Images
  • checkpoint temperature
    (Gambar: Mediacorp)

Pemegang pas kerja dari M'sia mesti dapatkan kelulusan MOM sebelum ke S'pura

SINGAPURA: Semua pemegang pas kerja dan tanggungan mereka yang ingin masuk ke Singapura daripada Malaysia - tidak kira cara pengangkutan mereka - kini mesti mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sebelum memulakan perjalanan mereka.

Mereka juga akan dikenakan arahan duduk di rumah selama 14 hari setibanya mereka di Singapura, kata MOM pada Rabu (25 Mac).

Mereka yang membawa masuk khidmat dan bekalan penting, seperti pemandu trak makanan menerusi sempadan darat dan laut dikecualikan dari mendapatkan kelulusan kemasukan dan peraturan duduk di rumah.

Apabila memohon bagi kelulusan masuk para pemegang pas kerja yang terjejas, para majikan perlu mengisytiharkan jika mereka telah mengaturkan tempat penginapan sesuai dan makanan bagi para pekerja tersebut semasa tempoh notis duduk di rumah.

Para majikan boleh membuat permohonan bagi kelulusan kemasukan menerusi laman ini.  Mereka juga harus memaklumkan kepada para pekerja yang terjejas dan tanggungan mereka untuk tidak melakukan perjalanan ke Singapura sehingga mendapatkan kelulusan daripada MOM.

Para majikan juga perlu menghantar surat kelulusan itu kepada para pekerja mereka, yang perlu mengemukakannya kepada kakitangan penerbangan sebaik sahaja mereka mendaftar masuk (jika mereka menaiki penerbangan) atau di pusat pemeriksaan imigresen sebaik sahaja tiba di Singapura.

MOM menasihatkan para majikan dan pekerja mereka untuk mengikut dengan teliti perkembangan berkaitan COVID-19 dan mematuhi nasihat perjalanan dan kesihatan di laman Kementerian Kesihatan.

Sedang situasi COVID-19 terus berubah-ubah, MOM menyatakan peraturan tambahan mungkin akan dikenakan ke atas para pemegang pas kerja.

"Sedang MOM akan menghebahkan maklumat tentang peraturan ini secara meluas, kami mungkin tidak dapat memaklumkan setiap majikan atau pekerja secara langsung tentang setiap peraturan yang baru," demikian menurut MOM.

Para majikan dan pekerja patut melungsuri laman MOM bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- CNA/HA/ha

Top