Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembelajaran Bahasa Melayu diperluas ke peringkat asuhan dan tajaka satu (K1)

Mulai tahun depan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di pusat prasekolah PCF akan diperluaskan ke peringkat asuhan dan tajaka satu iaitu kanak-kanak dua hingga tiga tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai tahun depan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di pusat prasekolah PCF akan diperluaskan ke peringkat asuhan dan tajaka satu iaitu kanak-kanak dua hingga tiga tahun.

Langkah itu bagi membiasakan kanak-kanak prasekolah supaya lebih selesa menggunakan bahasa Melayu pada usia lebih muda.

Usaha tersebut diumumkan semasa Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu untuk Guru Prasekolah pagi tadi (24 Nov).

Setakat ini, sekitar separuh daripada lebih 360 pusat prasekolah PCF menawarkan mata pelajaran bahasa Melayu untuk kanak-kanak di peringkat tajaka dua hingga tadika dua.

Pada tahun ini saja, enam pusat PCF memperkenalkan bahasa Melayu kepada murid mereka.

PENDEDAHAN AWAL BAGI KANAK-KANAK

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dalam usaha memperkenalkan pengajaran bahasa Melayu pada usia lebih muda, sukatannya akan diperluaskan kepada kanak-kanak dua hingga tiga tahun.

Selain itu, beliau berharap para pengendali prasekolah yang lain akan turut menyediakan wadah bagi anak-anak belajar bahasa Melayu di peringkat awal.

"Adanya wadah seperti ini pada peringkat awal pembangunan anak-anak kita, ia memberikan ruang kepada mereka dari segi pendedahan." kata Dr Faishal.

"Selain itu, ia boleh membantu membentuk akhlak, etika, adab dan juga boleh berbahasa dalam Bahasa Melayu," tambahnya.

GURU DILATIH AGAR MAHIR DALAM BIDANG INI

Cara-cara dan teknik untuk melengkapi guru-guru prasekolah dengan kemahiran mengajar bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak dibincangkan dalam seminar "Jom Cakap Melayu" ini.

"Pembelajaran bahasa Melayu amat penting dimulakan di peringkat pra sekolah. Malah, kalau boleh lebih awal lagi kerana kita ingin mendidik kanak-kanak supaya biasa menggunakan bahasa yang betul, bahasa yang baik dan bahasa yang sopan," kata Dr Sa'eda Buang yang merupakan seorang pensyarah kanan di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Seminar yang dijalankan hari ini ternyata sungguh bermanfaat bagi para guru PCF.

"Saya dapat mempelajari cara-cara untuk mengajar anak murid saya dengan lebih cara menarik jadi mereka dapat belajar dan memahami bahasa Melayu kerana ramai budak-budak zaman sekarang lebih cenderung kepada penggunaan bahasa Inggeris," kata Cik Siti Sahra Samsudin, seorang guru di PCF Sparkletots.

Bagi Cik Noriyaton Yunos pula, guru perlu menggunakan bahasa dengan penuh kesantunan di dalam bilik darjah. Beliau merupakan seorang Ketua bagi Pengetua Pusat PCF di Pasir Ris.

"Dengan cara ini, ia dapat membantu murid-murid menggunakan bahasa melalui adab dan juga cara berakhlak di dalam bilik darjah," tambahnya.

Seramai 140 guru prasekolah menghadiri seminar hari ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ZZ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan