Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembatalan tempahan BTO berkurangan tahun lalu tapi jumlah rayuan bagi gugurkan denda lebih tinggi

Apabila Cik Lim, 26 tahun, membida untuk sebuah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 2017, tuah berpihak kepada dirinya. Namun selepas hampir empat tahun kemudian, beliau hampir berputus asa. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Aug 2021 09:55AM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 09:14PM

SINGAPURA: Apabila Cik Lim, 26 tahun, membida untuk sebuah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 2017, tuah berpihak kepada dirinya.

Beliau berjaya mendapatkan sebuah unit empat bilik di Eunos Court, yang ketika waktu itu, adalah antara flat paling popular yang ditawarkan.

Namun selepas hampir empat tahun kemudian, beliau hampir berputus asa.

Flat tersebut sepatutnya siap pada suku pertama 2022 tetapi di tengah-tengah kelengahan kerja binaan dek pandemik COVID-19, garis masa pembinaan flat itu ditangguhkan lagi setahuni.

Cik Lim memerlukan ruang bagi dua anak kecilnya yang semakin membesar, masing-masing berusia tiga dan empat tahun. Lantaran itu, beliau benar-benar menimbangkan untuk membatalkan saja tempahan flatnya untuk membeli apartmen privet jualan semula.

“Kami (suami saya dan saya) bekerja dari rumah, jadi adalah baik jika kami boleh mempunyai bilik buat diri masing-masing untuk bekerja juga," ujarnya sambil menambah keluarganya kini tinggal bersama ibu bapanya.

Namun, faktor utama dalam keputusannya adalah sama ada beliau boleh mengelakkan sebarang denda bagi pembatalan tempahan flat itu.

Pembeli yang membatalkan tempahan flat BTO biasanya sama ada kehilangan Bayaran Opsyen atau 5 peratus daripada harga pembelian flat mereka dan tunggu selama setahun sebelum mereka boleh memohon sekali lagi untuk perumahan bersubsidi.

Langkah-langkah ini dilaksanakan untuk memastikan pembeli serius tentang pembelian mereka, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Bagaimanapun awal tahun ini, HDB mengumumkan ia akan menimbangkan untuk mengetepikan denda-denda itu. Ia akur kelengahan pada kerja-kerja binaan mungkin "menyebabkan kesulitan dan mengganggu perancangan hidup para pembeli flat".

“Bagi pembeli flat yang perlu membatalkan tempahan flat BTO untuk membeli flat jualan semua disebabkan oleh keperluan perumahan yang mendesak, kami akan menimbangkan untuk mengecualikan pembatalan atau pelucutan hak.

PEMBATALAN DAN RAYUAN BERKURANGAN PADA 2020

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, HDB menyatakan sekitar 1,700 pembeli rumah membatalkan tempahan flat BTO mereka pada 2020.

HDB menarik perhatian perangkaan itu lebih rendah berbanding pembatalan purata tahunan sebanyak 2,500 pada 2018 dan 2019 atau 2,300 pembatalan setahun antara 2010 hingga 2019.

Sebab-sebab utama bagi pembatalan ini termasuk "putus tunang, perubahan pada rancangan perumahan atau perubahan pada kedudukan kewangan yang menjejas pembelian flat", menurut HDB.

Khususnya, daripada 1,700 pembatalan tahun lalu, sekitar 1,300 merayu untuk mengecualikan denda pembatalan. Jumlah itu lebih rendah berbanding purata 1,450 rayuan yang diterima setiap tahun pada 2018 dan 2019, menurut HDB.

HDB juga menyatakan ia menyetujui sekitar sepertiga rayuan bagi pengecualian lucut hak pembatalan setiap tahun.

Inilah hasil yang Cik Lim berharap dapat dicapainya sekiranya beliau membatalkan tempahannya. Namun sebelum itu, beliau perlu mengenal pasti beberapa butiran.

Proses itu memerlukan Cik Lim memberikan lokasi unit baru yang beliau berhasrat untuk membeli di samping rancangan tentang bagaimana pembelian itu akan dibiayai, jelas beliau.

MENGAPA PEMBATALAN BERKURANGAN PADA 2020?

Pengarah Kanan Penyelidikan Huttons Asia, Lee Sze Teck, menarik perhatian HDB tidak memberikan maklumat tentang bilakah flat-flat yang dibatalkan itu pada asalnya ditempah.

Namun, beliau membayangkan jumlah pembatalan mungkin berkurangan pada tahun lalu sedang mereka yang terjejas oleh kelengahan kerja-kerja binaan mungkin telahpun menempah flat-flat mereka dari seawal 2016.

“Projek-projek BTO pada 2016 dan 2017 ini mungkin sudah sampai ke peringkat terakhir pembinaannya dan kebanyakan kontraktor berhasrat untuk menyiapkannya lebih awal daripada tarikh persiapan yang ditetapkan. Lantaran itu, kumpulan pembeli ini terjejas pada tahap lebih rendah," terangnya.

Beliau menambah HDB mengurangkan jumlah bekalan flat BTO pada 2018 dan 2019. Ini mungkin juga menyebabkan pembatalan lebih sedikit pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Propnex Ismail Gafoor membayangkan ramai pembeli mungkin memilih untuk meneruskan dengan tempahan BTO mereka tahun lalu disebabkan oleh gabungan beberapa faktor berkaitan pandemik.

“Pemohon BTO yang sedang memikirkan untuk beralih ke flat jualan semula HDB mendapati ia sukar untuk berbuat demikian kerana (sekatan untuk meninjau-ninjau rumah di tengah-tengah) keadaan pandemik serta kenaikan harga flat jualan semula dan trend wang tunai melebihi taksiran (COV) yang meningkat," terang Encik Ismail.

Beliau juga menarik perhatian bahawa meskipun terdapat kurang pembatalan tahun lalu, jumlah pembeli yang merayu bagi mendapatkan pengecualian meningkat dari 58 peratus pada 2018 dan 2019 kepada 76.5 peratus pada 2020.

“Kami berpendapat kelengahan pada pembinaan flat BTO dan kehilangan pekerjaan bagi sesetengah orang semasa pandemik mungkin menjadi sebab di sebalik pembatalan tersebut, maka itu jumlah rayuan lebih tinggi," ungkap Encik Ismail.

ADAKAH IA AKAN JEJAS PASARAN FLAT JUALAN SEMULA?

Pandangan bercampur-campur mengenai sama ada pembatalan sedemikian akan membawa kesan besar terhadap pasaran flat jualan semula.

CEO Hutton Asia, Mark Yip, berkata "dalam keadaan biasa", jumlahnya mungkin tidak mempunyai kesan memandangkan ia adalah peratusan kecil daripada keseluruhan jumlah urus niaga pada tahun itu.

“Namun, semasa tempoh ini di mana permintaan tinggi disebabkan oleh peralihan kerana kelengahan pada kerja-kerja binaan, setiap pembeli yang beralih ke pasaran jualan semula menambah kepada persaingan.

“Jumlah jualan semula HDB pada 2021 dianggarkan antara 27,000 hingga 29,000 unit, tahap urus niaga tahunan paling tinggi sejak 2010," ujarnya.

Sebaliknya, Encik Ismail menarik perhatian bahawa "tahun-tahun lalu membuktikan bahawa walaupun dengan jumlah pembatalan lebih tinggi (2,300 hingga 2,500 setiap tahun), ia tidak menjejas teruk pasaran jualan semula".

Beliau menjangkakan pembatalan pada 2021 "lebih kurang sama" dengan tahun lalu memandangkan harga flat jualan semula terus meningkat.

Pada masa yang sama, Encik Yip berkata "munasabah untuk menjangkakan lebih ramai pembeli mengemukakan rayuan pada bulan-bulan mendatang".

Ini disebabkan oleh pengumuman HDB baru-baru ini yang ia mungkin akan menimbangkan untuk mengecualikan denda pembatalan, katanya. Ini ditambah dengan lebih banyak bekalan flat BTO pada 2020.

PERUMAHAN SEMENTARA

Industri binaan tempatan kekal sebagai antara sektor paling teruk terjejas dalam keadaan pandemik yang berterusan, menurut HDB.

Lembaga itu menambah ia sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memastikan kerja-kerja binaan berjalan mengikut jadual.

Sementara itu, ia juga membantu pembeli terjejas yang tidak dapat mencari aturan perumahan alternatif.

Setakat akhir Jun, HDB menyatakan ia sudahpun membantu sekitar 320 isi rumah sedemikan untuk mendapatkan rumah sewa sementara. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan