Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah arah Facebook lumpuhkan akses pengguna ke laman State Times Review

Menteri Perhubungan dan Penerangan (MCI) S Iswaran mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) untuk mengarahkan Facebook melumpuhkan akses pengguna Singapura ke laman Facebook States Times Review (STR).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah arah Facebook lumpuhkan akses pengguna ke laman State Times Review

(Gambar fail: Dado Ruvic/REUTERS)

Diterbitkan : 17 Feb 2020 11:25PM Dikemas Kini : 17 Feb 2020 11:28PM

SINGAPURA: Menteri Perhubungan dan Penerangan (MCI) S Iswaran mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) untuk mengarahkan Facebook melumpuhkan akses pengguna Singapura ke laman Facebook States Times Review (STR).

Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) mengumumkan demikian dalam satu kenyataan media pada Isnin (17 Feb) selepas laman Facebook STR gagal mematuhi arahan pembetulan yang dikenakan ke atasnya.

MCI menyatakan: "Laman Facebook STR sudah berulang kali menyampaikan kepalsuan dan tidak mematuhi mana-mana arahan POFMA yang dikenakan ke atasnya."

Laman Faceboook STR dijadikan sebagai Lokasi Online Yang Diisytiharkan (DOL) pada Sabtu (15 Feb), sehari selepas Menteri Kesihatan Gan Kim Yong mengarahkan laman itu untuk menjalani arahan pembetulan bagi satu catatan yang mengandungi dakwaan "tidak benar sama sekali" mengenai keadaan COVID-19.

"Laman Facebook STR tidak menjalankan notis yang dikehendaki menyatakan ia sudahpun diisytiharkan sebagai DOL yang memberi amaran kepada pengunjung tentang kepalsuan sebelum ini yang disampaikan oleh laman ini," menurut MCI.

Menurut laman Pejabat POFMA, DOL boleh meliputi laman web serta laman sesawang dan ditakrifkan sebagai "lokasi online yang membawa tiga atau lebih kepalsuan online yang menjadi subjek arahan aktif yang dikeluarkan oleh POFMA".

"Lokasi Online Yang Diisytiharkan tidak dibenarkan meraih keuntungan daripada penyebaran kepalsuan di Singapura," dedah laman web itu sambil menambah bahawa orang awam harus "mengambil langkah berwaspada dan membuat pemeriksaan fakta tambahan" jika mengakses laman-laman tersebut untuk maklumat.

Arahan pada Isnin itu muncul selepas tiga arahan pembetulan yang dikeluarkan terhadap laman Facebook STR, yang dimiliki oleh Encik Alex Tan, sejak November tahun lalu.

Facebook mengeluarkan notis pembetulan tahun lalu bagi satu lagi catatan STR. Laman Facebook STR masih lagi boleh diakses di Singapura pada Isnin, jam 9.15 malam. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan