Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembelajaran Teradun: Ibu bapa manfaatkan cuti Jun tambah pengetahuan, kemahiran untuk sokong anak

Sebilangan ibu bapa memilih untuk memanfaatkan sebaik mungkin cuti sekolah Jun ini untuk meningkatkan kesediaan anak mereka bagi pembelajaran teradun selain menambah pengetahuan dan kemahiran mereka sendiri bagi menyokong anak-anak mereka itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jun 2021 07:51PM Dikemas Kini : 18 Jun 2021 09:44PM

SINGAPURA: Sebilangan ibu bapa memilih untuk memanfaatkan sebaik mungkin cuti sekolah Jun ini untuk meningkatkan kesediaan anak mereka bagi pembelajaran teradun selain menambah pengetahuan dan kemahiran mereka sendiri bagi menyokong anak-anak mereka itu.

Kaedah pembelajaran itu melibatkan gabungan pembelajaran online dan juga secara fizikal di sekolah.

Pengasas Edufront Learning Centre Encik Yang Iskandar memberitahu BERITAmediacorp beliau menerima penyertaan 80 ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka bagi program pengayaan yang dijalankan secara online.

Cik Rohaizan Rahmat antara yang memilih untuk menyertakan anak beliau Amalia Nur Fitri menghadiri program dijalankan Edufront Learning Centre.

SATU MODEL PEMBELAJARAN MASA DEPAN

Selain dapat mengulang kaji pelajaran, Cik Rohaizan dan suaminya Encik Iswandee Johan memahami keperluan untuk memantapkan lagi tahap kecelikan digital anak mereka dalam pembelajaran.

Mentelah lagi, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing mengumumkan sebelum ini model pembelajaran teradun perlu diadakan dalam landskap pendidikan negara.

"Anak-anak sekarang lebih cenderung kepada penggunaan teknologi internet dan saya rasa pembelajaran dari rumah ini akan menjadi model masa depan bagi anak-anak kita.

"Dengan keadaan COVID-19 yang sedang kita lalui sekarang, kita masih belum pasti bilakah ia akan berakhir," kata Encik Iswandee.

Bagi tujuan itu,Cik Rohaizan sendiri mengambil kesempatan untuk juga menambah pengetahuan dan kemahiran agar dapat menyokong proses pembelajaran anaknya itu.

Ini termasuk memanfaatkan kit panduan ibu bapa yang diberikan sekolah anaknya, Sekolah Perempuan Paya Lebar Methodist, bagi pembelajaran online selain turut serta dalam pembelajaran Amalia.

Beliau berkongsi: "Saya sebenarnya mengambil cuti untuk meluangkan masa bersama anak saya. Saya dibenarkan untuk menghadiri sesi pembelajaran online ini bersama anak saya.

"Dari situ, saya dapat memahami lebih lanjut tentang apa yang diajar dan saya juga boleh mengulang kaji bersamanya melalui kegiatan online itu."

3 CARA IBU BAPA BOLEH PERSIAPKAN ANAK MEREKA BAGI PEMBELAJARAN TERADUN

Pelibatan proaktif ibu bapa seperti Cik Rohaizan itu amat digalakkan, menurut Pensyarah Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU) Dr Roszalina Rawi.

Menurut Dr Roszalina, persediaan anak-anak bagi pembelajaran teradun perlu menjangkaui kemahiran menggunakan peranti digital saja.

Beliau menambah ibu bapa boleh melakukan tiga perkara untuk mempersiapkananak-anak mereka - pertama adalah didik anak mereka untuk membahagikan masa, kedua pula menyediakan sekitaran yang sesuai dan terakhir pula, meluangkan masa bersama untuk berbincang topik-topik yang dipaparkan dalam pembelajaran.

"Anak-anak kita ini walaupun mereka bijak menggunakan alat-alat digital, mereka menggunakannya untuk bermain tetapi dari segi penggunaan alat-alat digital untuk mencari ilmu, berfikir secara kritis itu kurang. Jadi itu kita ajarkan," ujar beliau.

Ibu bapa juga harus terus memantau serta menilai prestasi pembelajaran anak mereka kerana model sedemikian lebih bersifatkan pembelajaran kendiri dan setiap pelajar mempunyai tahap yang berbeza-beza.

Beliau berkata: "Jadi ini bukan sama ada dia boleh jawab dengan betul atau tidak tetapi tentang proses pembelajaran itu. Jadi kita sebagai ibu bapa jangan nilai kebolehan mereka untuk menyelesaikan tugasan hanya dengan sama ada dia dapat jawab atau tidak atau betul atau tidak tetapi tanya mereka, apa yang mereka faham, tadi macam mana dia belajar."

Lebih penting, tambah Dr Roszalina, ibu bapa boleh menggunakan model pembelajaran teradun sebagai peluang untuk memupuk semangat timba ilmu secara berdikari dan belajar sepanjang hayat dalam keluarga masing-masing. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan