Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan bantu kurangkan pemberhentian kerja akibat COVID-19, kata Ng Eng Hen

Sedang ekonomi terjejas oleh virus korona COVID-19, Pemerintah akan membantu untuk mengurangkan sebarang pemberhentian kerja akibat wabak itu, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Feb 2020 08:35AM Dikemas Kini : 14 Feb 2020 10:45PM

SINGAPURA: Sedang ekonomi terjejas oleh virus korona COVID-19, Pemerintah akan membantu untuk mengurangkan sebarang pemberhentian kerja akibat wabak itu, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

"Walaupun kita menghadapi wabak menular itu, kita mesti memastikan bahawa ekonomi kita boleh berfungsi untuk mengekalkan pekerjaan dan kehidupan bagi Singapura," kata beliau dalam amanatnya sempena Hari Pertahanan Mutlak pada Jumaat (14 Feb).

"Pemerintah akan bekerjasama dengan syarikat dan kesatuan sekerja untuk memastikan pemberhentian kerja adalah minimum, jika ada sekalipun.

Bagi sektor pengangkutan, Pemerintah dan pengendali-pengendali teksi serta khidmat kereta sewa privet sudahpun mengumumkan pakej S$77 juta untuk membantu para pemandu yang terjejas oleh penularan virus itu.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan ia akan mengecualikan yuran lesen untuk hotel, ejen pelancongan dan pemandu pelancong serta membiayai kos pembersihan hotel yang menyediakan penginapan kepada kes-kes virus COVID-19.

STB menyatakan pada Selasa (11 Feb) bahawa sektor pelancongan akan "merudum dengan ketara" akibat wabak tersebut, dengan kedatangan pelawat dianggarkan merosot sebanyak 25 hingga 30 peratus tahun ini.

Pemerintah juga menyatakan ia menjangkakan kesan terhadap industri dan firma berkaitan sambil menambah bahawa ia bersedia untuk menyokong syarikat serta pekerja seandainya berlaku kelembapan ekonomi dalam beberapa bulan mendatang.

Ini termasuk langkah-langkah seperti membantu firma mengekalkan dan melatih para pekerja mereka dengan menyokong sebahagian daripada kos menggajikan mereka.

Dr Ng berkata Singapura sudahpun berjaya mengatasi krisi Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 melalui Pertahanan Mutlak.

Oleh itu, sedang Singapura bergelut dengan COVID-19, Dr Ng menambah, Pertahan Mutlak "kini mesti bertindak semula".

"BERI HORMAT KEPADA KAKITANGAN BARISAN HADAPAN KITA"

Menteri itu berkata Singapura mesti memperkukuhkan pertahanan psikologinya untuk menahan pahit getir wabak tersebut dan meneruskan dengan kehidupan seharian.

"Di tengah-tengah pertarungan terhadap wabak menular ini, kami merakamkan ucapan takziah mendalam kepada keluarga mangsa yang menderita," ujarnya.

"Kami juga memberi hormat kepada kakitangan barisan hadapan, terutamanya doktor, jururawat dan pekerja jagaan kesihatan kami, yang merawat para pesakit dari hari ke hari dan secara dekat.

"Anda mendapat penghormatan dan penghargaan kami sepenuhnya. Tolong lindungi diri anda dan keluarga anda sekalipun sedang anda menjalankan tugas anda sebagai karyawan."

RASA BELAS BAGI YANG DIJANGKITI, DIKUARANTIN

Bagi pertahanan sosial, Dr Ng berkata orang ramai mesti mengamalkan kebersihan diri yang baik dan mengekalkan jarak dengan individu lain jika mereka sakit.

Pertahanan digital, tunggak keenam dan yang terkini dalam Pertahanan Mutlak, juga sudah membuktikan "penambahan yang perlu dan tepat pada masanya" sedang negara cuba untuk membendung virus itu, kata Dr Ng lanjut.

Maklumat palsu mengenai penyakit itu atau mesej untuk menghasut kebencian terhadap mana-mana kumpulan tidak membantu mengawal wabak tersebut," ujarnya.

Dr Ng menambah beliau mempunyai "keyakinan" bahawa warga Singapura boleh bersatu dan berjaya mengatasi COVID-19.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan