jumlah bernilai berbilion dolar dilibatkan."
Konsortium Singapura - terdiri daripada Ascendas Singbridge Pte Ltd (kini sebahagian daripada CapitaLand Group) dan Sembcorp Development Ltd - dalam projek Amaravati sudah menyatakan secara terbuka bahawa kos-kos yang ditanggung terhad kepada khidmat-khidmat reka bentuk sebelum bermulanya kerja-kerja di tapak, yang kesemuanya bernilai beberapa juta dolar, menurut artikel Factually.
Artikel itu juga menyatakan bukan GLC dan pihak-pihak berkaitan sahaja yang melabur di Andhra Pradesh. Beberapa syarikat Singpura yang lain turut membuat pelaburan, termasuk Indus Coffee, sebuah anak syarikat kepada syarikat yang disenaraikan di bursa saham Singapura.
3. Salt Bae
Apa yang ditulis Encik Bowyer: Menurut Factually, Encik Bowyer mendakwa Temasek membuat pelaburan ke dalam syarikat induk yang banyak berhutang, yang memiliki Salt Bae.
Artikel Factually: "Ini adalah palsu."
Rangkaian restoran Salt Bae dimiliki sebuah syarikat bernama D.ream International BV, yang mengendali 60 restoran merata dunia menerusi empat anak syarikat.
Temasek melabur ke dalam D.ream International BV, dan bukan dalam anak salah satu anak syarikatnya bernama Doğuş Holding yang dilaporkan menghadapi masalah kewangan.
PENJELASAN
1. Temasek, GIC dan dana awam
Artikel Factually menyatakan Encik Bowyer menggunakan kenyataan palsu dan mengelirukan untuk mencemar nama baik Temasek dan GIC.
Encik Bowyer dalam catatannya mempersoal: "Adakah ini pelaburan bijak oleh (Temasek dan GIC) atau tanggungjawab fidusiari pihak yang memantau mereka kerana ia melibatkan dana awam yang diurus langsung atau disuntik ke dalam syarijkat-syarikat itu?"
Artikel Factually menarik perhatian bahawa jumlah pulangan pemegang saham bagi Temasek adalah 7 peratus (kadar tahunan mengikut matawang SGD) sepanjang 20 tahun lalu, dan nilai portfolio keseluruhan tumbuh dari kurang S$100 bilion pada 2002 kepada lebih S$300 bilion hari ini.
"Temasek tertakluk kepada disiplin dan pemeriksaan pasaran... Tambahan lagi, Temasek diberi penarafan Aaa oleh Moody's Investor Service dan AAA oleh S&P Global Ratings sejak sistem penarafan bermula pada 2004," menurut artikel itu.
"Temasek dan GIC dikendalikan dengan cermat dan cekap. Tidak ada dana pelaburan milik negara yang sudah menyumbang dengan begitu besar kepada belanjawan-belanjawan negara dan ekonomi, tanpa bergantung kepada sumber-sumber asli atau ekonomi domestik yang besar."
2. Keppel
Catatan Encik Bowyer membayangkan Keppel Corp atau anak syarikatnya mengalami kerugian akibat denda S$500 juta, menurut artikel Factually.
Ini adalah mengelirukan dan Keppel sebenarnya mengalami keuntungan setiap tahun sepanjang 33 tahun lalu.
"Sepanjang empat tahun lalu, Keppel meraih keuntungan S$3.4 bilion, termasuk S$196 juta untung bersih pada tahun ia dikenakan denda oleh Brazil. Keppel juga mengisytiharkan dividen secara kerap sebagai sebuah syarikat tersenarai (di bursa) kepada kesemua pemegang saham, termasuk Temasek."
3. Bharti Airtel
Encik Bowyer dalam catatannya menyebut syarikat telko India, Bharti Airtel, dan mempersoalkan pelaburan Singtel dalam syarikat itu.
Artikel Factually menarik perhatian bahawa nilai pegangan saham Singtel dalam Bharti Airtel kini bernilai S$13 bilion, lebih seganda berbanding pelaburannya bernilai S$5.1 bilion.
4. Projek Amaravati
Artikel Factually menyatakan Encik Bowyer mencadangkan bahawa pelaburan S$4 bilion oleh GLC dan pihak-pihak berkaitan di Andhra Pradesh, kesemuanya tidak mendapatkan pulangan baik.
"Encik Bowyer membuat kenyataan melulu namun tidak berasas."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.