Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemeriksaan status vaksin COVID-19 dilakukan secara 'terpilih' di pusat penjaja, kedai kopi

Pegawai penguatkuasaan jarak selamat akan melakukan pemeriksaan secara "terpilih" ke atas status vaksinasi COVID-19 pengunjung di pusat penjaja dan kedai kopi apabila langkah-langkah baru bermula pada Rabu (13 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemeriksaan status vaksin COVID-19 dilakukan secara 'terpilih' di pusat penjaja, kedai kopi

Pusat Penjaja Tanjong Pagar Plaza.

Diterbitkan : 09 Oct 2021 07:59PM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 08:05PM

SINGAPURA: Pegawai penguatkuasaan jarak selamat akan melakukan pemeriksaan secara "terpilih" ke atas status vaksinasi COVID-19 pengunjung di pusat penjaja dan kedai kopi apabila langkah-langkah baru bermula pada Rabu (13 Okt).

Pada Sabtu, pemerintah mengumumkan bahawa orang yang tidak divaksin tidak akan dibenarkan makan di pusat-pusat penjaja dan kedai kopi atau memasuki pusat beli-belah.

Mereka yang sudah lengkap divaksin boleh terus melakukan demikian, tetapi hanya dalam kumpulan dua orang. Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, individu yang sudah pulih dan mereka yang tidak divaksin namun mempunyai keputusan ujian pra-acara yang sah boleh disertakan ke dalam kumpulan dua orang itu.

Orang yang tidak divaksin atau belum lengkap divaksin boleh terus membawa pulang makanan dari pusat penjaja dan kedai kopi.

"Kami memohon kerjasama pengunjung untuk menunjukkan kepada pegawai penguatkuasaan kami 'tanda hijau' pengesahan vaksinasi pada aplikasi TraceTogether," kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan media.

Pengunjung juga boleh mengimbas token TraceTogether mereka untuk mengesahkan status vaksinasi.

Mereka yang melanggar langkah tersebut akan diberi amaran dan maklumatnya dicatat, kata agensi-agensi itu.

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas pesalah berulang dan mereka yang enggan bekerjasama," tambah pihak berkuasa.

Papan-papan tanda akan diletakkan di pintu masuk pusat penjaja dan kedai kopi untuk mengingatkan pelanggan tentang peraturan baru itu. Peringatan berkala juga akan dibuat melalui sistem pengumuman awam jika ada.

Duta jarak selamat dan pegawai penguatkuasaan akan mengambil "pendekatan pragmatik dan terpilih untuk elak menyusahkan sebilangan besar pengunjung yang sudah divaksin sepenuhnya", kata NEA dan SFA.

Agensi-agensi itu menambah, pihaknya mungkin akan menumpukan pemeriksaan semasa waktu sibuk di tempat-tempat perhimpunan lebih ramai warga emas tidak divaksin.

Menjelaskan pendekatan ini,NEA dan SFA menyatakan bahawa pemeriksaan wajib status vaksinasi di tempat masuk pusat penjaja dan kedai kopi akan menimbulkan "kesulitan ketara" bagi pelanggan yang ingin menjamu selera dengan segera.

"Sebaliknya, NEA dan SFA masing-masing akan bekerja sama dengan majlis bandaran dan pengendali kedai kopi untuk mengerahkan petugas untuk menasihatkan pelanggan" tentang langkah-langkah berbeza berdasarkan status vaksinasi, tambahnya.

NEA juga akan bekerjasama dengan Persatuan Penjaja untuk melibatkan pegerai supaya menasihatkan pelanggan kerap mereka yang belum divaksin, supaya mendapatkan suntikan dan elak makan di luar.

SFA pula akan bekerjasama dengan pengendali kedai kopi untuk memeriksa status vaksinasi pelanggan "seberapa mungkin" di tempat tertentu, seperti di gerai membeli air.

Lebih banyak tempat duduk dan kerusi di pusat penjaja yang "terlalu sesak" akan dikepung jika perlu demi memastikan jarak selamat antara pelanggan dan pegerai, tambah NEA dan SFA.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan