Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemeriksaan harian ke atas kedai F&B, bekas tempat hiburan malam sejak Oktober

Setiap hari agensi-agensi Pemerintah menjalankan pemeriksaan harian dicawangan makanan dan minuman sejak Oktober tahun lalu, dengan sekitar 400 tempat diperiksa bagi setiap operasi penguatkuasaan, menurut polis dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (20 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemeriksaan harian ke atas kedai F&B, bekas tempat hiburan malam sejak Oktober

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 11:58PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 12:02AM

SINGAPURA: Setiap hari agensi-agensi Pemerintah menjalankan pemeriksaan harian dicawangan makanan dan minuman sejak Oktober tahun lalu, dengan sekitar 400 tempat diperiksa bagi setiap operasi penguatkuasaan, menurut polis dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (20 Jul).

Tempat-tempat ini termasuk perniagaan hiburan malam yang menukar operasi menjadi tempat F&B sejak dibenarkan melakukan demikian mulai Oktober 2020.

Operasi penguatkuasaan bersama, yang melibatkan polis dan pelbagai agensi, juga dilakukan pada setiap musim perayaan, kata polis dan MSE dalam satu kenyataan bersama.

"Sehingga kini, pihak agensi telah mengeluarkan sekitar 100 arahan untuk tutup tempat F&B, termasuk sekitar 40 bekas pusat hiburan yang ditukar operasi, dengan sekitar 10 merupaka pesalah berulang," tambah mereka.

"Pengendali juga menghadapi tindakan penguatkuasaan lebih lanjut, termasuk denda dan dakwaan di mahkamah."

Pusat hiburan malam yang beralih kepada operasi F&B mendapat perhatian utama setelah berlaku lonjakan kes COVID-19 berkaitan dengan KTV, sekaligus membentuk kelompok jangkitan yang besar.

Sejak hukuman lebih ketat dikuat kuasakan pada Mei lalu, pihak berkuasa telah menarik balik lesen tiga tempat hiburan yang ditukar menjadi cawangan F&B, kata polis dan MSE.

Empat lagi cawangan mungkin dibatalkan lesen mereka, sementara menunggu siasatan.

"Pelanggaran oleh pusat hiburan malam yang diubah beroperasi sebagai tempat F&B itu menyumbang kepada sebilangan besar pelanggaran berulang yang teruk," tambah pihak berkuasa.

"Pelanggaran SMM (langkah-langkah pengurusan selamat) yang dilakukan oleh kumpulan ini dilakukan secara terang-terangan dan membawa risiko kesihatan awam yang jauh lebih tinggi."

Polis menambah pihaknya juga melakukan operasi penguatkuasaannya sendiri, dengan 540 pemeriksaan dilakukan antara 1 Oktober 2020 hingga 10 Julai 2021.

PENTINGNYA TANGGUNGJAWAB INDIVIDU

Polis dan MSE menekankan pentingnya tanggungjawab individu dalam mencegah penularan COVID-19.

"Penguatkuasaan terhadap tingkah laku yang tidak bertanggungjawab hanyalah salah satu cara untuk mencegah penularan COVID-19, dan kita tidak boleh bergantung hanya pada tindakan itu, atau mengharapkan semua pihak mematuhi peraturan sepenuhnya. Apa yang dapat dicapai daripada langkah-langkah penguatkuasaan adalah terhad," tegas pihak berkuasa.

"Tanggungjawab individu lebih penting dan sebenarnya, cara yang paling berkesan dan berterusan untuk kita mengatasi COVID-19. Kita semua perlu memainkan peranan masing-masing."

Pusat-pusat hiburan malam tidak dibenarkan beroperasi mengikut bentuk asalnya sejak Mac tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Menyusuli maklum balas pengendali bahawa proses menukar secara rasmi pusat hiburan kepada tempat F&B terlalu lama dan mahal, pihak berkuasa memperkemas proses tersebut pada Oktober tahun lalu untuk membolehkan peralihan kepada operasi F&B dengan pantas.

Ini juga membolehkan tempat-tempat tersebut beralih semula kepada operasi biasa apabila sektor hiburan malam dibuka, jelas polis dan MSE.

Setakat ini, lebih 400 pengendali pusat hiburan malam menerima lesen kedai makan atau kaunter kudapan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk menukar kepada operasi F&B sementara.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan