Images
  • hsr
    (Gambar: MyHSR)

Pembatalan HSR: Rakyat luah rasa kecewa, tapi gagasan CBD ke-2 masih boleh dicapai

SINGAPURA: Pengumuman mengenai pembatalan projek Kereta Api Laju (HSR) Singapura-Kuala Lumpur bukan sahaja mengundang rasa kecewa di kalangan sebilangan anggota masyarakat tempatan. Malah dikatakan mungkin menghambat pembangunan Daerah Tasik Jurong, serta menjejas harga perumahan di kawasan sekelilingnya.

Kawasan yang sepatutnya menempatkan Terminal HSR baru itu, juga sudah digagaskan sebagai Daerah Pusat Perniagaan (CBD) kedua negara ini.

Namun demikian, ada juga pakar yang percaya gagasan tersebut masih mampu dicapai sekiranya Pemerintah dapat meneliti semula perancangan kawasan itu secara 'praktikal dan pragmatik'.

SATU KERUGIAN BAGI KEDUA-DUA NEGARA

Bertempat di tapak lama Jurong Country Club, Terminal HSR sepatutnya menjadi nadi yang akan menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur.

Dianggarkan siap menjelang 2026, khidmat kereta api laju itu akan dapat mengurangkan masa perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur daripada 11 jam kepada hanya 1.5 jam.

Namun dengan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan Malaysia akan membatalkan projek 110 bilion ringgit itu, ini reaksi sebilangan penduduk tempatan yang kami temui.

"Saya kecewa sangat sebab saya suka pergi KL. Jadi lebih baik jika mereka teruskan projek itu," kata seorang penduduk Jurong, Norfazlina.

Penduduk Bukit Batok, Azhar Hashim turut menyifatkan perkembangan ini sebagai semacam "satu kerugian".

"Pasal kalau ada ini kan, mereka (Singapura dan Malaysia) boleh, kirakan bawa masuk hasil pendapatan, untuk kedua-dua negara. Jadi kalau tak ada ini, kirakan rugi," ujar beliau.

TIDAK ADA HSR, TIDAK ADA PELANCONG?

Pakar-pakar pula percaya Pemerintah Singapura kini perlu menyemak semula perancangan asal bagi tapak itu, termasuk kesannya terhadap pembangunan lain di kawasan sekitar.

Pengasas Khalil Adis Consultancy, Khalil Adis, berkata: "Ia akan menjejas industri pelancongan, kerana kalau kita tengok dia punya master plan yang asalnya...pemerintah telah membuat pelan untuk membuat tempat pelancongan hotel-hotel, perumahan mewah dan sebagainya. Tapak tanah yang telah dirancang untuk membuat tempat hotel itu, mungkin akan disemak semula kerana sekarang tidak ada HSR, dan tidak ada, kirakan, pelancong yang akan datang melalui HSR itu."

Menurut beliau, pembatalan projek HSR itu juga akan menjejas harga perumahan di kawasan berhampiran, yang sebelum ini dijangka meningkat 20 peratus.

Namun Encik Khalil kekal optimistik tentang potensi kawasan tersebut yang digagaskan sebagai Daerah Pusat Perniagaan (CBD) kedua bagi Singapura.

VISI CBD KE-2 MASIH BOLEH DICAPAI

Menurutnya, visi itu masih boleh dicapai, sekiranya Pemerintah dapat meneliti semula perancangan kawasan itu secara pragmatik dan praktikal.

"Kemungkinan pemerintah akan menjual balik tanah itu untuk membangunkan lagi visi Daerah Tasik Jurong. Jadi kemungkinan pemerintah akan menaikkan lagi pembangunan pejabat, unit-unit komersil, pusat membeli-belah, perumahan yang lebih mewah, ataupun tempat beriadah," jelas Encik Khalil.

Sebelum ini, Pemerintah menjangkakan pembukaan Terminal HSR bersama pelabuhan Tuas yang baru akan dapat menjana sekitar 100,000 pekerjaan baru.

Namun dengan itu hanya tinggal harapan, ada yang melihatnya sebagai dapat mengurangkan persaingan daripada para pekerja Malaysia.

"Mungkin peluang pekerjaan untuk orang Malaysia untuk datang ke Singapura akan berkurangan. Tapi ia sebenarnya bagus untuk kita juga jadi kita tidak perlu bersaing untuk pekerjaan dengan mereka," ujar penduduk Bukit Batok, Fatimah Hamid.

Setakat ini, Singapura masih belum menerima pengesahan rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek HSR.  

- BERITAMediacorp/im

Top